Friday, 23 October 2015

Mak, hati ini ingin berbicara

Mak... rindu mak sangat-sangat. Tak terucap dengan kata-kata, tak terluah, tak tersimpan, tak terjangkau....tapi hati sangat belas merindu mak. Rindu mak... rindu saat-saat dapat bersama, menghirup angin petang. Dulu, sempat bawa mak jalan-jalan sampai ke Rembau, sempat ronda-ronda sampai ke Pelabuhan Linggi. Mak, cemburunya hati bila melihat orang lain dapat keluar makan dengan mak masing-masing.... Sedang diri sendiri hanya melihat mak berbaring, hilang upaya untuk berbuat sesuatu. Malam-malam sentiasa teringat mak... sedihnya mak hanya Tuhan Yang Tahu.

Mak, daku sedar diri ini sudah cukup dewasa. Sudah ada keluarga sendiri, sudah ada penghidupan sendiri, tapi mak.... mana mungkin emosi ini cukup kuat bila memikirkan dugaan hidup mak. Tingginya cabaran yang mak terpaksa harungi....tak terkata betapa kasihannya bila mengingatkan mak yang terpaksa mengharung siang dan malam dengan ketakselesaan. Mak, daku hanya mampu berdoa.... Berdoa agar dosa-dosa mak diampunkan, berdoa agar mak dapat mengharung dugaan hidup dengan tabah, moga Allah ringankan kesakitan mak....

Mak, akhir-akhir ini daku sering teringat nostalgia masa kecil. Teringat mak belikan majalah Gelihati setiap kali hari lahirku. Teringat mak masak sedap-sedap... teringat kari ayam mak yang tiada tandingan. Bila masuk asrama, setiap minggu mak datang menjenguk. Bila dewasa dan mak makin bersikap terbuka, macam-macam cerita yang dikongsi dengan mak. Bila mak dah ada ramai cucu, mak rajin masak ole-ole untuk minuman petang...macam-macam kuih yang mak masak dengan resepi hanya di hujung jari. Bukan macam orang sekarang, asyik rujuk buku resepi dan google cara-cara memasak....

Mak, daku bahagia dengan kehidupan kini. Jika dapat dipusingkan masa, aku ingin kembali kepada 4 tahun dulu masa mak masih sihat dan boleh berjalan. Namun daku tidak mampu mengubah takdir. Mempersoalkannya pun daku tidak mampu...cuma akalku yang yang dangkal ini cuba merenung hikmah atas apa yang telah berlaku. Mak, jika daku punya kuasa sakti, ingin saja ku hadiahkan mak dengan kesihatan. Mak, sesungguhnya tiada insan yang boleh mengganti kedudukan mak di dalam hati ini. Mak adalah insan paling ulung yang ku cintai nombor wahid. Daku ingin meniti bersama-sama mak di penghujung emas usia mak. Terima kasih Tuhan kerana masih meminjamkan mak, walau dalam keadaan apa sekalipun. Mak, meski mak hilang upaya berjalan kini, dan mak berlingkar tiub di badan, di mataku mak adalah insan yang paling sempurna - sangat sempurna. Terima kasih mak kerana mengajar aku erti kasih-sayang yang paling dalam.

No comments:

Post a Comment