Friday, 11 October 2013

My fear

Memang aku sudah lama tidak menulis di sini. Aku mempunyai sebuah blog lagi Perihal Molek yang lebih mendapat sambutan. Blog Malacca Rendezvous sekadar 'suam-suam kuku'. Menurut e-mail yang aku terima kononnya blog ini mempunyai 20 international followers di newsfeed. Yang pasti, aku bukan menulis kerana mahu menarik followers semata-mata. Aku menulis mengikut gerak hati.

Belajar sudah, bekerja sudah. Menimba pengalaman, sudah. Menuai hasil juga sudah. Usia pun sudah pertengahan 30-an, bukan lagi usia anak-anak manis yang masih mentah dalam melayari kehidupan. Namun dalam usia ini sebenarnya antara perkara-perkara yang aku takuti akhirnya muncul juga. Apa yang aku takut sebenarnya? ... It's not actually 'takut'. It's how am I going to face the situation. Aku bimbangkan keadaan bila aku akan kehilangan kedua-dua ibu dan ayah. Aku tahu dan aku redha bahawa kedua orang tuaku tidak akan kekal selama-lamanya di dunia ini tetapi cara bila dan bagaimana mereka meninggalkan aku, buat aku tertanya-tanya dan mengerti hukum Tuhan. Sesungguhnya kita tidak boleh 'pilih' cara kematian kerana itu semua bukan ketentuan kita. Ibu telah hampir 2 tahun berbaring akibat lumpuh. Masalah saraf. Dalam tempoh masa hampir 24 purnama itu abah tabah menjaganya siang dan malam. Ibu pula kategori pesakit 'cerewet' yang serba tak kena dan perlu dilayan seperti budak kecil yang perlu dipujuk diam. Dalam kelelahan itu, kesihatan abah yang berusia 70-an pula yang menjadi galang gantinya.

Abah baru-baru ini diserang demam yang agak kuat, disusuli dengan cirit-birit dan kerana terlalu lemah terjatuh pula di bilik air. Abah berehat di wad sekitar seminggu dan kemudiannya perlu follow up di IJN (Institut Jantung Negara). Aku diberitahu yang abah perlu menjalani rawatan pembedahan jantung. Jika abah dibedah nanti, perlu menjalani recovery dan selepas itu tentunya perlu berehat panjang serta tidak boleh bekerja berat. Bermakna tugas menjaga ibu perlu bertukar tangan. Aku mempunyai seorang kakak yang 'carefree' dan aku harap dia sudi menggalas tugas ini. Aku bukannya mahu lepas tangan tapi aku sendiri perlu bekerja menampung kehidupan dan juga kos rawatan emak dan abah apabila diperlukan. Tambahan pula, aku mempunyai 2 anak kecil dan tiada pembantu rumah, mana mungkin aku menjadi 'superhuman' dan menjaga emak pula sedangkan diri sendiri sering saja diabaikan akibat kekangan masa. Masalah emak yang agak menyulitkan adalah kerana ia bergantung kepada tiub saluran kencing sepanjang masa. Jadi tugas mengalihkan dan mengangkat emak menjadi sukar kerana jika tersilap sedikit tiub tersebut mudah saja tercabut dan perlu bawa emak ke hospital untuk disambung semula. Jika emak sekadar lumpuh dan berkerusi roda, oh, ingin saja ku dukung emak dan bawa ia bersiar-siar. Ingin ku rawat hatinya yang rawan selepas hampir 2 tahun hanya berbaringan. Aku tahu ibu sunyi, murung, bosan dan risau lebih-lebih lagi apabila abah pasangan hidupnya disahkan menghidap sakit jantung.

Dalam keadaan ini aku selalu merujuk kepada rakan-rakan yang bermasalah serupa. Seorang kakak yang aku kenali, Marziana, sering menjadi pakar rujuk dalam menghadapi persimpangan dilemma kehidupanku. Dia sendiri telah kehilangan ibu ayah malah tiada pula ibu bapa mertua lagi kerana masing-masing telah dipanggil mengadap Ilahi. Namun Marziana 'cool' sahaja orangnya dan redha menempuh takdirnya. Aku mohon agar aku juga mendapat ketenangan yang serupa. Ya, sesungguhnya aku tidak mampu menaksir masa depan namun dalam kehidupan kini, aku amat-amat bersyukur kerana apa yang Allah kurniakan kepada aku adalah lebih dari mencukupi dan kadang-kadang rasa bersalah pula 'mengecap' nikmatnya tanpa henti-henti. Kerana aku sendiri tidak sesuci mana dan sering bergelumang dosa. Namun aku akan cuba menjadi yang terbaik, sebagai hamba-Nya, sebagai anak, sebagai isteri, sebagai ibu, sebagai pengkhidmat yang terbaik dalam bidang kerjaku... Ya Allah, semoga jalanku selalu diberkati oleh-Mu. Amin...

No comments:

Post a Comment