Sunday, 24 July 2011

Mahkamah berat sebelah

Saya mewakili seorang wanita awal 30-an menuntut pengesahan cerai taklik akibat dipukul suami. Selepas menyediakan Saman dan Pernyataan Tuntutan, saya pun memfailkan kes tersebut di Mahkamah Syariah. Semasa hari panggilan kes, si suami hadir dan tidak mengakui tuntutan. Dia tidak diwakili peguam sebaliknya ingin mewakili diri sendiri.

Beberapa hari kemudian saya menerima Pernyataan Pembelaan dari suami tersebut selaku defendan. Saya membaca perenggan-perenggan Pernyataan Pembelaan yang disediakan dengan teratur dan cantik (meskipun tidak didraf dengan sebegitu teliti). Antara lain, beliau menuntut balas supaya isterinya kembali taat. Beliau juga tidak mengaku memukul isteri.

Apa yang saya ingin bincangkan di sini ialah mengenai fungsi mahkamah. Saya difahamkan bahagian pendaftaran Mahkamah Syariah menyediakan perkhidmatan membantu pihak-pihak yang tidak menggunakan khidmat peguam. Mereka akan membantu menderaf Pliding iaitu Pernyataan Tuntutan, Pembelaan, Tuntutan balas, Notis Permohonan dsb. Tidakkah ini bermakna Mahkamah 'mewakili' pihak tersebut secara tidak langsung? Jika ini berlaku, bagi saya Mahkamah telah bersikap 'takes side' dan tidak lagi neutral.

Mahkamah mestilah bersikap impartial dan tidak menyebelahi mana-mana pihak bagi membolehkan kes diputuskan secara adil sedari mula kes tersebut dibentangkan sehinggalah dibicarakan. Tugas mewakili pihak-pihak, sama ada Plaintif atau defendan, mestilah diserahkan kepada peguam. Mungkin ada yang mengatakan, caj peguam terlampau mahal dan pihak-pihak tidak mampu. Mahkamah hanya sekadar membantu mereka supaya kes dapat berjalan dengan lancar. Namun, apalah ertinya 'membantu' pihak-pihak ini jika impak dari perbuatan tersebut, Mahkamah dilihat tidak berlaku adil dan berat sebelah?

Kesimpulannya di sini, Mahkamah hendaklah menjalankan fungsi mahkamah seadil-adilnya. Mahkamah janganlah mengambil alih tugas peguam. Biar Mahkamah menjalankan fungsi sebenarnya dan peguam juga menjalankan fungsi sebenarnya. Perkara paling asas yang jadi prinsip kita ialah untuk menjunjung keadilan.

Sepatah kata rakan saya,'sudahlah peguam dimomokkan dengan caj guaman mahal, Mahkamah pula hendak ambil alih tugas peguam. Macam ni... makin susahlah peguam hendak cari makan!'

Monday, 18 July 2011

Ke Mahkamah Majlis Bandaraya

culas membayar parking boleh mengheretmu ke mahkamah

Di sekitar Bandaraya Melaka, apabila kamu memasuki kawasan parkir berpetak, jangan lupa menggores kad kupon parking yang mudah diperolehi di kedai-kedai berhampiran. Caj yang dikenakan 0.60 sen untuk sejam manakala 0.40 sen untuk setengah jam parkir kenderaan.

Jika kamu enggan menggores kad kupon tersebut seperti sepatutnya, kereta kamu akan disinggahi dengan 'surat cinta' iaitu saman Majlis Bandaraya. Baru-baru ini saya mewakili seorang klien yang disaman oleh Majlis Bandaraya untuk kesalahan parking pada tahun 2009. Kes tersebut telah sampai ke proses Waran Tangkap. Sebenarnya, klien tiada di Malaysia kerana melanjutkan pelajaran Sarjana Perubatan di Amerika. (Beliau seorang doktor). Bayangkan kerana culas membayar parking berjumlah 60 sen, kamu boleh ditangkap dan dihadapkan ke Mahkamah!

Semasa kes dipanggil, saya telah membuat rayuan bagi pihak OKS (Orang kena saman) supaya denda boleh dikurangkan. Kesalahan tersebut layak dikenakan denda RM300 tetapi dengan mengambil kira rayuan, Majistret telah mengenakan denda RM120. Selepas kes selesai, seorang Polis Bantuan telah membantu untuk menguruskan proses pembayaran dan resit Mahkamah pun dikeluarkan.

Nasihat saya, jangan culas bayar parking! Hanya 60 sen sejam tetapi jika tidak dilakukan, kamu bakal didenda berkali-kali ganda di samping perlu berhadapan dengan proses Mahkamah dan Waran Tangkap! Sungguh tidak berbaloi....

Friday, 15 July 2011

Kawan makan kawan

Sakitnya ditikam dari belakang
Baru-baru ini seorang kawan kepada suami ingin membeli hartanah di kampung. Tanah pertanian yang hendak dibeli itu cukup berbaloi harganya iaitu cuma RM80,000 untuk 1 hektar kebun getah. Dia meminta kami menguruskan urusan jual beli.

Atas dasar kawan saya membantunya menyediakan Perjanjian Jual Beli. Dia membuat pinjaman peribadi untuk melangsaikan keseluruhan harga beli RM80,000. Atas dasar kawan juga dia tidak perlu bersusah-susah menemui saya di pejabat di bandar Melaka. Kami suami isteri rela hati menemuinya di rumah Pemilik Tanah tersebut di Linggi, Negeri Sembilan.

Wang pun bertukar tangan dan Perjanjian pun ditandatangani. Sudah saya maklumkan tanah ini tanah "Kurnia" dan memerlukan "Consent" pihak berkuasa negeri sebelum boleh dipindahmilik. Proses memohon "Consent" sahaja memerlukan tempoh masa yang panjang dan apabila diperolehi, saya memerlukan 3 bulan untuk mendaftar geran.

Entah dia tidak faham atau pun mengaku faham, tiba-tiba saya dikejutkan dengan panggilan telefon yang cukup kasar. Tuduhnya, saya tidak maklumkan urusan di pejabat Tanah sedangkan duit khidmat guaman sudah dibayar. Walhal saya sudah kirimkan salinan Perjanjian Jual Beli, surat-menyurat ke Pejabat Tanah Rembau dsb. Jika "Consent" lambat diperolehi, itu di luar kudrat saya kerana ia bidangkuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Di tengah-tengah perbalahan itu, saya beri dia "assurance" bahawa saya memberi prioriti kepada failnya atas dasar "kawan-kawan". Kemudian, dia meminta maaf kerana akuinya, dia cukup TERTEKAN.

Saya tidak dapat satu sen pun dari duitnya atas dasar komisyen, saya mengeluarkan duit sendiri mengupah orang ke Pejabat Tanah Rembau, saya membawa bayi saya berumur 3 bulan mengikutnya ke rumah Pemilik Tanah di Linggi, Negeri Sembilan lewat jam 10 malam, dan saya dituduh tidak berbuat apa-apa????

Kerana wang, manusia berbalah. Kerana harta, manusia putus saudara. Kerana salah faham, manusia mengherdik. Sebab itu saya lebih rela buat kerja atas dasar professional, bukan kerana kawan atau saudara-mara.

Thursday, 14 July 2011

Ibu tomboy

Impak foto dari Google
Saya pernah berperanan untuk mengaturkan projek perumahan baru bagi mangsa kebakaran di Tampoi, Johor. Mereka adalah golongan 'miskin bandar', tinggal di sekitar Skudai Kiri dan menghuni rumah setinggan. Suatu ketika, berlaku litar pintas dan harta benda mereka musnah terbakar. Tinggallah mereka sehelai sepinggang bila rumah-rumah papan yang mereka diami hangus dijilat api.

Mereka dicadangkan supaya berpindah ke rumah pangsa kos rendah yang baru dibina. Oleh itu, kumpulan-kumpulan ini diaturkan untuk menandatangani Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Pinjaman dengan bank untuk rumah kos rendah berharga RM32,000-00. Usaha yang kami lakukan itu lebih kepada kerja amal dan bukannya bertujuan untuk memungut keuntungan. Untuk memudahkan urusan, kami berkomunikasi dengan "ketua" di kalangan mereka, seorang wanita pertengahan umur yang rugged dan tomboy.

Bayangkan seorang makcik yang hampir 90% menyerupai lelaki. Cuma nama dalam kad pengenalan dan fisiologi kewanitaan di dadanya yang mengesahkan dia bukan Adam. Cara duduknya memangku tangan ke lutut, seperti bapa-bapa duduk di kenduri. Menghisap rokok seperti gaya orang lelaki. Memakai kemeja John Master dan seluar slack hitam. Namun kerjasama yang diberikannya cukup baik dan memudahkan urusan kami.

Saya tidak bertanya status perkahwinannya. Saya difahamkan beliau mengambil anak angkat. Rumah pangsa yang bakal dibeli akan didaftarkan dengan nama anak angkatnya. Anak angkatnya seorang lelaki, telah bekerja dan berumur sekitar 25 tahun.

Sewaktu menandatangani dokumen, saya terkejut bila mendengar anak angkat memanggilnya 'ABAH'!!