Saya mewakili seorang wanita awal 30-an menuntut pengesahan cerai taklik akibat dipukul suami. Selepas menyediakan Saman dan Pernyataan Tuntutan, saya pun memfailkan kes tersebut di Mahkamah Syariah. Semasa hari panggilan kes, si suami hadir dan tidak mengakui tuntutan. Dia tidak diwakili peguam sebaliknya ingin mewakili diri sendiri.
Beberapa hari kemudian saya menerima Pernyataan Pembelaan dari suami tersebut selaku defendan. Saya membaca perenggan-perenggan Pernyataan Pembelaan yang disediakan dengan teratur dan cantik (meskipun tidak didraf dengan sebegitu teliti). Antara lain, beliau menuntut balas supaya isterinya kembali taat. Beliau juga tidak mengaku memukul isteri.
Apa yang saya ingin bincangkan di sini ialah mengenai fungsi mahkamah. Saya difahamkan bahagian pendaftaran Mahkamah Syariah menyediakan perkhidmatan membantu pihak-pihak yang tidak menggunakan khidmat peguam. Mereka akan membantu menderaf Pliding iaitu Pernyataan Tuntutan, Pembelaan, Tuntutan balas, Notis Permohonan dsb. Tidakkah ini bermakna Mahkamah 'mewakili' pihak tersebut secara tidak langsung? Jika ini berlaku, bagi saya Mahkamah telah bersikap 'takes side' dan tidak lagi neutral.
Mahkamah mestilah bersikap impartial dan tidak menyebelahi mana-mana pihak bagi membolehkan kes diputuskan secara adil sedari mula kes tersebut dibentangkan sehinggalah dibicarakan. Tugas mewakili pihak-pihak, sama ada Plaintif atau defendan, mestilah diserahkan kepada peguam. Mungkin ada yang mengatakan, caj peguam terlampau mahal dan pihak-pihak tidak mampu. Mahkamah hanya sekadar membantu mereka supaya kes dapat berjalan dengan lancar. Namun, apalah ertinya 'membantu' pihak-pihak ini jika impak dari perbuatan tersebut, Mahkamah dilihat tidak berlaku adil dan berat sebelah?
Kesimpulannya di sini, Mahkamah hendaklah menjalankan fungsi mahkamah seadil-adilnya. Mahkamah janganlah mengambil alih tugas peguam. Biar Mahkamah menjalankan fungsi sebenarnya dan peguam juga menjalankan fungsi sebenarnya. Perkara paling asas yang jadi prinsip kita ialah untuk menjunjung keadilan.
Sepatah kata rakan saya,'sudahlah peguam dimomokkan dengan caj guaman mahal, Mahkamah pula hendak ambil alih tugas peguam. Macam ni... makin susahlah peguam hendak cari makan!'
No comments:
Post a Comment