Aku bukan 'frequent flyers' cuma sekadar mengikuti perkembangan MH370 hari demi hari. Di samping itu aku juga memiliki kenalan dalam bidang aviation industry memandangkan aku mewakili sebuah syarikat penerbangan swasta dalam beberapa kes-kes mereka di Mahkamah Sivil.
Setiap kali berlaku isu, aku akan cenderung untuk tidak mengulas berdasarkan siaran-siaran ulangan dalam akhbar dan TV. Aku akan membidik dari lensa mataku sendiri. Rumusan sendiri - mungkin pandanganku sedikir drastik kerana aku tidak berfikir dalam kotak konvensional. Berikut ini adalah pandangan peribadiku dalam tragedi MH370 yang berakhir di selatan Lautan Hindi.
(1) Allah menduga kita melalui insan yang paling kita sayang. Mengapa? Oh, jangan bersangka buruk kepada Rabbi. Setujukah kamu kalau saya katakan insan-insan yang terlibat dalam MH370 adalah ahli keluarga kesayangan? Isteri kehilangan suami, ibu bapa kehilangan anak. Si kecil kehilangan keluarganya. Mereka yang pergi adalah si bijak pandai - Jurutera aeronautikal, pengurus Petronas, pengatur program komputer. Sekelip mata insan-insan yang terlalu istimewa di mata ahli keluarga mereka pergi tanpa khabar berita. Allah menguji kita melalui insan yang paling kita sayang kerana tiada yang kekal di muka bumi ini. Walaupun pemergian tidak kita relai namun; Pencipta kita ingin menguji kita kerana sebaik-baik tali untuk bergantung adalah kepada Sang Pencipta - bukannya sesama makhluk.
(2) Dalam pada berlakunya tragedi MH370, ada pula kes-kes kemalangan kecil melibatkan syarikat-syarikat penerbangan lain seperti Malindo Air. Ada banyak rumusan yang boleh disimpulkan apabila berlaku kemalangan, antaranya kerosakan teknikal. Analogi saya mudah. Jika kerosakan teknikal kenderaan saya iaitu kereta, saya boleh signal dan berhenti di bahu jalan untuk memeriksa masalahnya. Jika di udara? Oh, landasan mana hendak di singgah, cukupkah masa untuk bertindak, dapatkah mengawal keadaan ketika kecemasan? Firma guaman saya banyak mengendalikan kes-kes kemalangan jalanraya melibatkan pampasan Insurans. Kesimpulan yang saya buat, meskipun negara kita telah terlibat dalam industri penerbangan awam dan komersial sejak sekian lama, namun sedikit sebanyak kita 'ketinggalan' dari segi pembaikian dan selenggara (maintenance). Bolehkah kamu bayangkan kereta yang berusia lebih 5 tahun, ia akan mula meragam bukan? Begitu juga pesawat udara, ia boleh meragam dan memerlukan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan ia selamat (worthy) untuk terbang di atas sana.
(3) Saya tertarik dengan pandangan seorang pemikir dalam industri penerbangan awam, yang mengutarakan teori 'pilot suicidal'. Bukan pula saya bersetuju dengan pandangan beliau tetapi saya tertarik dengan alasan yang beliau kemukakan. Cara pesawat diturunkan iaitu di Selatan Lautan Hindi satu-satunya kawasan paling sunyi di dunia dan digelar 'deadliest sea' menungkinkan teori bahawa pesawat ingin dilenyapkan bagi menghapuskan bukti. Mungkin juga pesawat ditawan dan pengendalinya mengarahkan ia menjunam di kawasan laut paling terpencil tersebut. Jika pecahan pesawat jatuh berdekatan dengan laluan biasa laut, mudah saja untuk mengesan bukan? Namun ia terperosok di Lautan Hindi di mana kemungkinan untuk menemuinya dalam keadaan asal atau berkecai adalah sangat-sangat rendah peratusannya.
Simpati saya kepada semua ahli keluarga mangsa. Saya pasti semua akan terkesan lebih-lebih lagi jika semasa hayat mereka adalah di kalangannya kenalan, saudara, rakan dan taulan. Rupanya seorang mangsa merupakan anak kepada Peguam bernama Januari Siregar dan kini sedang memulakan litigasi terhadap Boeing, Mas dan Kerajaan Malaysia menuntut pendedahan-pendedahan meluas supaya tragedi ini dapat disiasat dan dikupas sedalam-dalamnya. Teori tetap teori, kita tidak dapat mengagak apa yang berlaku kerana kita bukan mereka yang berhadapan dengan detik cemas disapa Malaikatul Maut. Mungkin juga penemuan kotak hitam (jika berjaya) will shed some light dan kita tahu sebab kejadian kerana setakat ini hanya teka-teki dan spekulasi belaka. Oh, waris-waris boleh menuntut dan pampasan bakal mencecah ribuan Dolar namun jiwa yang pergi tetap pergi dalam keadaan paling menyayat hati. Jika diberi pilihan, waris tidak mahu duit kerana wang ringgit tidak dapat mengubati kesedihan sepenuhnya. Mereka mahu orang-orang kesayangan mereka kembali namun Tuhan jauh lebih menyayangi.

