Wednesday, 4 January 2012

Karma

Inilah kisahku. Aku mengenali seorang majikan dan meletakkan rasa percaya ke atasnya. Selama 4 tahun, aku bekerja di bawah lembayung syarikat tersebut, sebuah syarikat guaman perintis di Melaka.


Sejak di bangku varsiti lagi, aku amat meminati undang-undang Tanah. Malah, antara kenangan termanis pernah menggondol markah terbaik di kalangan rakan dan taulan. Apabila mengamal undang-undang dan bergelar peguam, kebanyakan perkara undang-undang Tanah hanya berkisar sekitar 'Conveyancing', Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Pinjaman Bank. Aku tidak mendapat kepuasan di situ. Namun, dengan syarikat yang aku bekerja ini, pengalaman tentang Undang-undang Tanah dapat dipraktikkan dengan meluas. Tanyalah masalah apa berkaitan Tanah, kaveat, Perletakan hak, Pusaka, pertikaian hartanah... semuanya ada jalan penyelesaian dan aku berasa sungguh bersemangat apabila masalah-masalah dapat diselesaikan dengan jayanya.


Aku bekerja selama 4 tahun di syarikat itu. Aku amat menyintai kerjayaku, tanpa sedikit rasa jemu apabila datang ke pejabat. Kamar guamanku berhias cantik, bekerja dengan rasa hormat-menghormati, tidak sedikit rasa terasing meskipun komposisi pekerja pejabat merangkumi bangsa India, Cina, Melayu dan juga Belanda.


Aku hormati dan anggap mereka seperti keluarga sendiri. Bekerja tanpa rasa tertekan, aku diberi kebebasan bekerja dengan waktu anjal... Aku dapat mengimbangi sepenuhnya antara keperluan kerjaya dan rumahtangga. Kerjaya, kehidupan dan rumahtangga adalah ruang lingkup yang amat sempurna buatku ketika itu.


Sehinggalah pada suatu ketika yang tidak terduga, aku dipanggil polis untuk memberi keterangan tentang siasatan kes. Ruang lingkup yang amat sempurna selama ini ku ciptakan perlahan-lahan bertukar menjadi episod derita...


Aku terpaksa melangkah pergi. Dengan berat hati dan kaki ku tinggalkan ruang ini. Aku masih ada rasa hormat ke atas majikanku. Melalui perbincangan, aku bekerja separuh masa iaitu selepas waktu pejabat. Bayangkan dengan kesibukan yang menimbun, aku masih meluangkan masa untuk membantunya.


Namun, susu dibalas tuba. Aku hanya menerima gaji separuh masa untuk bulan pertama sahaja. Bulan kedua, aku bekerja selama sebulan 10 hari dan tidak dibayar sesen pun. Tambah teruk, aku ditipu setiap kali menelefon bertanyakan gaji. Hari ini dikatakan esok, esok disuruh tunggu minggu hadapan, dan minggu hadapan pula tak pernah kunjung tiba. Majikan juga sanggup mengirim mesej di telefon berjanji untuk membayar, dan aku menunggu separuh gila. Keringat di tubuh ini sudah lama kering, namun upah gagal dibayar oleh orang yang berjanji, yang selama ini menganggap aku tak ubah seperti keluarga sendiri.


Sungguh aku kecewa. Aku salah meletakkan kepercayaan pada tempatnya.


Hari ini, majikanku digantung lesen mengamal undang-undang. Sungguh dia telah temui karmanya.