Wednesday, 2 November 2016

Abah, bersemadilah dengan aman

Dengan lafaz Bismillah.. ku coretkan bait kata-kata ini buat abah. Tiada lain Tuhan Yang Ku Sembah melainkan Engkau, Ya Allah...terima kasih kerana meminjamkan abah kepada ku, insan paling ulung yang amat ku hargai kewujudannya di dunia yang fana ini.

Abah... genap 2 bulan abah pergi, abah meninggalkan satu ruang kosong dalam diriku.Satu ruang kosong yang pernah diisi oleh figura bapa yang hebat sepertimu, mana mungkin ruang itu diisi oleh insan yang lain. Namun aku mengerti abah... tiada apa yang kekal di dunia ini. Mungkin pada masa dan ketika ini jasad abah telah pun luruh dimamah bumi, namun ingatan terhadap abah tetap segar dan mekar, seolah-olah aku senantiasa melihat abah yang tersenyum. Abah yang jarang sekali rawan dalam mendepani kehidupannya, kerana jiwa abah sangat kuat, sangat kental. Ku pinjam semangatmu buat meniti hari-hari yang mendatang, abah.

Hari ini aku menunaikan solat zohor di masjid yang indah, sebaik sahaja laungan lafaz azan yang pertama. Sikap positif abah yang solat tepat pada waktunya, seboleh mungkin ku ikuti kerana jejak-jejak sikap abah itulah yang mengingatkan aku pada dirinya. Aku memakai kain tenun yang pernah abah pakai lewat Aidilfitri yang lalu, serta-merta ingatanku basah terhadapmu abah. Aku sedar bahawa aku boleh mencari ke seluruh pelusuk dunia ini... namun aku tidak akan menemui abah lagi. Malah, jika ku temui 'pelanduk 2 serupa' pun, tidak mungkin dapat menyamai abah, insan pertama yang mencorakkan aku agar tuntas dalam perjuangan mendepani hidup ini.

Abah pergi dengan bermaruah. Berjuang di medan perang dan perbatasan sebagai tentera selama 15 tahun. Kemudian abah pulang ke kampung halaman, bekerja sebagai 'orang kecil' dalam kerajaan dan dalam masa yang sama berkebun dan bertani. Dengan tulang empat kerat dan basah bermandi keringat, abah menyekolahkan kami 5 beradik sehingga tamat pengajian universiti. Kemudian abah bersara. Masa senggang abah banyak dihabiskan di tikar sejadah, memuji-muji Tuhan dan mengisi masa-masa di usia emas. Takdir yang berlaku pada penghujung 2011 menyaksikan ibu hilang daya berjalan. 5 tahun abah menjaga ibu, sehingga nafas terakhir abah saat pergi dijemput Ilahi.

Tiada sepicing masa abah yang berlalu sia-sia. Abah bukan orangnya yang menghabiskan masa berjam-jam di kedai kopi. Abah tidak bermenung sepanjang hari lantaran tiada tugasan yang hendak dibuatkan. Abah, sentiasa bergerak... 5 pagi sudah bangun bersiap menunggu Subuh. Sepanjang hari, abah sentiasa ada 'projek' yang hendak dilangsaikan. Kadang-kadang abah bertukang, kadang-kadang abah berkebun. Abah suka menonton 'National Geographic'. Abah boleh diajak berbual dengan isu semasa. Abah juga seorang yang kelakar dan ada 'sense of humour'. Of course, abah ada beberapa sisi kurang enak sebagai manusia biasa... namun, kita semua manusia maka siapalah yang sempurna?

Aku tidak mungkin jumpa abah lagi walau jauh mana ku cari ke pelusuk dunia. Setiap kali ku lawat abah, aku menuju ke desa perkuburan itu, rumah baru abah. Bagiku, rumah baru abah sangat cantik. Cantik kerana setiap kali singgah aku akan beristighfar, bersedekah Alfatihah, menyeru doa dan memuji nama Allah. Rumah baru abah cantik kerana mengajak aku mengingati Allah dan juga perjalanan menuju kematian. Abah, izinkan aku meminjam semangatmu agar terus kental berjuang. Rumah baru abah menyimpan tulang-temulang, jasad abah mungkin telah hancur dimamah bumi. Namun abah pergi dengan bermaruah. Tiada apa yang ku persoalkan kerana abah telah menunaikan tanggungjawab sebagai bapa yang hebat. Abah akan kekal bermastautin dalam lubuk hatiku, yang sering merindui abah. Aku tidak lagi melihat kelibat abah, namun redha dengan takdir Ilahi.

Tuesday, 9 February 2016

Updates, updates

credit to google : happy woman
Hari ini bersiaran selepas 4 hari cuti kelepasan am. Catat rekod! Kami sekeluarga memang tidak ke mana-mana... hanya beraktiviti di kawasan sekitar Melaka/ Muar sahaja. Hari Sabtu menghadiri kenduri perkahwinan anak jiran di old neignbourhood kemudian pulang menjenguk ibuku di kampung. Ahad pula menghadiri kenduri kahwin kawan. Isnin dan Selasa we totally relaxed, relaxed and relaxed. Malam tadi mengambil angin malam di pinggir Sungai Muar dan hari ini (Rabu) aku kembali bekerja.

Dua minggu lepas kami baru pulang dari JB. Memang tiada plan untuk bercuti ke mana-mana dalam masa terdekat, cuma ada perancangan untuk cuti sekolah pada Mac nanti. Tahun ini 'angin sibuk' nya lain macam sedikit. Anak sulung akan menduduki UPSR. Dua orang anak yang kecil - oh, bagaimana mahu ku gambarkan? Aku sedang sibuk melatih mereka 'for early education'. Memang banyak masa di habiskan di MPH Bookstores meninjau rak buku kanak-kanak. Mereka menjadikan aku lebih kreatif untuk mencari bahan bacaan dan interaktif yang boleh stimulasi perkembangan intelek anak-anak. Sejujurnya aku tidak risaukan Izzah - kerana dia sangat rajin dan minat buku. Tapi Iman...aduhai, main sahaja yang lebih.

Jadual seharianku turut bertukar mengikut rutin sekolah anak-anak. Biasanya 5 hari persekolahan jadual mereka sangat padat. Aku sendiri kelam-kabut menguruskan mereka dan berkejar pula ke pejabat memenuhi temujanji dengan client dan menyelesaikan kerja-kerja lain. Dahulu aku 'confirm' akan singgah ke Masjid Selat Melaka setiap waktu Zohor, saban hari bekerja. Seolah-olah jika sesiapa ingin menemuiku, carilah aku di Masjid Selat menjelang waktu Zohor... namun sekitar tahun ini, rutin harian ke Masjid Selat seakan tertangguh. Oh, rindunya aku menjejakkan kaki ke masjid dan bercanda dengan deruan ombak dan langit biru yang melingkarinya.

Aktiviti seharianku kini, menguruskan anak-anak, menjemput pulang dari sekolah, mengajar dan membantu mereka menyiapkan homework. Seboleh mungkin aku akan memasak di rumah kerana makan di luar membuatkan kami seringkali kecewa dengan harga, servis lambat, kebersihan dan sedap atau tidaknya makanan. Aku juga gemar buat kek sekarang! Baru sahaja berturut-turut buat kek red velvet, kemudian kek coklat dan semalam buat marble cakes. Sold out! My family really loves fresh cakes from oven! Buat aku bersemangat untuk baking cakes lagi!

Oh, sebenarnya aku sedang stand by client yang hendak datang ke pejabat berkenaan divorce matter. Tapi lambat pula dia...