Wednesday, 16 October 2013

Sejak akhir-akhir ini

Sejak akhir-akhir ini aku gemar mencoret di sini. Tiada gambar pun tidak mengapa. Aku merasa lebih tenang di sini dan blog ini juga lebih privasi. Kehidupan juga tidak statik. Diam tak diam anak ke3 yang dulunya bayi sudahpun mencecah 1 tahun 1 bulan. Sudah semakin lasak. Aku semakin tiada punya masa sendiri. TV sentiasa perlu menayangkan animasi dan kartun. Aku sendiri 'compromised' dan sampai tiada masa pula hendak menonton berita.

Pasca pilihanraya umum aku tercari-cari wadah berita yang paling secocok untuk ku baca saban hari. Dahulu aku membaca Sinar tapi Sinar tanpa berita-berita politik ibarat kuah tanpa bergaram. Sudahnya aku seakan-akan 'hilang punca' dan tidak lagi up to date tentang isu-isu semasa. Sesuatu yang tidak pernah aku bayangkan sebelum ini. I pride myself as one who follows news and current issues. Bagaimana hendak faham isu jika Berita tidak ditonton dan tidak pula dibaca? Sudahnya aku hanya mendengar perkhabaran-perkhabaran yang dimaklumkan suami dan teman baik. Well, negara kita juga 'suam' sahaja keadaannya selepas Pilihanraya umum. Rakyat kebanyakan sibuk mencari rezeki dan nafkah sendiri kerana harga barang kian meningkat naik disebabkan kenaikan harga petrol yang mencanak-canak lagaknya.

Merujuk ruang lingkup peribadi, aku kini berhadapan dengan ibu bapa yang semakin merosot kesihatannya. Di pihak suami juga timbul konflik dan permasalahan keluarga sehingga kami mengenepikan dahulu keperluan untuk bersuka-suka. We always enjoy our family time together dan kebiasaannya kami akan get away pada hujung minggu ke ibu kota atau pusat-pusat peranginan dan adakalanya juga kami checked in di hotel-hotel di sekitar Melaka just to enjoy being together. Apabila ibu bapaku jatuh sakit, aku mengehadkan cuti hujung minggu dan akan spend masa sehari di kampung untuk membantu ibu bapaku menguruskan kehidupan mereka. Tiada lagi duduk santai-santai membaca majalah sambil meninjau gaya baju dan mekap terkini. Tiada lagi slot shopping spree di sekitar Alamanda Putrajaya, Parkson Melaka dan Jusco Seremban untuk memastikan ibu dan anak-anak sama bergaya dan trendy. Aku melihat kehidupan memerlukan lebih dari daya keseronokan begitu. Apa ertinya keseronokan hiburan tanpa had jika ibuku berbaring sejak 2 tahun yang lalu dan 'homebound' di atas katil pesakitnya? Apa ertinya aku mementingkan gaya hidup jika di kampung bapaku yang matanya sebelah glaukoma, mengalami masalah jantung dan prostat bersusah-payah menguruskan isteri yang lumpuh dan bertungkus-lumus pula menyediakan makan-minum sendiri? Setidak-tidaknya aku mesti memainkan peranan di situ. Menyalurkan bantuan yang secukupnya dari segi tenaga, masa, kewangan, upah pembantu, kos sara hidup, belanja perubatan dan sebagainya.

Inilah kehidupan. Ia bercabang-cabang dan di saat satu cabang yang ada tumbuh subur cabang yang lain turut memerlukan perhatian dan ada pula dahan yang rapuh. Yang penting kita sentiasa ingat dari masa asal dan akar kita dan jangan pula kita kekal mendongak pucuk yang subur menghijau sampai kita terlupa membaja pokok kita dengan benih-benih redha dan tawadhuk. Buat suamiku, aku redha kau memimpin jalanku and stay strong, man. Selepas hujan yang lebat dan awan yang berarak mendung, pastinya langitkan kembali cerah dan kita dapat pelangi.

Saturday, 12 October 2013

My very true story

Aku hanya seorang anak kampung... dan bukan dari kalangan keluarga VIP. Begitu juga di pihak suami, kedua-dua kami berusaha keras untuk mendapat pencapaian hidup sekarang tanpa menumpang gah kedudukan dan pangkat keluarga masing-masing. Kerana kami bukan anak siapa-siapa,kami hadir dari kalangan keluarga biasa-biasa sahaja.

Namun merenung rezeki yang Allah Taala kurniakan buat aku terfikir sejenak. Aku tiada bapa berpangkat Datuk untuk meraih tender dan kontrak. Bukan pula anak pegawai tinggi yang merintis jalan mudah dalam kehidupan ini kerana segala keperluan asas telah terbentang luas di depan mata seperti rumah dan kereta. Tapi Alhamdulillah, kami mampu memiliki sebuah premis pejabat di kawasan segi tiga emas di Bandar Melaka, sebuah rumah semi-D, kenderaan-kenderaan baik dan sedikit sebanyak kemampuan dalam meladeni gaya hidup zaman sekarang. Tapi untuk menggapai semua ini bukan mudah semudah memetik jari atau pun seperti si pari-pari yang bisa menukar kuasa magis. Kami berusaha selama genap 10 tahun sejak dari mula-mula bekerja sekitar sedekad lalu. Selama 10 tahun itu kami bekerja dengan pemilik firma guaman di sekitar Melaka dan JB dan mereka ini secara terasnya berbangsa Cina dan India. Bukan mudah untuk meraih kepercayaan bangsa lain terhadap anak watan Melayu yang dipandang secara skeptikal sebagai malas dan bergantung kepada subsidi kerajaan dan status sebagai Bumiputra. Namun selama 10 tahun jatuh bangun kami itu dapatlah menampung ilmu di dada dan bila memiliki firma sendiri tidaklah kami terkapai-kapai tanpa haluan dan pengetahuan.

Sekitar 2011, aku masih di firma lama. Waktu itu aku 'comtemplated', berbelah-bahagi sama ada mahu meneruskan kerja di situ ataupun joint bekerja secara usahasama dengan suamiku. Hati sudah tawar sebenarnya kerana firma lama berhadapan dengan kes pecah amanah jenayah dan terlibat dalam soal-siasat polis. Siapa tak gerun bila kedai kopi di simpang berhadapan pejabat tempat aku selalu memesan roti bakar rupanya jadi tempat mata-mata mengintip pergerakan kami kakitangan pejabat tersebut. Pada satu ketika aku bekerja di 2 pejabat iaitu sebelah pagi di pejabat suami manakala di sebelah petang singgah pula di pejabat satu lagi (Yes, I am a crazy woman at work sedangkan masa itu anak lelaki ku kecil lagi dalam lingkungan 10 bulan). Perjalanan pulang ke rumah aku akan melalui Jalan Bunga Raya susur keluar ke Hospital Putra dan kebiasaannya pada waktu petang memang agak traffic jammed di jalan-jalan raya yang agak sempit di situ.  Semasa kereta berhenti (waktu itu memandu Myvi) aku terpandang kelibat seorang wanita tua menyorong basikal, di tempat duduk basikal tersebut adalah anak lelakinya yang Down Syndrome manakala di tempat duduk belakang juga anak perempuannya yang Down Syndrome. Dia diekori oleh seorang anak perempuan berbaju sekolah menengah yang lusuh dan kelihatannya sedang mahu pulang ke rumah mereka di sekitar kawasan itu.

Mereka adalah the underprivileged, menginap di perumahan Melaka lama mungkin di sekitar Pengkalan Rama atau Jalan Mata Kucing. Kasihan, dihimpat kemiskinan dan juga ketidakupayaan diri. Air mataku serta merta bergenang dan menitis. Aku tidak berfikir panjang sebaliknya terus memberhentikan kereta di bahu jalan (kereta belakang menekan hon panjang kerana aku berhenti emergency). Aku berlari mengejar makcik tersebut dan anak-anaknya. Oh, dahulu aku tidak sesenang sekarang duit pun hanya cukup makan dan pakai sahaja. Aku menghamburkan apa sahaja yang ada dalam beg duit. Semua. Ya, semua wang yang ada aku serahkan kepada mereka. Supaya mereka boleh membeli ubat, makanan dan apa jua keperluan mereka. Aku masih ingat senyum dan terima kasih si makcik tua. Selepas itu aku kembali ke kereta dan pulang dengan ketenangan dan kepuasan yang sukar sekali digambarkan perasaannya.

Hingga kini apabila aku dikurniakan rezeki yang baik dari sumber yang tidak disangka-sangka, aku sering terkenangkan makcik tua dan anak-anaknya. Mungkin jua doa makcik tua untukku sampai dan dimakbulkan oleh Tuhan. Aku bukanlah orang yang terlampau baik namun aku rasa wajar berkongsi kisah ini dengan kalian. Tiada salahnya berkongsi rezeki dengan mereka yang dihimpit kesusahan hidup. Kelak mereka akan doakan dirimu dikurniakan darjah kesihatan dan rezeki yang baik yang datang dari sumber tanpa disangka-sangka. Rahsia Allah Taala itu luas, mana tahu kesenangan hidupmu akan terbentang di depan mata selepas dibuka kuncinya, iaitu dengan bersedekah kepada hambaNya yang dihimpit kemiskinan.

Friday, 11 October 2013

My fear

Memang aku sudah lama tidak menulis di sini. Aku mempunyai sebuah blog lagi Perihal Molek yang lebih mendapat sambutan. Blog Malacca Rendezvous sekadar 'suam-suam kuku'. Menurut e-mail yang aku terima kononnya blog ini mempunyai 20 international followers di newsfeed. Yang pasti, aku bukan menulis kerana mahu menarik followers semata-mata. Aku menulis mengikut gerak hati.

Belajar sudah, bekerja sudah. Menimba pengalaman, sudah. Menuai hasil juga sudah. Usia pun sudah pertengahan 30-an, bukan lagi usia anak-anak manis yang masih mentah dalam melayari kehidupan. Namun dalam usia ini sebenarnya antara perkara-perkara yang aku takuti akhirnya muncul juga. Apa yang aku takut sebenarnya? ... It's not actually 'takut'. It's how am I going to face the situation. Aku bimbangkan keadaan bila aku akan kehilangan kedua-dua ibu dan ayah. Aku tahu dan aku redha bahawa kedua orang tuaku tidak akan kekal selama-lamanya di dunia ini tetapi cara bila dan bagaimana mereka meninggalkan aku, buat aku tertanya-tanya dan mengerti hukum Tuhan. Sesungguhnya kita tidak boleh 'pilih' cara kematian kerana itu semua bukan ketentuan kita. Ibu telah hampir 2 tahun berbaring akibat lumpuh. Masalah saraf. Dalam tempoh masa hampir 24 purnama itu abah tabah menjaganya siang dan malam. Ibu pula kategori pesakit 'cerewet' yang serba tak kena dan perlu dilayan seperti budak kecil yang perlu dipujuk diam. Dalam kelelahan itu, kesihatan abah yang berusia 70-an pula yang menjadi galang gantinya.

Abah baru-baru ini diserang demam yang agak kuat, disusuli dengan cirit-birit dan kerana terlalu lemah terjatuh pula di bilik air. Abah berehat di wad sekitar seminggu dan kemudiannya perlu follow up di IJN (Institut Jantung Negara). Aku diberitahu yang abah perlu menjalani rawatan pembedahan jantung. Jika abah dibedah nanti, perlu menjalani recovery dan selepas itu tentunya perlu berehat panjang serta tidak boleh bekerja berat. Bermakna tugas menjaga ibu perlu bertukar tangan. Aku mempunyai seorang kakak yang 'carefree' dan aku harap dia sudi menggalas tugas ini. Aku bukannya mahu lepas tangan tapi aku sendiri perlu bekerja menampung kehidupan dan juga kos rawatan emak dan abah apabila diperlukan. Tambahan pula, aku mempunyai 2 anak kecil dan tiada pembantu rumah, mana mungkin aku menjadi 'superhuman' dan menjaga emak pula sedangkan diri sendiri sering saja diabaikan akibat kekangan masa. Masalah emak yang agak menyulitkan adalah kerana ia bergantung kepada tiub saluran kencing sepanjang masa. Jadi tugas mengalihkan dan mengangkat emak menjadi sukar kerana jika tersilap sedikit tiub tersebut mudah saja tercabut dan perlu bawa emak ke hospital untuk disambung semula. Jika emak sekadar lumpuh dan berkerusi roda, oh, ingin saja ku dukung emak dan bawa ia bersiar-siar. Ingin ku rawat hatinya yang rawan selepas hampir 2 tahun hanya berbaringan. Aku tahu ibu sunyi, murung, bosan dan risau lebih-lebih lagi apabila abah pasangan hidupnya disahkan menghidap sakit jantung.

Dalam keadaan ini aku selalu merujuk kepada rakan-rakan yang bermasalah serupa. Seorang kakak yang aku kenali, Marziana, sering menjadi pakar rujuk dalam menghadapi persimpangan dilemma kehidupanku. Dia sendiri telah kehilangan ibu ayah malah tiada pula ibu bapa mertua lagi kerana masing-masing telah dipanggil mengadap Ilahi. Namun Marziana 'cool' sahaja orangnya dan redha menempuh takdirnya. Aku mohon agar aku juga mendapat ketenangan yang serupa. Ya, sesungguhnya aku tidak mampu menaksir masa depan namun dalam kehidupan kini, aku amat-amat bersyukur kerana apa yang Allah kurniakan kepada aku adalah lebih dari mencukupi dan kadang-kadang rasa bersalah pula 'mengecap' nikmatnya tanpa henti-henti. Kerana aku sendiri tidak sesuci mana dan sering bergelumang dosa. Namun aku akan cuba menjadi yang terbaik, sebagai hamba-Nya, sebagai anak, sebagai isteri, sebagai ibu, sebagai pengkhidmat yang terbaik dalam bidang kerjaku... Ya Allah, semoga jalanku selalu diberkati oleh-Mu. Amin...