Tuesday, 18 June 2013

Tentang abah

Abah hendak operate mata. Mata kiri abah sudah berselaput rona kelabu. Katarak. Selaput yang kelam itu akan dirawat melalui laser dan mata abah akan pulih kembali. Jika tidak, abah akan sukar membaca dan memandu.

Kos rawatan laser bersekali dengan follow-up treatment sekitar RM3,500. Cara rawatan juga tidak sukar, abah boleh datang ke klinik pakar mata pada hari Sabtu dan menjalani prosedur laser sekitar 1/2 jam sahaja. Gembira sungguh abah mendengar perkhabaran dariku. Namun aku minta abah bersabar. Abah tidak se'tipikal' bapa-bapa lain, bisa bersenang-senang dan makan-minum disediakan isteri. Abah, dalam usia lewat 70 tahun, perlu menjaga makan-minum-pakai dan ubat seorang isteri yang uzur dan terlantar lumpuh. Kata seorang doktor di daerah kelahiranku yang sering merawat abah,' You have a great father'. Yes, indeed.

Abah, sempena hari bapa ini, aku tidak memberi sebarang petanda hadiah kerana tiada pemberian yang setanding utuh kasih sayangmu. Aku juga tidak meminta apa-apa kerana jalan hidup yang kau bentangkan di hadapanku cukup untuk ku buat pedoman mendepani hari mendatang. Abah, andai kata Tuhan memanggil hayatmu cukup setakatnya nanti, aku redha akan apa yang telah engkau sediakan untukku. Sesungguhnya abah telah melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa dengan cukup ulung, ku doakan syurga yang paling agung di sisi Allah buatmu Abah.

Aku perlu meneruskan kehidupan, abah. Hanya sekali-sekala dapat ku jenguk dirimu. Dalam kepayahan, kau gagahkan jua menjaga ibu yang terlantar sakit. Aku sering teringat abah yang bergenang air mata sewaktu ku katakan,' Bahawa Allah ingin menjanjikan abah syurga. Tapi abah harus melepasi galangan. Pertama, berbakti kepada isteri hingga ke akhir hayat. Kedua, amanah terhadap anak perempuan (kakak sulungku yang dikesampingkan oleh abah)'. Semoga kakakku terbuka hati untuk pulang mengambil alih tugas abah. Abah semakin uzur dan mata semakin kabur. Pembedahan mata memerlukan abah berehat, tidak boleh mengangkat benda berat, berpantang makan dan sembahyang menggunakan isyarat (tidak boleh rukuk dan sujud kerana bimbang memberi tekanan pada mata). Moga-moga terbuka hati kakakku. Kerana kita perlu berbakti sementara sempat, sementara ayah dan bonda dikandung hayat....



No comments:

Post a Comment