![]() |
| Sakitnya ditikam dari belakang |
Baru-baru ini seorang kawan kepada suami ingin membeli hartanah di kampung. Tanah pertanian yang hendak dibeli itu cukup berbaloi harganya iaitu cuma RM80,000 untuk 1 hektar kebun getah. Dia meminta kami menguruskan urusan jual beli.
Atas dasar kawan saya membantunya menyediakan Perjanjian Jual Beli. Dia membuat pinjaman peribadi untuk melangsaikan keseluruhan harga beli RM80,000. Atas dasar kawan juga dia tidak perlu bersusah-susah menemui saya di pejabat di bandar Melaka. Kami suami isteri rela hati menemuinya di rumah Pemilik Tanah tersebut di Linggi, Negeri Sembilan.
Wang pun bertukar tangan dan Perjanjian pun ditandatangani. Sudah saya maklumkan tanah ini tanah "Kurnia" dan memerlukan "Consent" pihak berkuasa negeri sebelum boleh dipindahmilik. Proses memohon "Consent" sahaja memerlukan tempoh masa yang panjang dan apabila diperolehi, saya memerlukan 3 bulan untuk mendaftar geran.
Entah dia tidak faham atau pun mengaku faham, tiba-tiba saya dikejutkan dengan panggilan telefon yang cukup kasar. Tuduhnya, saya tidak maklumkan urusan di pejabat Tanah sedangkan duit khidmat guaman sudah dibayar. Walhal saya sudah kirimkan salinan Perjanjian Jual Beli, surat-menyurat ke Pejabat Tanah Rembau dsb. Jika "Consent" lambat diperolehi, itu di luar kudrat saya kerana ia bidangkuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Di tengah-tengah perbalahan itu, saya beri dia "assurance" bahawa saya memberi prioriti kepada failnya atas dasar "kawan-kawan". Kemudian, dia meminta maaf kerana akuinya, dia cukup TERTEKAN.
Saya tidak dapat satu sen pun dari duitnya atas dasar komisyen, saya mengeluarkan duit sendiri mengupah orang ke Pejabat Tanah Rembau, saya membawa bayi saya berumur 3 bulan mengikutnya ke rumah Pemilik Tanah di Linggi, Negeri Sembilan lewat jam 10 malam, dan saya dituduh tidak berbuat apa-apa????
Kerana wang, manusia berbalah. Kerana harta, manusia putus saudara. Kerana salah faham, manusia mengherdik. Sebab itu saya lebih rela buat kerja atas dasar professional, bukan kerana kawan atau saudara-mara.

No comments:
Post a Comment