Saturday, 12 October 2013

My very true story

Aku hanya seorang anak kampung... dan bukan dari kalangan keluarga VIP. Begitu juga di pihak suami, kedua-dua kami berusaha keras untuk mendapat pencapaian hidup sekarang tanpa menumpang gah kedudukan dan pangkat keluarga masing-masing. Kerana kami bukan anak siapa-siapa,kami hadir dari kalangan keluarga biasa-biasa sahaja.

Namun merenung rezeki yang Allah Taala kurniakan buat aku terfikir sejenak. Aku tiada bapa berpangkat Datuk untuk meraih tender dan kontrak. Bukan pula anak pegawai tinggi yang merintis jalan mudah dalam kehidupan ini kerana segala keperluan asas telah terbentang luas di depan mata seperti rumah dan kereta. Tapi Alhamdulillah, kami mampu memiliki sebuah premis pejabat di kawasan segi tiga emas di Bandar Melaka, sebuah rumah semi-D, kenderaan-kenderaan baik dan sedikit sebanyak kemampuan dalam meladeni gaya hidup zaman sekarang. Tapi untuk menggapai semua ini bukan mudah semudah memetik jari atau pun seperti si pari-pari yang bisa menukar kuasa magis. Kami berusaha selama genap 10 tahun sejak dari mula-mula bekerja sekitar sedekad lalu. Selama 10 tahun itu kami bekerja dengan pemilik firma guaman di sekitar Melaka dan JB dan mereka ini secara terasnya berbangsa Cina dan India. Bukan mudah untuk meraih kepercayaan bangsa lain terhadap anak watan Melayu yang dipandang secara skeptikal sebagai malas dan bergantung kepada subsidi kerajaan dan status sebagai Bumiputra. Namun selama 10 tahun jatuh bangun kami itu dapatlah menampung ilmu di dada dan bila memiliki firma sendiri tidaklah kami terkapai-kapai tanpa haluan dan pengetahuan.

Sekitar 2011, aku masih di firma lama. Waktu itu aku 'comtemplated', berbelah-bahagi sama ada mahu meneruskan kerja di situ ataupun joint bekerja secara usahasama dengan suamiku. Hati sudah tawar sebenarnya kerana firma lama berhadapan dengan kes pecah amanah jenayah dan terlibat dalam soal-siasat polis. Siapa tak gerun bila kedai kopi di simpang berhadapan pejabat tempat aku selalu memesan roti bakar rupanya jadi tempat mata-mata mengintip pergerakan kami kakitangan pejabat tersebut. Pada satu ketika aku bekerja di 2 pejabat iaitu sebelah pagi di pejabat suami manakala di sebelah petang singgah pula di pejabat satu lagi (Yes, I am a crazy woman at work sedangkan masa itu anak lelaki ku kecil lagi dalam lingkungan 10 bulan). Perjalanan pulang ke rumah aku akan melalui Jalan Bunga Raya susur keluar ke Hospital Putra dan kebiasaannya pada waktu petang memang agak traffic jammed di jalan-jalan raya yang agak sempit di situ.  Semasa kereta berhenti (waktu itu memandu Myvi) aku terpandang kelibat seorang wanita tua menyorong basikal, di tempat duduk basikal tersebut adalah anak lelakinya yang Down Syndrome manakala di tempat duduk belakang juga anak perempuannya yang Down Syndrome. Dia diekori oleh seorang anak perempuan berbaju sekolah menengah yang lusuh dan kelihatannya sedang mahu pulang ke rumah mereka di sekitar kawasan itu.

Mereka adalah the underprivileged, menginap di perumahan Melaka lama mungkin di sekitar Pengkalan Rama atau Jalan Mata Kucing. Kasihan, dihimpat kemiskinan dan juga ketidakupayaan diri. Air mataku serta merta bergenang dan menitis. Aku tidak berfikir panjang sebaliknya terus memberhentikan kereta di bahu jalan (kereta belakang menekan hon panjang kerana aku berhenti emergency). Aku berlari mengejar makcik tersebut dan anak-anaknya. Oh, dahulu aku tidak sesenang sekarang duit pun hanya cukup makan dan pakai sahaja. Aku menghamburkan apa sahaja yang ada dalam beg duit. Semua. Ya, semua wang yang ada aku serahkan kepada mereka. Supaya mereka boleh membeli ubat, makanan dan apa jua keperluan mereka. Aku masih ingat senyum dan terima kasih si makcik tua. Selepas itu aku kembali ke kereta dan pulang dengan ketenangan dan kepuasan yang sukar sekali digambarkan perasaannya.

Hingga kini apabila aku dikurniakan rezeki yang baik dari sumber yang tidak disangka-sangka, aku sering terkenangkan makcik tua dan anak-anaknya. Mungkin jua doa makcik tua untukku sampai dan dimakbulkan oleh Tuhan. Aku bukanlah orang yang terlampau baik namun aku rasa wajar berkongsi kisah ini dengan kalian. Tiada salahnya berkongsi rezeki dengan mereka yang dihimpit kesusahan hidup. Kelak mereka akan doakan dirimu dikurniakan darjah kesihatan dan rezeki yang baik yang datang dari sumber tanpa disangka-sangka. Rahsia Allah Taala itu luas, mana tahu kesenangan hidupmu akan terbentang di depan mata selepas dibuka kuncinya, iaitu dengan bersedekah kepada hambaNya yang dihimpit kemiskinan.

No comments:

Post a Comment