Wednesday 2 November 2016

Abah, bersemadilah dengan aman

Dengan lafaz Bismillah.. ku coretkan bait kata-kata ini buat abah. Tiada lain Tuhan Yang Ku Sembah melainkan Engkau, Ya Allah...terima kasih kerana meminjamkan abah kepada ku, insan paling ulung yang amat ku hargai kewujudannya di dunia yang fana ini.

Abah... genap 2 bulan abah pergi, abah meninggalkan satu ruang kosong dalam diriku.Satu ruang kosong yang pernah diisi oleh figura bapa yang hebat sepertimu, mana mungkin ruang itu diisi oleh insan yang lain. Namun aku mengerti abah... tiada apa yang kekal di dunia ini. Mungkin pada masa dan ketika ini jasad abah telah pun luruh dimamah bumi, namun ingatan terhadap abah tetap segar dan mekar, seolah-olah aku senantiasa melihat abah yang tersenyum. Abah yang jarang sekali rawan dalam mendepani kehidupannya, kerana jiwa abah sangat kuat, sangat kental. Ku pinjam semangatmu buat meniti hari-hari yang mendatang, abah.

Hari ini aku menunaikan solat zohor di masjid yang indah, sebaik sahaja laungan lafaz azan yang pertama. Sikap positif abah yang solat tepat pada waktunya, seboleh mungkin ku ikuti kerana jejak-jejak sikap abah itulah yang mengingatkan aku pada dirinya. Aku memakai kain tenun yang pernah abah pakai lewat Aidilfitri yang lalu, serta-merta ingatanku basah terhadapmu abah. Aku sedar bahawa aku boleh mencari ke seluruh pelusuk dunia ini... namun aku tidak akan menemui abah lagi. Malah, jika ku temui 'pelanduk 2 serupa' pun, tidak mungkin dapat menyamai abah, insan pertama yang mencorakkan aku agar tuntas dalam perjuangan mendepani hidup ini.

Abah pergi dengan bermaruah. Berjuang di medan perang dan perbatasan sebagai tentera selama 15 tahun. Kemudian abah pulang ke kampung halaman, bekerja sebagai 'orang kecil' dalam kerajaan dan dalam masa yang sama berkebun dan bertani. Dengan tulang empat kerat dan basah bermandi keringat, abah menyekolahkan kami 5 beradik sehingga tamat pengajian universiti. Kemudian abah bersara. Masa senggang abah banyak dihabiskan di tikar sejadah, memuji-muji Tuhan dan mengisi masa-masa di usia emas. Takdir yang berlaku pada penghujung 2011 menyaksikan ibu hilang daya berjalan. 5 tahun abah menjaga ibu, sehingga nafas terakhir abah saat pergi dijemput Ilahi.

Tiada sepicing masa abah yang berlalu sia-sia. Abah bukan orangnya yang menghabiskan masa berjam-jam di kedai kopi. Abah tidak bermenung sepanjang hari lantaran tiada tugasan yang hendak dibuatkan. Abah, sentiasa bergerak... 5 pagi sudah bangun bersiap menunggu Subuh. Sepanjang hari, abah sentiasa ada 'projek' yang hendak dilangsaikan. Kadang-kadang abah bertukang, kadang-kadang abah berkebun. Abah suka menonton 'National Geographic'. Abah boleh diajak berbual dengan isu semasa. Abah juga seorang yang kelakar dan ada 'sense of humour'. Of course, abah ada beberapa sisi kurang enak sebagai manusia biasa... namun, kita semua manusia maka siapalah yang sempurna?

Aku tidak mungkin jumpa abah lagi walau jauh mana ku cari ke pelusuk dunia. Setiap kali ku lawat abah, aku menuju ke desa perkuburan itu, rumah baru abah. Bagiku, rumah baru abah sangat cantik. Cantik kerana setiap kali singgah aku akan beristighfar, bersedekah Alfatihah, menyeru doa dan memuji nama Allah. Rumah baru abah cantik kerana mengajak aku mengingati Allah dan juga perjalanan menuju kematian. Abah, izinkan aku meminjam semangatmu agar terus kental berjuang. Rumah baru abah menyimpan tulang-temulang, jasad abah mungkin telah hancur dimamah bumi. Namun abah pergi dengan bermaruah. Tiada apa yang ku persoalkan kerana abah telah menunaikan tanggungjawab sebagai bapa yang hebat. Abah akan kekal bermastautin dalam lubuk hatiku, yang sering merindui abah. Aku tidak lagi melihat kelibat abah, namun redha dengan takdir Ilahi.

Tuesday 9 February 2016

Updates, updates

credit to google : happy woman
Hari ini bersiaran selepas 4 hari cuti kelepasan am. Catat rekod! Kami sekeluarga memang tidak ke mana-mana... hanya beraktiviti di kawasan sekitar Melaka/ Muar sahaja. Hari Sabtu menghadiri kenduri perkahwinan anak jiran di old neignbourhood kemudian pulang menjenguk ibuku di kampung. Ahad pula menghadiri kenduri kahwin kawan. Isnin dan Selasa we totally relaxed, relaxed and relaxed. Malam tadi mengambil angin malam di pinggir Sungai Muar dan hari ini (Rabu) aku kembali bekerja.

Dua minggu lepas kami baru pulang dari JB. Memang tiada plan untuk bercuti ke mana-mana dalam masa terdekat, cuma ada perancangan untuk cuti sekolah pada Mac nanti. Tahun ini 'angin sibuk' nya lain macam sedikit. Anak sulung akan menduduki UPSR. Dua orang anak yang kecil - oh, bagaimana mahu ku gambarkan? Aku sedang sibuk melatih mereka 'for early education'. Memang banyak masa di habiskan di MPH Bookstores meninjau rak buku kanak-kanak. Mereka menjadikan aku lebih kreatif untuk mencari bahan bacaan dan interaktif yang boleh stimulasi perkembangan intelek anak-anak. Sejujurnya aku tidak risaukan Izzah - kerana dia sangat rajin dan minat buku. Tapi Iman...aduhai, main sahaja yang lebih.

Jadual seharianku turut bertukar mengikut rutin sekolah anak-anak. Biasanya 5 hari persekolahan jadual mereka sangat padat. Aku sendiri kelam-kabut menguruskan mereka dan berkejar pula ke pejabat memenuhi temujanji dengan client dan menyelesaikan kerja-kerja lain. Dahulu aku 'confirm' akan singgah ke Masjid Selat Melaka setiap waktu Zohor, saban hari bekerja. Seolah-olah jika sesiapa ingin menemuiku, carilah aku di Masjid Selat menjelang waktu Zohor... namun sekitar tahun ini, rutin harian ke Masjid Selat seakan tertangguh. Oh, rindunya aku menjejakkan kaki ke masjid dan bercanda dengan deruan ombak dan langit biru yang melingkarinya.

Aktiviti seharianku kini, menguruskan anak-anak, menjemput pulang dari sekolah, mengajar dan membantu mereka menyiapkan homework. Seboleh mungkin aku akan memasak di rumah kerana makan di luar membuatkan kami seringkali kecewa dengan harga, servis lambat, kebersihan dan sedap atau tidaknya makanan. Aku juga gemar buat kek sekarang! Baru sahaja berturut-turut buat kek red velvet, kemudian kek coklat dan semalam buat marble cakes. Sold out! My family really loves fresh cakes from oven! Buat aku bersemangat untuk baking cakes lagi!

Oh, sebenarnya aku sedang stand by client yang hendak datang ke pejabat berkenaan divorce matter. Tapi lambat pula dia... 




Monday 26 October 2015

Her current condition is worsening

Sekarang blog ini seolah-olah menjadi diari untuk aku mencatat apa jua perkembangan mak. Mungkin tidak sekerap mana namun buat masa ini sekurang-kurangnya aku dapat update dan melepaskan beban perasaan kerana terkenangkan mak. Semalam aku sempat menjengah ke kampung. Aku nampak di hujung-hujung kaki dan ibu jari mak ada blood clots. It must be resulted from the poor blood circulation.

Namun aku sedikit gusar bila terfikir ia mungkin early symptom of gangrene. Ya Allah, menangis aku bila terfikir kesengsaraan mak kerana apa yang mak hadapi sekarang sudah cukup sengsara. Ya Allah, selamatkanlah ibuku, lindungilah ibuku, bantulah ibuku menanggung perit luka kesakitannya dalam kemampuannya, Ya Tuhan.

Mak beri aku sehelai jubah putih. Jubah putih bersulam emas. Satu jubah lagi warna putih polos mak suruh simpan elok-elok dalam almari. Ujar mak, bila sampai masanya nanti sarungkan jubah itu pada badannya waktu dia ingin mengadap Ilahi...Mak! Aku tahu masanya bakal sampai, bakal tiba, luluh hati bila fikir satu hari aku akan berpisah dengan mak. Ya Allah, peliharalah ibuku dalam rahmat-Mu.

Aku ingin menulis lagi namun masa seolah-olah cemburu. Ini pun aku masih di pejabat sedang anak-anak ada dengan bapa mereka di rumah. Aku berusaha juggle dengan urusan kerja, rumahtangga dan dalam masa yang sama jenguk-jenguk keadaan mak dan abah di kampung. Belas hati melihat abah. Jauh lebih belas melihat mak. Dalam kejauhan renunganku, aku membayangkan mak dan abah akan bersenang-senang di taman syurga kelak. Ya Allah, kurniakanlah kedua ibubapaku syurga di Taman Firdausi-Mu. Mak, abah... meski tubuh badan mak abah hancur luluh di mamah penyakit, namun semangat mak dan abah ku genggam bersama dalam mendepani kehidupan ini. Terima kasih setinggi gunung, terima kasih kerana memberi aku sinar kehidupan tanpa jemu-jemu, dari aku kecil hingga aku ke alam dewasaku sekarang.

Friday 23 October 2015

Mak, hati ini ingin berbicara

Mak... rindu mak sangat-sangat. Tak terucap dengan kata-kata, tak terluah, tak tersimpan, tak terjangkau....tapi hati sangat belas merindu mak. Rindu mak... rindu saat-saat dapat bersama, menghirup angin petang. Dulu, sempat bawa mak jalan-jalan sampai ke Rembau, sempat ronda-ronda sampai ke Pelabuhan Linggi. Mak, cemburunya hati bila melihat orang lain dapat keluar makan dengan mak masing-masing.... Sedang diri sendiri hanya melihat mak berbaring, hilang upaya untuk berbuat sesuatu. Malam-malam sentiasa teringat mak... sedihnya mak hanya Tuhan Yang Tahu.

Mak, daku sedar diri ini sudah cukup dewasa. Sudah ada keluarga sendiri, sudah ada penghidupan sendiri, tapi mak.... mana mungkin emosi ini cukup kuat bila memikirkan dugaan hidup mak. Tingginya cabaran yang mak terpaksa harungi....tak terkata betapa kasihannya bila mengingatkan mak yang terpaksa mengharung siang dan malam dengan ketakselesaan. Mak, daku hanya mampu berdoa.... Berdoa agar dosa-dosa mak diampunkan, berdoa agar mak dapat mengharung dugaan hidup dengan tabah, moga Allah ringankan kesakitan mak....

Mak, akhir-akhir ini daku sering teringat nostalgia masa kecil. Teringat mak belikan majalah Gelihati setiap kali hari lahirku. Teringat mak masak sedap-sedap... teringat kari ayam mak yang tiada tandingan. Bila masuk asrama, setiap minggu mak datang menjenguk. Bila dewasa dan mak makin bersikap terbuka, macam-macam cerita yang dikongsi dengan mak. Bila mak dah ada ramai cucu, mak rajin masak ole-ole untuk minuman petang...macam-macam kuih yang mak masak dengan resepi hanya di hujung jari. Bukan macam orang sekarang, asyik rujuk buku resepi dan google cara-cara memasak....

Mak, daku bahagia dengan kehidupan kini. Jika dapat dipusingkan masa, aku ingin kembali kepada 4 tahun dulu masa mak masih sihat dan boleh berjalan. Namun daku tidak mampu mengubah takdir. Mempersoalkannya pun daku tidak mampu...cuma akalku yang yang dangkal ini cuba merenung hikmah atas apa yang telah berlaku. Mak, jika daku punya kuasa sakti, ingin saja ku hadiahkan mak dengan kesihatan. Mak, sesungguhnya tiada insan yang boleh mengganti kedudukan mak di dalam hati ini. Mak adalah insan paling ulung yang ku cintai nombor wahid. Daku ingin meniti bersama-sama mak di penghujung emas usia mak. Terima kasih Tuhan kerana masih meminjamkan mak, walau dalam keadaan apa sekalipun. Mak, meski mak hilang upaya berjalan kini, dan mak berlingkar tiub di badan, di mataku mak adalah insan yang paling sempurna - sangat sempurna. Terima kasih mak kerana mengajar aku erti kasih-sayang yang paling dalam.

Monday 12 January 2015

Pagi yang macam2

Masih belum berakhir pagi ini namun macam-macam yang timbul dan perlu diladeni. Ini hari pertama sekolah dibuka. Aku tiada masalah kerana anak sulung sudah besar dan cukup berdikari. Semua persiapan disediakan sendiri, aku hanya sediakan apa yang perlu sahaja seperti menjahit lencana dan memberikan duit belanja.

Aku juga buat tough decision hari ini, aku hold dulu hantar Iman ke Tadika Perpaduan. We just think that he is not ready yet. Kami mungkin sedikit radikal...kenapa? We don't want our kids to become prey to the current education system. Kami mahu anak kami belajar dan membentuk peribadi mengikut rythm mereka sendiri. Mengikut pengalaman sendiri, aku juga tidak mahu anak jemu kerana terlalu lama berada di bangku sekolah. Namun, aku telah survey sebuah playschool berdekatan rumah kami. Mungkin aku akan hantar Iman ke sana sedikit masa lagi.

Pagi ini juga mendengar keluhan pengasuh anakku yang bermasalah kerana suami berkahwin baru. Kasihan... Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Jarak rumah madu dengan rumah sendiri hanya sepelaung sahaja, sakit mata dan hati melihat suami berdua-duaan di depan mata sendiri. Sakit luaran ada ubatnya, sakit dalaman....hanya hati sendiri yang tahu betapa pedihnya disakiti. I feel sorry for my babysitter, I hope she will soon find her own happiness in her own way.

Aku juga bukan pejuang kaum perempuan walaupun sifat feminisme aku agak kuat. Siapalah kita untuk menjadi penentu siapa jadi juara dan siapa yang tewas. Namun sebagai perempuan jangan terlampau mengalah dan jangan bergantung seratus peratus pada lelaki. Jauhi kepercayaan membuta tuli, berusahalah agar kamu mempunyai pendapatan sendiri dan jadilah wanita berdigniti. Sesungguhnya kita adalah penentu kepada kebahagiaan diri sendiri. Berserahlah kepada Allah jika sedang dihimpit penderitaan tak berkesudahan.

Friday 19 December 2014

Doktor kalut

Khamis lepas masuk 2 hari my boy mengalami dirrhea. Mahu tidak mahu terpaksa juga bawa ke klinik kerana hari sebelumnya muntah 3 kali dan esoknya cirit-birit 5 kali. Aku pergi ke klinik berdekatan sahaja kerana kesuntukan masa.

Tiba di klinik..aik? Sihat sahaja dia nampaknya. Cuma dia bosan kerana menunggu lama. Aku terpaksa singgah 2 klinik kerana 'long queqe' akibat doktor banyak mengendalikan cuci dressing bagi pesakit-pesakit kencing manis. Tiba di klinik kedua, aku tiada pilihan terpaksa juga jumpa doktor walaupun dengan beliau aku tidak 'familiar'.

Memandangkan anakku kelihatan sihat, sessi rawatan bertukar menjadi sessi temuramah. Doktor menegur anakku kerana bermain 'gadget', katanya itu tidak elok kerana anakku tidak memberi perhatian pada sekeliling. Kemudian beliau bertanya pula tentang persekolahan anakku, tadika mana & minum susu apa. Kata si doktor 'kepochi', aku sepatutnya hantar anak ke tadika swasta ( spt Smart Reader) dan beri dia minum susu premium. Fernleaf is not a good brand!

Doktor kalut menilai aku dalam masa 10 minit dan membuat kesimpulan sendiri. Well, aku berjumpa dengannya untuk sessi rawatan, bukan untuk beliau menjadi polis moral memberitahu apa yang elok dan apa yang tidak. Wahai doktor kalut, anak saya main games sekejap sahaja kerana dia sudah bosan menunggu di klinik berlama-lama, anak saya masuk Tadika Perpaduan sahaja kerana saya suka jika anak saya pandai bergaul dengan bangsa asing dari pelbagai golongan. Dahulu anak saya minum Anmum, susu premium yang doktor kalut cadangkan dan lama-kelamaan, dia tidak mahu minum susu putih lalu saya terpaksa switch kepada susu coklat jenama Fernleaf. Doktor ada masalahkah jika orang lain tidak mengikut kadar standard pada pandangan mata doktor? Selalunya kami jumpa pakar kanak-kanak tapi hari ini masa terhad, jadi saya jumpa doktor yang merupakan 'general practitioner'. Tapi mesti doktor 'sentap' kalau saya katakan doktor adalah 'pilihan kedua' dan tidak masuk senarai utama saya. Hahaha... 


Monday 15 December 2014

Latest things


Latest things that I am doing...hmmm..apa ya? Aku sedang kalut menguruskan urusan hartanah keluarga. Ibuku ingin mengagih-agihkan hartanah yang ada sementara beliau masih dipinjamkan usia ini. Aku terpaksa aturkan wakil Pentadbir Tanah datang dari Pejabat Tanah Alor Gajah. Memandangkan ibuku uzur dan tak convenient untuk hadir sendiri, maka kami pohon supaya urusan hartanah dapat dijalankan di rumah kedua orang tua ku di kampung. Aku harap agar semua urusan ini berjalan lancar dan aku dapat menarik nafas lega.

Aku juga sedang uruskan perceraian klien ku yang kini bertugas di Sarawak. Dan sedang expecting payment daripada Bahagian Pinjaman Perumahan di Putrajaya untuk satu urusan jual beli. Dan sedang uruskan satu kes bankruptcy. Dan juga sedang bantu kenalan uruskan tuntutan gantirugi kemalangan arwah bapanya yang meninggal pada 2012. Oh, aku sangat kesuntukan masa. Kadang-kadang aku duduk merenung tugasanku sambil bingung memikirkan yang mana satu harus ku selesaikan dahulu.

2015 bakal menjelang dan aku juga mengalu-alukan kedatangan fajar tahun baru. Oh, apa harapan tahun baru agaknya? Semoga makin bersemangat dan sihat walafiat, rajin beramal ibadat dan dapat selesaikan segala yang outstanding supaya dapat menjalani tahun baru free from clutters! Oh kehidupan tetap kehidupan. Kesibukan inilah yang ku tempuh sejak bertahun-tahun yang lalu. I am looking forward to a new year. Melihat Iman melangkah ke sekolah Tadika, Dina melangkah ke Tahun 5 dan Adik mencecah umur 3 tahun. Anak-anak semakin membesar dan sebagai ibu, aku akan berusaha menggembirakan mereka dan bantu mereka mencapai yang terbaik dalam hidup ini!

Sunday 14 December 2014

Handbag...kenapa mahal bebenor?

Semenjak dua menjak ini aku gemar melayari laman online meninjau-ninjau koleksi beg tangan. Boleh dikatakan setiap hari aku menjenguk namun membelinya belum lagi. Aku memang seorang pembeli cerewet kerana jika ada sesuatu, aku akan pakai secara lasak. Suami juga telah memberi peruntukan.... Namun aku belum jumpa yang betul-betul sesuai dengan gaya dan budgetnya.

Memetik kata-kata suamiku, mengapa beg tangan mahal kerana ia tiada fungsi mekanikal? Betul juga, ya? Mungkin ia mahal pada jenama dan material kulit. Aku berkenan Prada namun memikirkan anak-anak yang tidak faham menjaga barangan kesayangan ibu mereka buat aku seriau sendiri. Habis nanti beg Prada tercarik atau diconteng dengan pen! Sewaktu di Penang aku masuk butik Charles & Keith lantas merasakan beg jenama itu terlalu besar dan boxy. Ia juga bukan pure leather, tetapi harganya ok dan mampu milik. Di Melaka pula aku meninjau jenama Fossil. Thumbs up! Fossil sangat berkualiti dan berkulit penuh (full leather). Hairan juga mengapa beg tangan Fossil kurang popular. Selain itu, Braun Buffel dan Bonia juga sangat berkualiti. Buat aku kehairanan kerana orang zaman sekarang mengejar Coach dan Michael Kors. Jika mahukan handbag berkualiti cuba lihat Hilly. Ia juga sebuah jenama premium dan bersifat 'timeless design'.

Jika mengikut trend dan pemakaian, kita cenderung mengikut budaya popular dan arus semasa. Aku pula, sebaliknya, suka mencetus gaya tersendiri. Aku juga bukan pengumpul koleksi beg-beg tangan yang perlu ditukar mengikut gaya setiap hari. Beg-beg yang ada jika rosak ku lupuskan sahaja manakala yang masih elok ku berikan saja kepada ahli keluarga. Hmm...masih bingung memikirkan handbag pilihan. Kemungkinan aku beli Fossil atau Longchamp. Atau, mungkin juga Gucci yang jadi idaman?

Saturday 13 December 2014

Damai


Malam minggu yang damai. Baru minggu ini aku dapat berehat di kediaman sendiri. Jika tidak, masa sering mencemburuiku dan melarang aku berehat panjang. Dua minggu sebelum cuti sekolah aku telah mencuri peluang berlibur ke Penang. Masa itu suasana percutian tidak sesibuk sekarang. Mujur aku berperancangan cepat. Jika tidak, aku akan terperangkap dalam kesesakan dan kesibukan kerana orang lain juga sibuk bercuti di luar sana.

Bandar Melaka menjadi destinasi tumpuan yang luar biasa galaknya. Tempat kerjaku sendiri betul-betul terletak di lokasi tumpuan pelancong, maka aku sendiri perlu berebut dengan holiday makers yang datang dari segenap pelusuk. Parkir kereta seringkali penuh, jalanraya sesak sana-sini malah makanan juga menjadi dua kali ganda harganya. Terkejut aku waktu menjamu selera kelmarin, telur ikan masak asam pedas yang bukannya luxurious food berharga RM25 untuk 2 orang makan. Kelmarin juga aku selamat mendaftar syarikat untuk GST. Termenung memikirkan bagaimana kehidupan pasca GST nanti, bimbang harga barang meningkat kerana segalanya perlu dicukaikan.

Teringat aku sewaktu kecil dahulu, kehidupan seemed like so free and easy. Dengan hanya 20 sen, boleh sahaja membeli makanan di kantin sekolah. Kini anakku perlu dibekalkan dengan lebih kurang RM5 bagi belanja sekolah pagi dan petang. Malah perlu juga wang belanja lain untuk ke kelas tuisyen. Hmm...kerjaya apa pula yang sesuai untuk mendepani masa hadapan kerana gaji RM2500 zaman sekarang tidak lagi sustainable. Sewaktu bapaku membeli hartanah tahun 1971 dahulu beliau hanya membayar tunai RM3000. Kini harga hartanah berlipat kali ganda. Lebih-lebih lagi rumah kedai dengan harga jualannya yang tak masuk akal. Mujur aku dapat membeli sebuah lot kedai pejabat dengan harga mampu milik dahulu. Buat masa ini aku bersyukur dengan apa yang ada dan belum terfikir untuk membeli hartanah lagi. Niat di hati hendak berbisness homestay tapi nampaknya...belum mampu milik lagi!

Tuesday 9 December 2014

Tawaran baru...sibuk lagi

Aku mendapat tawaran baru... Kali ini aku ditawarkan untuk menguruskan projek perumahan sekitar Melaka. Perkara biasa apabila pembeli membeli rumah kediaman baru, peguam akan menguruskan urusan jual beli dan pinjaman. Bukan sesuatu yang asing bagiku tapi...aku bakal sibuk lagi...

Aku memang agak 'mementingkan diri'. Aku bekerja mengikut rentak diri sendiri dan tidak mengikut jadual orang lain. 'Keunikan' aku inilah yang membolehkan aku sampai ke tahap sekarang. Aku bekerja secara 'multi-tasking' bukan sahaja di rumah malah di pejabat juga. Aku boleh duduk di pejabat sampai lewat petang dan juga gigih memanjat tangga pejabat pada cuti hari Sabtu. Bulan lepas aku menolak tawaran kenalan untuk menguruskan urusan hakmilik di Johor Bahru. Masalahku ialah, fine, aku boleh bekerja dan 'gila' bekerja tetapi orang-orang di sekelilingku terlampau manja.

Suami mengharapkan aku menguruskan rumahtangga dan hal ehwal pejabat. Dan cemburu juga orangnya. Pengasuh anak-anak 'senget' emosi lepas suami berkahwin lagi, anak-anak yang kecil hingga besar mengharapkan aku dan mendamba perhatian penuh, ibu sendiri lumpuh dan perlu dijenguk selalu, bapa mengharapkan aku untuk urusan perubatan. Aku sendiri perlu menjana income yang banyak untuk keperluan sendiri & keluarga dan membantu ibu bapa selagi terdaya. Aku juga perlu kuat dalaman untuk 'berperang' dengan kes-kes perceraian yang kukendalikan bagi pihak anakguam. Di mana masa untuk diriku sendiri? Oh Tuhan, moga aku semakin kuat dan tabah dari hari ke hari.

I love what I am doing and feel very blessed. But i'm doing so many things at one time i feel like crazy. Selepas menguruskan rumahtangga di pagi hari, aku bekerja pula hingga lewat petang. Hujung minggu pula terlalu banyak 'social obligation' di kalangan keluarga dan saudara-mara, jika tak tertunai ada pula yang merajuk. Oh asam garam kehidupan. Jika tak berusaha, tak terasa kemanisan. Jika terlalu kuat berusaha, kita terkapai-kapai sendirian sampai tak sempat menikmati kerehatan.

Sunday 7 December 2014

Bertemu lagi

Aku kembali membuka blog Malacca Rendezvous. Sekadar random thoughts, aku juga memerlukan wadah untuk bercerita segala yang terbuku di hati. Kata mereka blog tidak lagi relevan. Tapi kadangkala, fikirku blog masih diperlukan sebagai bacaan di kala senggang.

Tatkala ini aku baru pulang dari Batu Pahat, dan kembali gigih meneruskan tugas-tugas seharian. Aku sering tercungap nafas dan berusaha juggle dengan terlalu banyak benda pada satu masa. Di pejabat, I am wearing so many hats, mengendalikan tugasan sendiri, membantu suami, menjaga hal-ehwal akaun dan cukai, menjaga kebajikan pekerja dan pelbagai skop lagi. Di rumah, aku tiada pembantu. I used to have a superb babysitter but she saturated upon the husband marrying another woman. Aku masih di sini. Khamis lepas menguruskan bapaku menjalani operation mata. Anak yang bercuti sekolah juga perlu diuruskan. Kadangkala aku lelah menjadi superwoman. Namun, mungkin takdir Tuhan agar aku menjadi insan yang sangat bertanggungjawab, maka aku harus memikul amanah ini dengan dada yang lapang.

Telah banyak yang aku kompromi. Dulu aku penggemar spa, manicure & pedicure, gemar membuat rambut & jagaan muka. Kini, hendak ke bank pun aku tiada masa. Dahulu aku gemar membaca majalah gaya hidup, kini aku membaca 'Personal Money' sebuah majalah pelaburan. Rutin harian masih sibuk 24 jam, namun aku lebih mengutamakan hal-hal yang penting bukan lagi hal remeh-temeh. Aku bukan lagi penggila make-up dan tudung berjenama. Aku lebih mementingkan mereka yang di sampingku sambil aku menjalani kehidupan berkualiti. 

Anak saudara sulung sedang pening kepala memilih jurusan di universiti. Aku juga sama sibuk menggalakkan beliau mengambil jurusan perubatan bersekutu. Lantas teringat semasa aku memilih jurusan dahulu, aku semata-mata bersandarkan minat, bakat dan kata hati. Alhamdulillah, pilihanku tepat dan aku gembira melakukan tugas yang seimbang kerjaya dan rumahtangga. Bukan senang menjadi wanita zaman sekarang kerana kehidupan sangat demanding dan mahu tidak mahu kita terpaksa bersaing. Takkan hendak duduk di rumah sahaja selepas menggenggam ijazah, bukan? Buat anak saudara Maksu, choose wisely, jika kita melakukan sesuatu yang kita minat Inshaa Allah kita mampu melepasi galangan.

Tuesday 2 December 2014

Tentang Iman

Semalam Iman genap 4 tahun. Anak bujang kesayanganku itu lahir di penghujung tahun 2010. Tahun depan Iman akan mula bersekolah Tadika. Begitu pantas masa berlalu. Serasa baru semalam ku gendong Iman dalam bedungan.

Apa lagi harapan seorang ibu, selain mengharapkan anak kesayangan akan sentiasa dilindungi dalam barakah dan bahagia. Aku sangat menyayangi Iman laksana nadi yang berdenyut setiap saat, setiap minit adalah rindu dan kasihku pada Iman. I feel really blessed to have 3 children of 2 girls & 1 boy. Segala kerja keras dan daya usaha adalah demi melihat kebahagiaan mereka ini yang membesar di depan mataku. Ya Allah, semoga anak-anakku sihat dan gembira selalu di samping menjadi hambaMu yang soleh dan solehah.

Iman sangat aktif, sama seperti kanak-kanak lelaki lain yang menggemari aktiviti lasak dan outdoor. Rutin hariannya akan bermain mainan ultraman & toys car, menonton rancangan kegemaran di Disney Channel. Minat lawak jenaka juga dan gemar menonton Maharaja Lawak Mega. Makanan kegemarannya mi goreng dan gemar minum teh. He really fond of me dan gemar menarik perhatianku. Kadang-kadang geram juga dengan karenahnya yang ingin kita melayannya sepanjang masa. Adakala juga lebih manja dari adik perempuannya yang berumur 2 tahun. Iman is mischievous & adorable at the same time. Terima kasih Tuhan kerana mengurniakan Iman, buah hati pengarang jantung tempat kasih ini tertumpah dengan selaut sayang.

Membesarlah duhai anak. Mama doakan Iman mendapat yang terbaik dalam menempuh kehidupan ini. Mama akan tolong mengemudi, namun tak akan memaksa. Mama percaya kita akan amat bahagia jika kita menempuh hidup dengan semangat jitu dan tak lupa mensyukuri nikmat Tuhan.

My little hero

Wednesday 26 March 2014

Rahsia Lautan Hindi

Aku bukan 'frequent flyers' cuma sekadar mengikuti perkembangan MH370 hari demi hari. Di samping itu aku juga memiliki kenalan dalam bidang aviation industry memandangkan aku mewakili sebuah syarikat penerbangan swasta dalam beberapa kes-kes mereka di Mahkamah Sivil.

Setiap kali berlaku isu, aku akan cenderung untuk tidak mengulas berdasarkan siaran-siaran ulangan dalam akhbar dan TV. Aku akan membidik dari lensa mataku sendiri. Rumusan sendiri - mungkin pandanganku sedikir drastik kerana aku tidak berfikir dalam kotak konvensional. Berikut ini adalah pandangan peribadiku dalam tragedi MH370 yang berakhir di selatan Lautan Hindi.

(1) Allah menduga kita melalui insan yang paling kita sayang. Mengapa? Oh, jangan bersangka buruk kepada Rabbi. Setujukah kamu kalau saya katakan insan-insan yang terlibat dalam MH370 adalah ahli keluarga kesayangan? Isteri kehilangan suami, ibu bapa kehilangan anak. Si kecil kehilangan keluarganya. Mereka yang pergi adalah si bijak pandai - Jurutera aeronautikal, pengurus Petronas, pengatur program komputer. Sekelip mata insan-insan yang terlalu istimewa di mata ahli keluarga mereka pergi tanpa khabar berita. Allah menguji kita melalui insan yang paling kita sayang kerana tiada yang kekal di muka bumi ini. Walaupun pemergian tidak kita relai namun; Pencipta kita ingin menguji kita kerana sebaik-baik tali untuk bergantung adalah kepada Sang Pencipta - bukannya sesama makhluk.

(2) Dalam pada berlakunya tragedi MH370, ada pula kes-kes kemalangan kecil melibatkan syarikat-syarikat penerbangan lain seperti Malindo Air. Ada banyak rumusan yang boleh disimpulkan apabila berlaku kemalangan, antaranya kerosakan teknikal. Analogi saya mudah. Jika kerosakan teknikal kenderaan saya iaitu kereta, saya boleh signal dan berhenti di bahu jalan untuk memeriksa masalahnya. Jika di udara? Oh, landasan mana hendak di singgah, cukupkah masa untuk bertindak, dapatkah mengawal keadaan ketika kecemasan? Firma guaman saya banyak mengendalikan kes-kes kemalangan jalanraya melibatkan pampasan Insurans. Kesimpulan yang saya buat, meskipun negara kita telah terlibat dalam industri penerbangan awam dan komersial sejak sekian lama, namun sedikit sebanyak kita 'ketinggalan' dari segi pembaikian dan selenggara (maintenance). Bolehkah kamu bayangkan kereta yang berusia lebih 5 tahun, ia akan mula meragam bukan? Begitu juga pesawat udara, ia boleh meragam dan memerlukan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan ia selamat (worthy) untuk terbang di atas sana.

(3) Saya tertarik dengan pandangan seorang pemikir dalam industri penerbangan awam, yang mengutarakan teori 'pilot suicidal'. Bukan pula saya bersetuju dengan pandangan beliau tetapi saya tertarik dengan alasan yang beliau kemukakan. Cara pesawat diturunkan iaitu di Selatan Lautan Hindi satu-satunya kawasan paling sunyi di dunia dan digelar 'deadliest sea' menungkinkan teori bahawa pesawat ingin dilenyapkan bagi menghapuskan bukti. Mungkin juga pesawat ditawan dan pengendalinya mengarahkan ia menjunam di kawasan laut paling terpencil tersebut. Jika pecahan pesawat jatuh berdekatan dengan laluan biasa laut, mudah saja untuk mengesan bukan? Namun ia terperosok di Lautan Hindi di mana kemungkinan untuk menemuinya dalam keadaan asal atau berkecai adalah sangat-sangat rendah peratusannya.

Simpati saya kepada semua ahli keluarga mangsa. Saya pasti semua akan terkesan lebih-lebih lagi jika semasa hayat mereka adalah di kalangannya kenalan, saudara, rakan dan taulan. Rupanya seorang mangsa merupakan anak kepada Peguam bernama Januari Siregar dan kini sedang memulakan litigasi terhadap Boeing, Mas dan Kerajaan Malaysia menuntut pendedahan-pendedahan meluas supaya tragedi ini dapat disiasat dan dikupas sedalam-dalamnya. Teori tetap teori, kita tidak dapat mengagak apa yang berlaku kerana kita bukan mereka yang berhadapan dengan detik cemas disapa Malaikatul Maut. Mungkin juga penemuan kotak hitam (jika berjaya) will shed some light dan kita tahu sebab kejadian kerana setakat ini hanya teka-teki dan spekulasi belaka. Oh, waris-waris boleh menuntut dan pampasan bakal mencecah ribuan Dolar namun jiwa yang pergi tetap pergi dalam keadaan paling menyayat hati. Jika diberi pilihan, waris tidak mahu duit kerana wang ringgit tidak dapat mengubati kesedihan sepenuhnya. Mereka mahu orang-orang kesayangan mereka kembali namun Tuhan jauh lebih menyayangi.


Tuesday 18 March 2014

Untuk wanita di luar sana

Sebagai seorang pemegang portfolio 'divorce lawyer', aku sering mendapat privillege untuk mengetahui the real side of the story. Infact, baru sahaja semalam aku bertemu dengan klien warga Scotland yang bekerja di Malaysia dan mempunyai masalah dengan isteri yang merupakan warga Sabah berbangsa Sino-Kadazan. When you handle divorce matters, it involves a long story and a lot of time and energy are required to undergo a long battle. 
 
Dalam kes lain, aku bertemu dengan isteri Defendan di mana aku sebenarnya mewakili suaminya, tetapi cara aku menangani kes ialah dengan mendengar both sides of the story, supaya aku boleh mencapai penyelesaian yang terbaik kerana apabila rumahtangga terbelah, ia melibatkan anak-anak dan aku tidak mahu mereka menjadi mangsa dalam perang orang dewasa.

Wanita yang kutemui semalam sebaya denganku sahaja. Beliau diceraikan, tanpa pekerjaan dan kini berdikit-dikit berdikari membuat tempahan kuih-muih demi menampung hidup. Right now she undergo a long battle untuk mendapat hak penjagaan anak-anak seramai 3 orang. Suami sudah berkahwin baru dan happy dengan kehidupan barunya. Suaminya seorang kakitangan kerajaan yang banyak terlibat dalam pemberian tender dan kontrak. Their marriage was so steady in the first few years, namun bergolak menjelang tahun ke-5 perkahwinan. 
 
Aku tidak tahu bagaimana harus ku huraikan. Namun dalam perkahwinan ada baiknya jika kita belajar ilmu perhubungan dan jaringan kemanusian sesama suami isteri. Isteri tidak bekerja dan suami seorang kakitangan kerajaan, tinggal di kawasan pinggir bandar dengan anak-anak yang kian membesar seramai 3 orang. Seems so ideal, right? Tapi lumrah manusia. Mereka tidak suka dengan perjalanan hidup yang rutin kerana ia membosankan. Lalu mereka cuba mencari 'konflik'. Suaminya jatuh cinta dengan kakitangan perempuan yang jauh lebih muda di pejabat. Suaminya galak bercinta di luar. Isteri seorang surirumah sepenuh masa setia menanti suami pulang namun semakin curiga. Kerja luar masa di mana ya sampai pulang ke rumah jam 5 pagi!

Untuk wanita-wanita di luar sana, aku tidak cuba menjadi hero. Tapi aku ingin menekankan kepentingan berdikari supaya kita tidak mudah diperkotak-katikkan suami sendiri. Jika suami jujur itu suatu bonus namun jika suami menipu yang tertindas adalah isteri. Rumahtangga adalah satu perjalanan yang panjang dan jangan lupa 'memikat' suami supaya kehidupan tidak menjadi bosan. Belajar berkomunikasi supaya kamu akan menjadi pendengar setia dan dia seronok berbual denganmu. Jangan sampai dia lebih seronok berbual dengan gadis-gadis muda di tempat kerjanya. Gilaplah kelebihan dirimu dan personalitimu supaya dia kekal kagum dan kamu akan nampak 'seksi' di matanya kerana kamu mempunyai kerjaya, keyakinan diri, tahu bergaya dan girang menjalani kehidupan. Jangan jadi katak yang duduk di bawah tempurung, tidak tahu bergaya dan tidak pula mengikuti perkembangan semasa. Suami sukakan sesuatu yang 'adventerous'. Layan hobinya seperti bersukan, mengembara, lepak dan bersiar-siar. Jika kamu sudah menjadi ' a whole great wife', tiada sebab dia mahu menambah dosa dan mencari perempuan lain di luar. Kecuali, dia memang suami 'cacat emosi' kerana tidak berpuas hati dengan isteri sendiri sedangkan isteri tiada cacat-cela dan salah-silapnya.

Kehidupan bersama menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Kamu mungkin berusaha sehabis baik, namun ditakdirkan rumahtangga kecundang jua. Kehidupan berumahtangga adalah satu landasan kehidupan. Kamu berdua mencari destinasi bersama dan mohonlah supaya ia berakhir dengan gembira. 
 

Tuesday 18 February 2014

Majalah sedap, Nona & Erra Fazira bercerai


Propa pula tajuk blog saya hari ini. Sesekali perlu juga menunjukkan 'the other of side of me' rather than bersikap serius sepanjang masa. Majalah 'Sedap' adalah wadah terbaru yang saya nanti-nantikan setiap bulan. Saya gemar menatap inspirasi-inspirasi kulinari yang ditonjolkan dan jika berkesempatan saya akan bereksperimen di dapur sendiri. Kebanyakan buku resipi hanya menonjokan juadah yang cantik terhias namun bahan-bahan dan cara penyediaannya 'separuh masak'. (Kurang menjadi jika ingin dicuba). Berbeza dengan 'Sedap', tagline nya ialah '99% menjadi'. Tema bulan ini ialah 'fine dining' dan saya cukup teruja untuk mencuba hidangan-hidangan ala Masterchef bagi menguji keupayaan diri sendiri di bidang kulinari. 

Memang rutin saya meninjau majalah-majalah saban bulan di MPH dan Popular. Saya gemar membeli majalah gaya hidup berbahasa Inggeris seperti Harper's Bazaar. Saya sudah lama tidak membeli Jelita atau Wanita kerana terlalu menonjolkan gaya hidup 'ala mak datin' yang kurang sesuai untuk saya kerana sebagai seorang career lady saya lebih simple dan terbuka. Namun semalam saya membeli 'Nona'. Tak lain dan tidak bukan kerana cover hadapannya ialah YB Nurul Izzah. Mana mungkin saya melupakan cover hadapan Nona sempena Hari Bapa tahun 2008 di mana Nurul bergandingan dengan bapanya Anwar. Kini selepas beberapa tahun Nona menyunting kembali Nurul Izzah sebagai sampul majalah. Namun Nurul kini dihimpit kontroversi kerana kononnya memfailkan permohonan fasakh baru-baru ini. Nurul tidak bercerita sepenuhnya dalam interview majalah ini. Beliau hanya meluahkan kesal kerana privasinya diceroboh menyebabkan orang di luar sana riuh bercerita kisah perceraiannya. Nurul juga manusia biasa. Dan dia jauh lebih 'super' dari kita semua kerana ibu bapanya ahli politik yang dilanda dugaan terhebat. Nurul pula sibuk dengan tugasan sebagai ahli parlimen. Calang-calang suami bukan mudah untuk menempatkan diri dengan membawa status sebagai pasangan kepada wanita waja ini. Saya dan suami berpendapat Nurul needs a more tougher man sebagai suami - yang boleh protect beliau kerana hidup Nurul berhadapan dengan medan tempur mental dan fizikal. Apa-apa pun saya percaya suami Nurul sangat kental orangnya kerana telah teruji dengan berbagai-bagai asakan dan tamparan dalam dunia politik tanahair.

Pagi ini pula terpacul berita Erra sudah sah bercerai. Wahai... apa lagi yang lebih hangat diperkatakan bila Erra terpaksa merelakan anak di bawah jagaan sang suami. Orang luar sedap berkata itu ini, namun yang menanggung pedih adalah pihak yang terlibat secara langsung dalam hal ini. Sudah ditakdirkan Erra akan menempuh hidup ini sebagai divorcee untuk kesekian kalinya. Saya membesar di zaman Awie Wings dan kegemilangannya dahulu dan saya perhatikan Erra serasi dengan Awie. Takdir menentukan jodoh mereka tidak sampai dan masing-masing bertemu jodoh dengan orang lain. Masing-masing gagal dalam perkahwinan pertama, malang bagi Erra kerana turut gagal dalam perkahwinan kedua. Saya lihat Awie lebih 'enjoy life' dan nampak hala tujunya dalam bidang seni. Seperti sekarang, Awie masih dapat tawaran sebagai 'lead actor' dalam filem-filem komedi dan teater, manakala Erra sudah jatuh sebagai pelakon pembantu dan bukan lagi heroin pilihan. Mungkin nasib masing-masing berbeza antara artis lelaki dan artis wanita yang masih bertahan dalam bidang seni. But Awie has 'it'... siapa sangka Awie yang 'brutal' boleh melakonkan watak-watak komedi dengan baik. Saya yakin jika Erra menemui destininya beliau akan lebih happy dan mendapat peluang kedua untuk kehidupan yang lebih baik. Sukar untuk saya jelaskan di sini. Mudah saja, jika peluang sebagai heroin filem sudah semakin suram kerana ramai muka-muka baru pilihan, Erra must look for her 2nd best. Mungkin boleh membuat label baju sendiri seperti Victoria Beckham, atau menjadi guru lakonan sesuai dengan pengalamannya menjadi aktres selama bertahun-tahun. She must go out from her comfort zone. Kerana jika Erra kekal statik, sukar untuknya bertahan kerana heroin-heroin baru datang silih berganti dan kehidupan masa silamnya akan terus-terusan diperkatakan. Ini hanya secebis cadangan dari mata hati saya sebagai pemerhati dunia seni. Ini juga lumrah sebagai selebriti kerana kehidupan peribadi akan dibidik dari lensa yang paling teliti meneropong salah silap dalam meniti kehidupan. 
   

Wednesday 16 October 2013

Sejak akhir-akhir ini

Sejak akhir-akhir ini aku gemar mencoret di sini. Tiada gambar pun tidak mengapa. Aku merasa lebih tenang di sini dan blog ini juga lebih privasi. Kehidupan juga tidak statik. Diam tak diam anak ke3 yang dulunya bayi sudahpun mencecah 1 tahun 1 bulan. Sudah semakin lasak. Aku semakin tiada punya masa sendiri. TV sentiasa perlu menayangkan animasi dan kartun. Aku sendiri 'compromised' dan sampai tiada masa pula hendak menonton berita.

Pasca pilihanraya umum aku tercari-cari wadah berita yang paling secocok untuk ku baca saban hari. Dahulu aku membaca Sinar tapi Sinar tanpa berita-berita politik ibarat kuah tanpa bergaram. Sudahnya aku seakan-akan 'hilang punca' dan tidak lagi up to date tentang isu-isu semasa. Sesuatu yang tidak pernah aku bayangkan sebelum ini. I pride myself as one who follows news and current issues. Bagaimana hendak faham isu jika Berita tidak ditonton dan tidak pula dibaca? Sudahnya aku hanya mendengar perkhabaran-perkhabaran yang dimaklumkan suami dan teman baik. Well, negara kita juga 'suam' sahaja keadaannya selepas Pilihanraya umum. Rakyat kebanyakan sibuk mencari rezeki dan nafkah sendiri kerana harga barang kian meningkat naik disebabkan kenaikan harga petrol yang mencanak-canak lagaknya.

Merujuk ruang lingkup peribadi, aku kini berhadapan dengan ibu bapa yang semakin merosot kesihatannya. Di pihak suami juga timbul konflik dan permasalahan keluarga sehingga kami mengenepikan dahulu keperluan untuk bersuka-suka. We always enjoy our family time together dan kebiasaannya kami akan get away pada hujung minggu ke ibu kota atau pusat-pusat peranginan dan adakalanya juga kami checked in di hotel-hotel di sekitar Melaka just to enjoy being together. Apabila ibu bapaku jatuh sakit, aku mengehadkan cuti hujung minggu dan akan spend masa sehari di kampung untuk membantu ibu bapaku menguruskan kehidupan mereka. Tiada lagi duduk santai-santai membaca majalah sambil meninjau gaya baju dan mekap terkini. Tiada lagi slot shopping spree di sekitar Alamanda Putrajaya, Parkson Melaka dan Jusco Seremban untuk memastikan ibu dan anak-anak sama bergaya dan trendy. Aku melihat kehidupan memerlukan lebih dari daya keseronokan begitu. Apa ertinya keseronokan hiburan tanpa had jika ibuku berbaring sejak 2 tahun yang lalu dan 'homebound' di atas katil pesakitnya? Apa ertinya aku mementingkan gaya hidup jika di kampung bapaku yang matanya sebelah glaukoma, mengalami masalah jantung dan prostat bersusah-payah menguruskan isteri yang lumpuh dan bertungkus-lumus pula menyediakan makan-minum sendiri? Setidak-tidaknya aku mesti memainkan peranan di situ. Menyalurkan bantuan yang secukupnya dari segi tenaga, masa, kewangan, upah pembantu, kos sara hidup, belanja perubatan dan sebagainya.

Inilah kehidupan. Ia bercabang-cabang dan di saat satu cabang yang ada tumbuh subur cabang yang lain turut memerlukan perhatian dan ada pula dahan yang rapuh. Yang penting kita sentiasa ingat dari masa asal dan akar kita dan jangan pula kita kekal mendongak pucuk yang subur menghijau sampai kita terlupa membaja pokok kita dengan benih-benih redha dan tawadhuk. Buat suamiku, aku redha kau memimpin jalanku and stay strong, man. Selepas hujan yang lebat dan awan yang berarak mendung, pastinya langitkan kembali cerah dan kita dapat pelangi.

Saturday 12 October 2013

My very true story

Aku hanya seorang anak kampung... dan bukan dari kalangan keluarga VIP. Begitu juga di pihak suami, kedua-dua kami berusaha keras untuk mendapat pencapaian hidup sekarang tanpa menumpang gah kedudukan dan pangkat keluarga masing-masing. Kerana kami bukan anak siapa-siapa,kami hadir dari kalangan keluarga biasa-biasa sahaja.

Namun merenung rezeki yang Allah Taala kurniakan buat aku terfikir sejenak. Aku tiada bapa berpangkat Datuk untuk meraih tender dan kontrak. Bukan pula anak pegawai tinggi yang merintis jalan mudah dalam kehidupan ini kerana segala keperluan asas telah terbentang luas di depan mata seperti rumah dan kereta. Tapi Alhamdulillah, kami mampu memiliki sebuah premis pejabat di kawasan segi tiga emas di Bandar Melaka, sebuah rumah semi-D, kenderaan-kenderaan baik dan sedikit sebanyak kemampuan dalam meladeni gaya hidup zaman sekarang. Tapi untuk menggapai semua ini bukan mudah semudah memetik jari atau pun seperti si pari-pari yang bisa menukar kuasa magis. Kami berusaha selama genap 10 tahun sejak dari mula-mula bekerja sekitar sedekad lalu. Selama 10 tahun itu kami bekerja dengan pemilik firma guaman di sekitar Melaka dan JB dan mereka ini secara terasnya berbangsa Cina dan India. Bukan mudah untuk meraih kepercayaan bangsa lain terhadap anak watan Melayu yang dipandang secara skeptikal sebagai malas dan bergantung kepada subsidi kerajaan dan status sebagai Bumiputra. Namun selama 10 tahun jatuh bangun kami itu dapatlah menampung ilmu di dada dan bila memiliki firma sendiri tidaklah kami terkapai-kapai tanpa haluan dan pengetahuan.

Sekitar 2011, aku masih di firma lama. Waktu itu aku 'comtemplated', berbelah-bahagi sama ada mahu meneruskan kerja di situ ataupun joint bekerja secara usahasama dengan suamiku. Hati sudah tawar sebenarnya kerana firma lama berhadapan dengan kes pecah amanah jenayah dan terlibat dalam soal-siasat polis. Siapa tak gerun bila kedai kopi di simpang berhadapan pejabat tempat aku selalu memesan roti bakar rupanya jadi tempat mata-mata mengintip pergerakan kami kakitangan pejabat tersebut. Pada satu ketika aku bekerja di 2 pejabat iaitu sebelah pagi di pejabat suami manakala di sebelah petang singgah pula di pejabat satu lagi (Yes, I am a crazy woman at work sedangkan masa itu anak lelaki ku kecil lagi dalam lingkungan 10 bulan). Perjalanan pulang ke rumah aku akan melalui Jalan Bunga Raya susur keluar ke Hospital Putra dan kebiasaannya pada waktu petang memang agak traffic jammed di jalan-jalan raya yang agak sempit di situ.  Semasa kereta berhenti (waktu itu memandu Myvi) aku terpandang kelibat seorang wanita tua menyorong basikal, di tempat duduk basikal tersebut adalah anak lelakinya yang Down Syndrome manakala di tempat duduk belakang juga anak perempuannya yang Down Syndrome. Dia diekori oleh seorang anak perempuan berbaju sekolah menengah yang lusuh dan kelihatannya sedang mahu pulang ke rumah mereka di sekitar kawasan itu.

Mereka adalah the underprivileged, menginap di perumahan Melaka lama mungkin di sekitar Pengkalan Rama atau Jalan Mata Kucing. Kasihan, dihimpat kemiskinan dan juga ketidakupayaan diri. Air mataku serta merta bergenang dan menitis. Aku tidak berfikir panjang sebaliknya terus memberhentikan kereta di bahu jalan (kereta belakang menekan hon panjang kerana aku berhenti emergency). Aku berlari mengejar makcik tersebut dan anak-anaknya. Oh, dahulu aku tidak sesenang sekarang duit pun hanya cukup makan dan pakai sahaja. Aku menghamburkan apa sahaja yang ada dalam beg duit. Semua. Ya, semua wang yang ada aku serahkan kepada mereka. Supaya mereka boleh membeli ubat, makanan dan apa jua keperluan mereka. Aku masih ingat senyum dan terima kasih si makcik tua. Selepas itu aku kembali ke kereta dan pulang dengan ketenangan dan kepuasan yang sukar sekali digambarkan perasaannya.

Hingga kini apabila aku dikurniakan rezeki yang baik dari sumber yang tidak disangka-sangka, aku sering terkenangkan makcik tua dan anak-anaknya. Mungkin jua doa makcik tua untukku sampai dan dimakbulkan oleh Tuhan. Aku bukanlah orang yang terlampau baik namun aku rasa wajar berkongsi kisah ini dengan kalian. Tiada salahnya berkongsi rezeki dengan mereka yang dihimpit kesusahan hidup. Kelak mereka akan doakan dirimu dikurniakan darjah kesihatan dan rezeki yang baik yang datang dari sumber tanpa disangka-sangka. Rahsia Allah Taala itu luas, mana tahu kesenangan hidupmu akan terbentang di depan mata selepas dibuka kuncinya, iaitu dengan bersedekah kepada hambaNya yang dihimpit kemiskinan.

Friday 11 October 2013

My fear

Memang aku sudah lama tidak menulis di sini. Aku mempunyai sebuah blog lagi Perihal Molek yang lebih mendapat sambutan. Blog Malacca Rendezvous sekadar 'suam-suam kuku'. Menurut e-mail yang aku terima kononnya blog ini mempunyai 20 international followers di newsfeed. Yang pasti, aku bukan menulis kerana mahu menarik followers semata-mata. Aku menulis mengikut gerak hati.

Belajar sudah, bekerja sudah. Menimba pengalaman, sudah. Menuai hasil juga sudah. Usia pun sudah pertengahan 30-an, bukan lagi usia anak-anak manis yang masih mentah dalam melayari kehidupan. Namun dalam usia ini sebenarnya antara perkara-perkara yang aku takuti akhirnya muncul juga. Apa yang aku takut sebenarnya? ... It's not actually 'takut'. It's how am I going to face the situation. Aku bimbangkan keadaan bila aku akan kehilangan kedua-dua ibu dan ayah. Aku tahu dan aku redha bahawa kedua orang tuaku tidak akan kekal selama-lamanya di dunia ini tetapi cara bila dan bagaimana mereka meninggalkan aku, buat aku tertanya-tanya dan mengerti hukum Tuhan. Sesungguhnya kita tidak boleh 'pilih' cara kematian kerana itu semua bukan ketentuan kita. Ibu telah hampir 2 tahun berbaring akibat lumpuh. Masalah saraf. Dalam tempoh masa hampir 24 purnama itu abah tabah menjaganya siang dan malam. Ibu pula kategori pesakit 'cerewet' yang serba tak kena dan perlu dilayan seperti budak kecil yang perlu dipujuk diam. Dalam kelelahan itu, kesihatan abah yang berusia 70-an pula yang menjadi galang gantinya.

Abah baru-baru ini diserang demam yang agak kuat, disusuli dengan cirit-birit dan kerana terlalu lemah terjatuh pula di bilik air. Abah berehat di wad sekitar seminggu dan kemudiannya perlu follow up di IJN (Institut Jantung Negara). Aku diberitahu yang abah perlu menjalani rawatan pembedahan jantung. Jika abah dibedah nanti, perlu menjalani recovery dan selepas itu tentunya perlu berehat panjang serta tidak boleh bekerja berat. Bermakna tugas menjaga ibu perlu bertukar tangan. Aku mempunyai seorang kakak yang 'carefree' dan aku harap dia sudi menggalas tugas ini. Aku bukannya mahu lepas tangan tapi aku sendiri perlu bekerja menampung kehidupan dan juga kos rawatan emak dan abah apabila diperlukan. Tambahan pula, aku mempunyai 2 anak kecil dan tiada pembantu rumah, mana mungkin aku menjadi 'superhuman' dan menjaga emak pula sedangkan diri sendiri sering saja diabaikan akibat kekangan masa. Masalah emak yang agak menyulitkan adalah kerana ia bergantung kepada tiub saluran kencing sepanjang masa. Jadi tugas mengalihkan dan mengangkat emak menjadi sukar kerana jika tersilap sedikit tiub tersebut mudah saja tercabut dan perlu bawa emak ke hospital untuk disambung semula. Jika emak sekadar lumpuh dan berkerusi roda, oh, ingin saja ku dukung emak dan bawa ia bersiar-siar. Ingin ku rawat hatinya yang rawan selepas hampir 2 tahun hanya berbaringan. Aku tahu ibu sunyi, murung, bosan dan risau lebih-lebih lagi apabila abah pasangan hidupnya disahkan menghidap sakit jantung.

Dalam keadaan ini aku selalu merujuk kepada rakan-rakan yang bermasalah serupa. Seorang kakak yang aku kenali, Marziana, sering menjadi pakar rujuk dalam menghadapi persimpangan dilemma kehidupanku. Dia sendiri telah kehilangan ibu ayah malah tiada pula ibu bapa mertua lagi kerana masing-masing telah dipanggil mengadap Ilahi. Namun Marziana 'cool' sahaja orangnya dan redha menempuh takdirnya. Aku mohon agar aku juga mendapat ketenangan yang serupa. Ya, sesungguhnya aku tidak mampu menaksir masa depan namun dalam kehidupan kini, aku amat-amat bersyukur kerana apa yang Allah kurniakan kepada aku adalah lebih dari mencukupi dan kadang-kadang rasa bersalah pula 'mengecap' nikmatnya tanpa henti-henti. Kerana aku sendiri tidak sesuci mana dan sering bergelumang dosa. Namun aku akan cuba menjadi yang terbaik, sebagai hamba-Nya, sebagai anak, sebagai isteri, sebagai ibu, sebagai pengkhidmat yang terbaik dalam bidang kerjaku... Ya Allah, semoga jalanku selalu diberkati oleh-Mu. Amin...

Sunday 23 June 2013

Masjid Selat Melaka


Aku menemui ketenanganku di sini. Masjid Selat Melaka begitu unik kerana dibina atas pelantar Selat Melaka dan kelihatan seolah-olah terapung. Bayangkan perjalananmu menuju ke rumah Allah dengan melihat pulau-pulau di sekeliling lautan. Solat sekhusyuknya kerana di samping lafaz ayat-ayat suci itu kamu akan mendengar deruan ombak. Epik.


Aku sering singgah pada waktu Zohor saat mentari sedang terik di kepala. Namun ruang solat menjanjikan nyaman, sejuk dan damai. Seringkali juga waktu singgah aku akan bertembung dengan kanak-kanak sekolah berombongan. Lantas senyum sendiri. Aku juga semasa kecil dulu galak berombongan ke Bandar Melaka. Masjid Selat kini menjadi salah satu produk pelancongan juga.



Ada kerusi urut yang sesekali turut ku gunakan khidmatnya. Namun kurang selesa. Sedang berbaring diurut kerusi empuk tiba-tiba datang kaum Adam yang kurang sensitif 'tour' sekeliling masjid. Disturbing.


Aku memuji inisiatif committee masjid yang berusaha menjadikan masjid lebih dari sekadar rumah solat semata-mata. Seperti Masjid Saidina Ali di Bukit Katil, sering ia menjadi tumpuan pelajar sekolah yang mengikuti Kem Solat semasa cuti semester. Masjid mesti dipelbagaikan fungsinya, seperti cadangan Ketua Menteri Baru yang menghasratkan Masjid Al-Azim Bukit Palah menjadi masjid dengan taman rekreasi (yang dihiasi nilai Islamik). Thumbs up!

Cuma sebagai pengunjung muslimah, aku sedikit terkilan kerana kebanyakan masjid dibina 'kurang mesra wanita'. Berdasarkan pengalaman sendiri, seringkali perlu berpusing-pusing mencari akses kepada ruang solat dan wudhu' wanita kerana biasanya ia jauh dan tersorok. Benar, aurat wanita perlu dijaga tetapi kami juga ada hak untuk mudah menunaikan solat di masjid. Bayangkan jika pengunjung muslimah itu OKU, pasti terkilan kerana niat untuk menumpang solat di masjid yang indah menjadi sesuatu yang menyulitkan.


Hari bebas tekanan

Kami kembali lagi ke Hotel Equatorial. Lama juga tak ke sini sedangkan dulu kerap kami berkampung di sini sekiranya ada urusan di sekitar Lembah Kelang. Sesekali dapat melepaskan lelah di hotel cukup menyeronokkan kerana baru kelmarin kami berhempas pulas dengan tugas mencabar di Mahkamah Rayuan.

Lobi hotel

Kami tiba sekitar jam 4 petang dan berehat di kamar sehingga waktu Asar. Kemudian kami ke rumah abang ku di Putrajaya dan meraikan harijadi anaknya yang sulung. Malam itu ada Pesta Flora di Putrajaya namun kami tidak berminat untuk menunggu.

 Kami lantas ke Kompleks PKNS Bangi mencari baju renang muslimah buat Dina. Rupa-rupanya aku terlepas pandang semasa mengemas dan tertinggal swimming suit Dina.

Dina bergaya dengan swimsuit baru


Adik Zah dlm babycot

Suatu perkara yang aku impressed dengan Hotel EQ ialah buffet spread untuk sarapannya. Segala makanan enak sama ada tradisional atau international bergabung dalam ambience yang sungguh relaks dan mendamaikan.


Fruit platter

Fresh garden & fruit salad
Kami checked out dari EQ dan bertolak ke kediaman kakakku di Nilai Impian. Good bye EQ and till we meet again.


Tuesday 18 June 2013

Tentang abah

Abah hendak operate mata. Mata kiri abah sudah berselaput rona kelabu. Katarak. Selaput yang kelam itu akan dirawat melalui laser dan mata abah akan pulih kembali. Jika tidak, abah akan sukar membaca dan memandu.

Kos rawatan laser bersekali dengan follow-up treatment sekitar RM3,500. Cara rawatan juga tidak sukar, abah boleh datang ke klinik pakar mata pada hari Sabtu dan menjalani prosedur laser sekitar 1/2 jam sahaja. Gembira sungguh abah mendengar perkhabaran dariku. Namun aku minta abah bersabar. Abah tidak se'tipikal' bapa-bapa lain, bisa bersenang-senang dan makan-minum disediakan isteri. Abah, dalam usia lewat 70 tahun, perlu menjaga makan-minum-pakai dan ubat seorang isteri yang uzur dan terlantar lumpuh. Kata seorang doktor di daerah kelahiranku yang sering merawat abah,' You have a great father'. Yes, indeed.

Abah, sempena hari bapa ini, aku tidak memberi sebarang petanda hadiah kerana tiada pemberian yang setanding utuh kasih sayangmu. Aku juga tidak meminta apa-apa kerana jalan hidup yang kau bentangkan di hadapanku cukup untuk ku buat pedoman mendepani hari mendatang. Abah, andai kata Tuhan memanggil hayatmu cukup setakatnya nanti, aku redha akan apa yang telah engkau sediakan untukku. Sesungguhnya abah telah melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa dengan cukup ulung, ku doakan syurga yang paling agung di sisi Allah buatmu Abah.

Aku perlu meneruskan kehidupan, abah. Hanya sekali-sekala dapat ku jenguk dirimu. Dalam kepayahan, kau gagahkan jua menjaga ibu yang terlantar sakit. Aku sering teringat abah yang bergenang air mata sewaktu ku katakan,' Bahawa Allah ingin menjanjikan abah syurga. Tapi abah harus melepasi galangan. Pertama, berbakti kepada isteri hingga ke akhir hayat. Kedua, amanah terhadap anak perempuan (kakak sulungku yang dikesampingkan oleh abah)'. Semoga kakakku terbuka hati untuk pulang mengambil alih tugas abah. Abah semakin uzur dan mata semakin kabur. Pembedahan mata memerlukan abah berehat, tidak boleh mengangkat benda berat, berpantang makan dan sembahyang menggunakan isyarat (tidak boleh rukuk dan sujud kerana bimbang memberi tekanan pada mata). Moga-moga terbuka hati kakakku. Kerana kita perlu berbakti sementara sempat, sementara ayah dan bonda dikandung hayat....



Saturday 8 June 2013

Ikan bakar Melaka

Ikan bakar begitu sinonim dengan pelancongan di Melaka. Apa ertinya melancong tanpa makan? Kerana itu tempat yang menawarkan makanan sedap sering jadi pilihan semasa bercuti. Antara medan ikan bakar popular di Melaka ialah di Muara Sungai Duyong, Alai, Serkam, Umbai, Anjung Batu, Tanjong Nibong dan tempat-tempat lain seumpamanya. 

Baru-baru ini kami sekeluarga berkesempatan menjamu selera di Anjung Batu. Not bad, meskipun harga agak mahal. Sebelum singgah ke medan makan pilihan, kami sempat menjenguk Jeti Anjung Batu iaitu laluan laut ke Pulau Besar. I'm always fascinated with island. Namun sehingga kini masih belum berkesempatan ke Pulau Besar. Dengarnya tempat tersebut agak keras, mana mungkin aku ke sana dengan membawa anak-anakku yang masih kecil. Cukuplah dengan memandang Pulau Besar dari kejauhan. Ia juga kelihatan agak jelas jika aku melihatnya dari Masjid Selat yang sering ku kunjungi di Bandar Hilir. 

Akhir-akhir ini juga aku gemar mengunjungi Medan Ikan Bakar Muara Sungai Duyong. Ia merupakan medan selera makanan laut dan bakar yang paling hampir dengan Bandar Melaka. Seronok duduk makan ikan bakar yang segar sambil mata memandang laut yang saujana terbentang kebiruan.

Muara sungai menghala ke laut lepas

Suasana medan 

Selain ikan bakar, Melaka juga amat terkenal dengan asam pedas dan makanan popular lain seperti nan tandoori, kuih-muih, coconut shake dan lain-lain. Untuk entri-entri akan datang, akan ku sorot pula ulasan dan gambar dari tempat-tempat lain yang bakal ku jejak nanti.

Friday 7 June 2013

Kembali bersiaran

Hai. Kali ini aku kembali bersiaran. Kanvas blog ini pula telah lama 'berdebu' dan tak dilawati. Aku ingin menghidupkannya kembali dengan penulisan santai.

Cuti sekolah bakal berbaki 2 hari lagi. Kami tak ke mana-mana kali ini. Teringin pula hendak keluar menghiburkan hati Dina, anakku yang sulung. Hari itu kami ke Johnny's.

Dina minum orange juice
Kami makan simple sahaja untuk kudapan tengahari. Dina order BBQ chicken wings dan mama pula order mee bayam kegemaran setiap kali berkunjung ke Johnny's. Untuk minuman pula, seperti biasa mama akan order aloevera. Kali ini tanpa ais kerana batuk yang datang menyerang semenjak seminggu sudah.

Dina menikmati BBQ chicken

Sementara Dina menghabiskan BBQ chickennya yang sampai agak lambat, aku membilas tekak dengan pemanis mulut nangka dan gula kabung. Wah, rasanya sungguh sedap sekali. Sambil makan, kami akan berbual-bual. Seperti biasa, Dina akan come up dengan girly talks tentang kawan-kawan di sekolahnya. Bila keluar berdua begini, aku dapat memberi quality time yang terbaik buatnya. Maklumlah, aku sibuk bekerja dan bila pulang pula, sibuk meladeni adik kecilnya yang 2 orang itu. Selesai makan di Johnny's kami ke Kedai Buku Popular. Aku membelikannya 'Buku Lola' - cerita tentang kanak-kanak perempuan. Sekurang-kurangnya ada bahan bacaan buat Dina semasa cuti sekolah dan tidaklah dia boring tanpa aktiviti. Aku pula sibuk mencari buku Sidney Sheldon - penulis kegemaran yang meninggal pada tahun 2011. Nampaknya buku-buku tulisan Sheldon semakin berkurangan di rak-rak kedai buku. Aku ingin membeli buku terakhir nukilan beliau - The Other Side of Me. Sehingga kini masih gagal dan belum ke temu. Akhirnya aku membeli majalah Style. Lebih kurang kandungannya macam majalah Harper's Bazaar yang ku beli saban bulan. Rupa-rupanya ia dari penerbit yang sama iaitu BLUE INC.

Selesai sudah episod 'dating' dengan Dina, I'm looking forward to go out with her again. Bila keluar berdua, terasa lebih rapat dan sayang sungguh dengan anak perempuanku ini.

Wednesday 4 January 2012

Karma

Inilah kisahku. Aku mengenali seorang majikan dan meletakkan rasa percaya ke atasnya. Selama 4 tahun, aku bekerja di bawah lembayung syarikat tersebut, sebuah syarikat guaman perintis di Melaka.


Sejak di bangku varsiti lagi, aku amat meminati undang-undang Tanah. Malah, antara kenangan termanis pernah menggondol markah terbaik di kalangan rakan dan taulan. Apabila mengamal undang-undang dan bergelar peguam, kebanyakan perkara undang-undang Tanah hanya berkisar sekitar 'Conveyancing', Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Pinjaman Bank. Aku tidak mendapat kepuasan di situ. Namun, dengan syarikat yang aku bekerja ini, pengalaman tentang Undang-undang Tanah dapat dipraktikkan dengan meluas. Tanyalah masalah apa berkaitan Tanah, kaveat, Perletakan hak, Pusaka, pertikaian hartanah... semuanya ada jalan penyelesaian dan aku berasa sungguh bersemangat apabila masalah-masalah dapat diselesaikan dengan jayanya.


Aku bekerja selama 4 tahun di syarikat itu. Aku amat menyintai kerjayaku, tanpa sedikit rasa jemu apabila datang ke pejabat. Kamar guamanku berhias cantik, bekerja dengan rasa hormat-menghormati, tidak sedikit rasa terasing meskipun komposisi pekerja pejabat merangkumi bangsa India, Cina, Melayu dan juga Belanda.


Aku hormati dan anggap mereka seperti keluarga sendiri. Bekerja tanpa rasa tertekan, aku diberi kebebasan bekerja dengan waktu anjal... Aku dapat mengimbangi sepenuhnya antara keperluan kerjaya dan rumahtangga. Kerjaya, kehidupan dan rumahtangga adalah ruang lingkup yang amat sempurna buatku ketika itu.


Sehinggalah pada suatu ketika yang tidak terduga, aku dipanggil polis untuk memberi keterangan tentang siasatan kes. Ruang lingkup yang amat sempurna selama ini ku ciptakan perlahan-lahan bertukar menjadi episod derita...


Aku terpaksa melangkah pergi. Dengan berat hati dan kaki ku tinggalkan ruang ini. Aku masih ada rasa hormat ke atas majikanku. Melalui perbincangan, aku bekerja separuh masa iaitu selepas waktu pejabat. Bayangkan dengan kesibukan yang menimbun, aku masih meluangkan masa untuk membantunya.


Namun, susu dibalas tuba. Aku hanya menerima gaji separuh masa untuk bulan pertama sahaja. Bulan kedua, aku bekerja selama sebulan 10 hari dan tidak dibayar sesen pun. Tambah teruk, aku ditipu setiap kali menelefon bertanyakan gaji. Hari ini dikatakan esok, esok disuruh tunggu minggu hadapan, dan minggu hadapan pula tak pernah kunjung tiba. Majikan juga sanggup mengirim mesej di telefon berjanji untuk membayar, dan aku menunggu separuh gila. Keringat di tubuh ini sudah lama kering, namun upah gagal dibayar oleh orang yang berjanji, yang selama ini menganggap aku tak ubah seperti keluarga sendiri.


Sungguh aku kecewa. Aku salah meletakkan kepercayaan pada tempatnya.


Hari ini, majikanku digantung lesen mengamal undang-undang. Sungguh dia telah temui karmanya.

Wednesday 3 August 2011

Semoga dicucuri rahmat

Mohd Ashraf Hafiz, 1985-2011
Izinkan saya menukilkan coretan buat Arwah Mohd Ashraf Hafiz, meskipun agak terlewat. Sewaktu saya menulis ini, beliau telahpun meninggal pada Sabtu lepas akibat serangan jantung.

Saya tidak ingin mengulang apa yang telah tercatat di akhbar. Saya ingin menulis dari kaca mata saya sendiri. Pada saya, media sedikit kejam. Pada hari Ashraf muncul di Mahkamah Tinggi Terengganu, seluruh lensa kamera menghala ke arahnya dan publisiti meluas diberikan kepadanya. Mungkin dari saat ini lagi Ashraf telah tertekan.

Itu belum lagi ditambah dengan tulisan di blog-blog yang mengecam beliau. Kemudian, media massa mensensasikan kisahnya apabila hal beliau dan keluarga kerap mengisi tajuk-tajuk akhbar. Sebuah tabloid tanpa sensitif menyebut 'Pondan gagal tukar nama'. Kasihan arwah Ashraf. Lebih ramai yang mengutuk dari yang memahami.

Saya difahamkan kes Ashraf patut dirujuk kepada Autoriti yang mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam. Majlis Agama akan bersidang bagi mengeluarkan fatwa sama ada seseorang khunsa itu mirip lelaki atau perempuan. (Dalam kes Ashraf, saya kurang pasti adakah khunsa?). Fatwa ini, dengan disokong laporan perubatan, akan memberikan garis panduan tentang perjalanan hidup insan istimewa ini sama ada boleh berkahwin, cara solatnya, pengurusan jenazah dsb. Selepas kecenderungan jantina dipastikan baharulah pembedahan boleh dibuat supaya insan istimewa ini merasa lebih tenteram untuk menjalani kehidupan. Kemudian fatwa ini, dengan disokong laporan perubatan disekalikan semasa permohonan di Mahkamah untuk deklarasi bahawa ia sesungguhnya telah memakai identiti wanita. Deklarasi ini memasukkan sekali perintah terhadap Jabatan Pendaftaran Negara supaya pindaan nama boleh dibuat bagi pihak pemohon.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tidak adil untuk kita terus berteka-teki, kerana dia telahpun dijemput pergi. Simpati saya pada ibu arwah, yang redha anaknya dijemput Ilahi jika itulah takdir yang terbaik untuknya. Cuma sekadar peringatan, semoga kes sebegini dapat ditangani dengan lebih rasa empati. Isu sensitif sebegini, bukan untuk mainan sensasi media semata-mata dan bukan hak orang awam untuk bersorak dan mencemuh. Semoga kita lebih bersifat insaniah dan tunduk merenung hikmah setiap kejadian Allah di muka bumi ini.

Sunday 24 July 2011

Mahkamah berat sebelah

Saya mewakili seorang wanita awal 30-an menuntut pengesahan cerai taklik akibat dipukul suami. Selepas menyediakan Saman dan Pernyataan Tuntutan, saya pun memfailkan kes tersebut di Mahkamah Syariah. Semasa hari panggilan kes, si suami hadir dan tidak mengakui tuntutan. Dia tidak diwakili peguam sebaliknya ingin mewakili diri sendiri.

Beberapa hari kemudian saya menerima Pernyataan Pembelaan dari suami tersebut selaku defendan. Saya membaca perenggan-perenggan Pernyataan Pembelaan yang disediakan dengan teratur dan cantik (meskipun tidak didraf dengan sebegitu teliti). Antara lain, beliau menuntut balas supaya isterinya kembali taat. Beliau juga tidak mengaku memukul isteri.

Apa yang saya ingin bincangkan di sini ialah mengenai fungsi mahkamah. Saya difahamkan bahagian pendaftaran Mahkamah Syariah menyediakan perkhidmatan membantu pihak-pihak yang tidak menggunakan khidmat peguam. Mereka akan membantu menderaf Pliding iaitu Pernyataan Tuntutan, Pembelaan, Tuntutan balas, Notis Permohonan dsb. Tidakkah ini bermakna Mahkamah 'mewakili' pihak tersebut secara tidak langsung? Jika ini berlaku, bagi saya Mahkamah telah bersikap 'takes side' dan tidak lagi neutral.

Mahkamah mestilah bersikap impartial dan tidak menyebelahi mana-mana pihak bagi membolehkan kes diputuskan secara adil sedari mula kes tersebut dibentangkan sehinggalah dibicarakan. Tugas mewakili pihak-pihak, sama ada Plaintif atau defendan, mestilah diserahkan kepada peguam. Mungkin ada yang mengatakan, caj peguam terlampau mahal dan pihak-pihak tidak mampu. Mahkamah hanya sekadar membantu mereka supaya kes dapat berjalan dengan lancar. Namun, apalah ertinya 'membantu' pihak-pihak ini jika impak dari perbuatan tersebut, Mahkamah dilihat tidak berlaku adil dan berat sebelah?

Kesimpulannya di sini, Mahkamah hendaklah menjalankan fungsi mahkamah seadil-adilnya. Mahkamah janganlah mengambil alih tugas peguam. Biar Mahkamah menjalankan fungsi sebenarnya dan peguam juga menjalankan fungsi sebenarnya. Perkara paling asas yang jadi prinsip kita ialah untuk menjunjung keadilan.

Sepatah kata rakan saya,'sudahlah peguam dimomokkan dengan caj guaman mahal, Mahkamah pula hendak ambil alih tugas peguam. Macam ni... makin susahlah peguam hendak cari makan!'

Monday 18 July 2011

Ke Mahkamah Majlis Bandaraya

culas membayar parking boleh mengheretmu ke mahkamah

Di sekitar Bandaraya Melaka, apabila kamu memasuki kawasan parkir berpetak, jangan lupa menggores kad kupon parking yang mudah diperolehi di kedai-kedai berhampiran. Caj yang dikenakan 0.60 sen untuk sejam manakala 0.40 sen untuk setengah jam parkir kenderaan.

Jika kamu enggan menggores kad kupon tersebut seperti sepatutnya, kereta kamu akan disinggahi dengan 'surat cinta' iaitu saman Majlis Bandaraya. Baru-baru ini saya mewakili seorang klien yang disaman oleh Majlis Bandaraya untuk kesalahan parking pada tahun 2009. Kes tersebut telah sampai ke proses Waran Tangkap. Sebenarnya, klien tiada di Malaysia kerana melanjutkan pelajaran Sarjana Perubatan di Amerika. (Beliau seorang doktor). Bayangkan kerana culas membayar parking berjumlah 60 sen, kamu boleh ditangkap dan dihadapkan ke Mahkamah!

Semasa kes dipanggil, saya telah membuat rayuan bagi pihak OKS (Orang kena saman) supaya denda boleh dikurangkan. Kesalahan tersebut layak dikenakan denda RM300 tetapi dengan mengambil kira rayuan, Majistret telah mengenakan denda RM120. Selepas kes selesai, seorang Polis Bantuan telah membantu untuk menguruskan proses pembayaran dan resit Mahkamah pun dikeluarkan.

Nasihat saya, jangan culas bayar parking! Hanya 60 sen sejam tetapi jika tidak dilakukan, kamu bakal didenda berkali-kali ganda di samping perlu berhadapan dengan proses Mahkamah dan Waran Tangkap! Sungguh tidak berbaloi....

Friday 15 July 2011

Kawan makan kawan

Sakitnya ditikam dari belakang
Baru-baru ini seorang kawan kepada suami ingin membeli hartanah di kampung. Tanah pertanian yang hendak dibeli itu cukup berbaloi harganya iaitu cuma RM80,000 untuk 1 hektar kebun getah. Dia meminta kami menguruskan urusan jual beli.

Atas dasar kawan saya membantunya menyediakan Perjanjian Jual Beli. Dia membuat pinjaman peribadi untuk melangsaikan keseluruhan harga beli RM80,000. Atas dasar kawan juga dia tidak perlu bersusah-susah menemui saya di pejabat di bandar Melaka. Kami suami isteri rela hati menemuinya di rumah Pemilik Tanah tersebut di Linggi, Negeri Sembilan.

Wang pun bertukar tangan dan Perjanjian pun ditandatangani. Sudah saya maklumkan tanah ini tanah "Kurnia" dan memerlukan "Consent" pihak berkuasa negeri sebelum boleh dipindahmilik. Proses memohon "Consent" sahaja memerlukan tempoh masa yang panjang dan apabila diperolehi, saya memerlukan 3 bulan untuk mendaftar geran.

Entah dia tidak faham atau pun mengaku faham, tiba-tiba saya dikejutkan dengan panggilan telefon yang cukup kasar. Tuduhnya, saya tidak maklumkan urusan di pejabat Tanah sedangkan duit khidmat guaman sudah dibayar. Walhal saya sudah kirimkan salinan Perjanjian Jual Beli, surat-menyurat ke Pejabat Tanah Rembau dsb. Jika "Consent" lambat diperolehi, itu di luar kudrat saya kerana ia bidangkuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Di tengah-tengah perbalahan itu, saya beri dia "assurance" bahawa saya memberi prioriti kepada failnya atas dasar "kawan-kawan". Kemudian, dia meminta maaf kerana akuinya, dia cukup TERTEKAN.

Saya tidak dapat satu sen pun dari duitnya atas dasar komisyen, saya mengeluarkan duit sendiri mengupah orang ke Pejabat Tanah Rembau, saya membawa bayi saya berumur 3 bulan mengikutnya ke rumah Pemilik Tanah di Linggi, Negeri Sembilan lewat jam 10 malam, dan saya dituduh tidak berbuat apa-apa????

Kerana wang, manusia berbalah. Kerana harta, manusia putus saudara. Kerana salah faham, manusia mengherdik. Sebab itu saya lebih rela buat kerja atas dasar professional, bukan kerana kawan atau saudara-mara.