![]() |
| Mohd Ashraf Hafiz, 1985-2011 |
Izinkan saya menukilkan coretan buat Arwah Mohd Ashraf Hafiz, meskipun agak terlewat. Sewaktu saya menulis ini, beliau telahpun meninggal pada Sabtu lepas akibat serangan jantung.
Saya tidak ingin mengulang apa yang telah tercatat di akhbar. Saya ingin menulis dari kaca mata saya sendiri. Pada saya, media sedikit kejam. Pada hari Ashraf muncul di Mahkamah Tinggi Terengganu, seluruh lensa kamera menghala ke arahnya dan publisiti meluas diberikan kepadanya. Mungkin dari saat ini lagi Ashraf telah tertekan.
Itu belum lagi ditambah dengan tulisan di blog-blog yang mengecam beliau. Kemudian, media massa mensensasikan kisahnya apabila hal beliau dan keluarga kerap mengisi tajuk-tajuk akhbar. Sebuah tabloid tanpa sensitif menyebut 'Pondan gagal tukar nama'. Kasihan arwah Ashraf. Lebih ramai yang mengutuk dari yang memahami.
Saya difahamkan kes Ashraf patut dirujuk kepada Autoriti yang mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam. Majlis Agama akan bersidang bagi mengeluarkan fatwa sama ada seseorang khunsa itu mirip lelaki atau perempuan. (Dalam kes Ashraf, saya kurang pasti adakah khunsa?). Fatwa ini, dengan disokong laporan perubatan, akan memberikan garis panduan tentang perjalanan hidup insan istimewa ini sama ada boleh berkahwin, cara solatnya, pengurusan jenazah dsb. Selepas kecenderungan jantina dipastikan baharulah pembedahan boleh dibuat supaya insan istimewa ini merasa lebih tenteram untuk menjalani kehidupan. Kemudian fatwa ini, dengan disokong laporan perubatan disekalikan semasa permohonan di Mahkamah untuk deklarasi bahawa ia sesungguhnya telah memakai identiti wanita. Deklarasi ini memasukkan sekali perintah terhadap Jabatan Pendaftaran Negara supaya pindaan nama boleh dibuat bagi pihak pemohon.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tidak adil untuk kita terus berteka-teki, kerana dia telahpun dijemput pergi. Simpati saya pada ibu arwah, yang redha anaknya dijemput Ilahi jika itulah takdir yang terbaik untuknya. Cuma sekadar peringatan, semoga kes sebegini dapat ditangani dengan lebih rasa empati. Isu sensitif sebegini, bukan untuk mainan sensasi media semata-mata dan bukan hak orang awam untuk bersorak dan mencemuh. Semoga kita lebih bersifat insaniah dan tunduk merenung hikmah setiap kejadian Allah di muka bumi ini.
