Wednesday, 16 October 2013

Sejak akhir-akhir ini

Sejak akhir-akhir ini aku gemar mencoret di sini. Tiada gambar pun tidak mengapa. Aku merasa lebih tenang di sini dan blog ini juga lebih privasi. Kehidupan juga tidak statik. Diam tak diam anak ke3 yang dulunya bayi sudahpun mencecah 1 tahun 1 bulan. Sudah semakin lasak. Aku semakin tiada punya masa sendiri. TV sentiasa perlu menayangkan animasi dan kartun. Aku sendiri 'compromised' dan sampai tiada masa pula hendak menonton berita.

Pasca pilihanraya umum aku tercari-cari wadah berita yang paling secocok untuk ku baca saban hari. Dahulu aku membaca Sinar tapi Sinar tanpa berita-berita politik ibarat kuah tanpa bergaram. Sudahnya aku seakan-akan 'hilang punca' dan tidak lagi up to date tentang isu-isu semasa. Sesuatu yang tidak pernah aku bayangkan sebelum ini. I pride myself as one who follows news and current issues. Bagaimana hendak faham isu jika Berita tidak ditonton dan tidak pula dibaca? Sudahnya aku hanya mendengar perkhabaran-perkhabaran yang dimaklumkan suami dan teman baik. Well, negara kita juga 'suam' sahaja keadaannya selepas Pilihanraya umum. Rakyat kebanyakan sibuk mencari rezeki dan nafkah sendiri kerana harga barang kian meningkat naik disebabkan kenaikan harga petrol yang mencanak-canak lagaknya.

Merujuk ruang lingkup peribadi, aku kini berhadapan dengan ibu bapa yang semakin merosot kesihatannya. Di pihak suami juga timbul konflik dan permasalahan keluarga sehingga kami mengenepikan dahulu keperluan untuk bersuka-suka. We always enjoy our family time together dan kebiasaannya kami akan get away pada hujung minggu ke ibu kota atau pusat-pusat peranginan dan adakalanya juga kami checked in di hotel-hotel di sekitar Melaka just to enjoy being together. Apabila ibu bapaku jatuh sakit, aku mengehadkan cuti hujung minggu dan akan spend masa sehari di kampung untuk membantu ibu bapaku menguruskan kehidupan mereka. Tiada lagi duduk santai-santai membaca majalah sambil meninjau gaya baju dan mekap terkini. Tiada lagi slot shopping spree di sekitar Alamanda Putrajaya, Parkson Melaka dan Jusco Seremban untuk memastikan ibu dan anak-anak sama bergaya dan trendy. Aku melihat kehidupan memerlukan lebih dari daya keseronokan begitu. Apa ertinya keseronokan hiburan tanpa had jika ibuku berbaring sejak 2 tahun yang lalu dan 'homebound' di atas katil pesakitnya? Apa ertinya aku mementingkan gaya hidup jika di kampung bapaku yang matanya sebelah glaukoma, mengalami masalah jantung dan prostat bersusah-payah menguruskan isteri yang lumpuh dan bertungkus-lumus pula menyediakan makan-minum sendiri? Setidak-tidaknya aku mesti memainkan peranan di situ. Menyalurkan bantuan yang secukupnya dari segi tenaga, masa, kewangan, upah pembantu, kos sara hidup, belanja perubatan dan sebagainya.

Inilah kehidupan. Ia bercabang-cabang dan di saat satu cabang yang ada tumbuh subur cabang yang lain turut memerlukan perhatian dan ada pula dahan yang rapuh. Yang penting kita sentiasa ingat dari masa asal dan akar kita dan jangan pula kita kekal mendongak pucuk yang subur menghijau sampai kita terlupa membaja pokok kita dengan benih-benih redha dan tawadhuk. Buat suamiku, aku redha kau memimpin jalanku and stay strong, man. Selepas hujan yang lebat dan awan yang berarak mendung, pastinya langitkan kembali cerah dan kita dapat pelangi.

Saturday, 12 October 2013

My very true story

Aku hanya seorang anak kampung... dan bukan dari kalangan keluarga VIP. Begitu juga di pihak suami, kedua-dua kami berusaha keras untuk mendapat pencapaian hidup sekarang tanpa menumpang gah kedudukan dan pangkat keluarga masing-masing. Kerana kami bukan anak siapa-siapa,kami hadir dari kalangan keluarga biasa-biasa sahaja.

Namun merenung rezeki yang Allah Taala kurniakan buat aku terfikir sejenak. Aku tiada bapa berpangkat Datuk untuk meraih tender dan kontrak. Bukan pula anak pegawai tinggi yang merintis jalan mudah dalam kehidupan ini kerana segala keperluan asas telah terbentang luas di depan mata seperti rumah dan kereta. Tapi Alhamdulillah, kami mampu memiliki sebuah premis pejabat di kawasan segi tiga emas di Bandar Melaka, sebuah rumah semi-D, kenderaan-kenderaan baik dan sedikit sebanyak kemampuan dalam meladeni gaya hidup zaman sekarang. Tapi untuk menggapai semua ini bukan mudah semudah memetik jari atau pun seperti si pari-pari yang bisa menukar kuasa magis. Kami berusaha selama genap 10 tahun sejak dari mula-mula bekerja sekitar sedekad lalu. Selama 10 tahun itu kami bekerja dengan pemilik firma guaman di sekitar Melaka dan JB dan mereka ini secara terasnya berbangsa Cina dan India. Bukan mudah untuk meraih kepercayaan bangsa lain terhadap anak watan Melayu yang dipandang secara skeptikal sebagai malas dan bergantung kepada subsidi kerajaan dan status sebagai Bumiputra. Namun selama 10 tahun jatuh bangun kami itu dapatlah menampung ilmu di dada dan bila memiliki firma sendiri tidaklah kami terkapai-kapai tanpa haluan dan pengetahuan.

Sekitar 2011, aku masih di firma lama. Waktu itu aku 'comtemplated', berbelah-bahagi sama ada mahu meneruskan kerja di situ ataupun joint bekerja secara usahasama dengan suamiku. Hati sudah tawar sebenarnya kerana firma lama berhadapan dengan kes pecah amanah jenayah dan terlibat dalam soal-siasat polis. Siapa tak gerun bila kedai kopi di simpang berhadapan pejabat tempat aku selalu memesan roti bakar rupanya jadi tempat mata-mata mengintip pergerakan kami kakitangan pejabat tersebut. Pada satu ketika aku bekerja di 2 pejabat iaitu sebelah pagi di pejabat suami manakala di sebelah petang singgah pula di pejabat satu lagi (Yes, I am a crazy woman at work sedangkan masa itu anak lelaki ku kecil lagi dalam lingkungan 10 bulan). Perjalanan pulang ke rumah aku akan melalui Jalan Bunga Raya susur keluar ke Hospital Putra dan kebiasaannya pada waktu petang memang agak traffic jammed di jalan-jalan raya yang agak sempit di situ.  Semasa kereta berhenti (waktu itu memandu Myvi) aku terpandang kelibat seorang wanita tua menyorong basikal, di tempat duduk basikal tersebut adalah anak lelakinya yang Down Syndrome manakala di tempat duduk belakang juga anak perempuannya yang Down Syndrome. Dia diekori oleh seorang anak perempuan berbaju sekolah menengah yang lusuh dan kelihatannya sedang mahu pulang ke rumah mereka di sekitar kawasan itu.

Mereka adalah the underprivileged, menginap di perumahan Melaka lama mungkin di sekitar Pengkalan Rama atau Jalan Mata Kucing. Kasihan, dihimpat kemiskinan dan juga ketidakupayaan diri. Air mataku serta merta bergenang dan menitis. Aku tidak berfikir panjang sebaliknya terus memberhentikan kereta di bahu jalan (kereta belakang menekan hon panjang kerana aku berhenti emergency). Aku berlari mengejar makcik tersebut dan anak-anaknya. Oh, dahulu aku tidak sesenang sekarang duit pun hanya cukup makan dan pakai sahaja. Aku menghamburkan apa sahaja yang ada dalam beg duit. Semua. Ya, semua wang yang ada aku serahkan kepada mereka. Supaya mereka boleh membeli ubat, makanan dan apa jua keperluan mereka. Aku masih ingat senyum dan terima kasih si makcik tua. Selepas itu aku kembali ke kereta dan pulang dengan ketenangan dan kepuasan yang sukar sekali digambarkan perasaannya.

Hingga kini apabila aku dikurniakan rezeki yang baik dari sumber yang tidak disangka-sangka, aku sering terkenangkan makcik tua dan anak-anaknya. Mungkin jua doa makcik tua untukku sampai dan dimakbulkan oleh Tuhan. Aku bukanlah orang yang terlampau baik namun aku rasa wajar berkongsi kisah ini dengan kalian. Tiada salahnya berkongsi rezeki dengan mereka yang dihimpit kesusahan hidup. Kelak mereka akan doakan dirimu dikurniakan darjah kesihatan dan rezeki yang baik yang datang dari sumber tanpa disangka-sangka. Rahsia Allah Taala itu luas, mana tahu kesenangan hidupmu akan terbentang di depan mata selepas dibuka kuncinya, iaitu dengan bersedekah kepada hambaNya yang dihimpit kemiskinan.

Friday, 11 October 2013

My fear

Memang aku sudah lama tidak menulis di sini. Aku mempunyai sebuah blog lagi Perihal Molek yang lebih mendapat sambutan. Blog Malacca Rendezvous sekadar 'suam-suam kuku'. Menurut e-mail yang aku terima kononnya blog ini mempunyai 20 international followers di newsfeed. Yang pasti, aku bukan menulis kerana mahu menarik followers semata-mata. Aku menulis mengikut gerak hati.

Belajar sudah, bekerja sudah. Menimba pengalaman, sudah. Menuai hasil juga sudah. Usia pun sudah pertengahan 30-an, bukan lagi usia anak-anak manis yang masih mentah dalam melayari kehidupan. Namun dalam usia ini sebenarnya antara perkara-perkara yang aku takuti akhirnya muncul juga. Apa yang aku takut sebenarnya? ... It's not actually 'takut'. It's how am I going to face the situation. Aku bimbangkan keadaan bila aku akan kehilangan kedua-dua ibu dan ayah. Aku tahu dan aku redha bahawa kedua orang tuaku tidak akan kekal selama-lamanya di dunia ini tetapi cara bila dan bagaimana mereka meninggalkan aku, buat aku tertanya-tanya dan mengerti hukum Tuhan. Sesungguhnya kita tidak boleh 'pilih' cara kematian kerana itu semua bukan ketentuan kita. Ibu telah hampir 2 tahun berbaring akibat lumpuh. Masalah saraf. Dalam tempoh masa hampir 24 purnama itu abah tabah menjaganya siang dan malam. Ibu pula kategori pesakit 'cerewet' yang serba tak kena dan perlu dilayan seperti budak kecil yang perlu dipujuk diam. Dalam kelelahan itu, kesihatan abah yang berusia 70-an pula yang menjadi galang gantinya.

Abah baru-baru ini diserang demam yang agak kuat, disusuli dengan cirit-birit dan kerana terlalu lemah terjatuh pula di bilik air. Abah berehat di wad sekitar seminggu dan kemudiannya perlu follow up di IJN (Institut Jantung Negara). Aku diberitahu yang abah perlu menjalani rawatan pembedahan jantung. Jika abah dibedah nanti, perlu menjalani recovery dan selepas itu tentunya perlu berehat panjang serta tidak boleh bekerja berat. Bermakna tugas menjaga ibu perlu bertukar tangan. Aku mempunyai seorang kakak yang 'carefree' dan aku harap dia sudi menggalas tugas ini. Aku bukannya mahu lepas tangan tapi aku sendiri perlu bekerja menampung kehidupan dan juga kos rawatan emak dan abah apabila diperlukan. Tambahan pula, aku mempunyai 2 anak kecil dan tiada pembantu rumah, mana mungkin aku menjadi 'superhuman' dan menjaga emak pula sedangkan diri sendiri sering saja diabaikan akibat kekangan masa. Masalah emak yang agak menyulitkan adalah kerana ia bergantung kepada tiub saluran kencing sepanjang masa. Jadi tugas mengalihkan dan mengangkat emak menjadi sukar kerana jika tersilap sedikit tiub tersebut mudah saja tercabut dan perlu bawa emak ke hospital untuk disambung semula. Jika emak sekadar lumpuh dan berkerusi roda, oh, ingin saja ku dukung emak dan bawa ia bersiar-siar. Ingin ku rawat hatinya yang rawan selepas hampir 2 tahun hanya berbaringan. Aku tahu ibu sunyi, murung, bosan dan risau lebih-lebih lagi apabila abah pasangan hidupnya disahkan menghidap sakit jantung.

Dalam keadaan ini aku selalu merujuk kepada rakan-rakan yang bermasalah serupa. Seorang kakak yang aku kenali, Marziana, sering menjadi pakar rujuk dalam menghadapi persimpangan dilemma kehidupanku. Dia sendiri telah kehilangan ibu ayah malah tiada pula ibu bapa mertua lagi kerana masing-masing telah dipanggil mengadap Ilahi. Namun Marziana 'cool' sahaja orangnya dan redha menempuh takdirnya. Aku mohon agar aku juga mendapat ketenangan yang serupa. Ya, sesungguhnya aku tidak mampu menaksir masa depan namun dalam kehidupan kini, aku amat-amat bersyukur kerana apa yang Allah kurniakan kepada aku adalah lebih dari mencukupi dan kadang-kadang rasa bersalah pula 'mengecap' nikmatnya tanpa henti-henti. Kerana aku sendiri tidak sesuci mana dan sering bergelumang dosa. Namun aku akan cuba menjadi yang terbaik, sebagai hamba-Nya, sebagai anak, sebagai isteri, sebagai ibu, sebagai pengkhidmat yang terbaik dalam bidang kerjaku... Ya Allah, semoga jalanku selalu diberkati oleh-Mu. Amin...

Sunday, 23 June 2013

Masjid Selat Melaka


Aku menemui ketenanganku di sini. Masjid Selat Melaka begitu unik kerana dibina atas pelantar Selat Melaka dan kelihatan seolah-olah terapung. Bayangkan perjalananmu menuju ke rumah Allah dengan melihat pulau-pulau di sekeliling lautan. Solat sekhusyuknya kerana di samping lafaz ayat-ayat suci itu kamu akan mendengar deruan ombak. Epik.


Aku sering singgah pada waktu Zohor saat mentari sedang terik di kepala. Namun ruang solat menjanjikan nyaman, sejuk dan damai. Seringkali juga waktu singgah aku akan bertembung dengan kanak-kanak sekolah berombongan. Lantas senyum sendiri. Aku juga semasa kecil dulu galak berombongan ke Bandar Melaka. Masjid Selat kini menjadi salah satu produk pelancongan juga.



Ada kerusi urut yang sesekali turut ku gunakan khidmatnya. Namun kurang selesa. Sedang berbaring diurut kerusi empuk tiba-tiba datang kaum Adam yang kurang sensitif 'tour' sekeliling masjid. Disturbing.


Aku memuji inisiatif committee masjid yang berusaha menjadikan masjid lebih dari sekadar rumah solat semata-mata. Seperti Masjid Saidina Ali di Bukit Katil, sering ia menjadi tumpuan pelajar sekolah yang mengikuti Kem Solat semasa cuti semester. Masjid mesti dipelbagaikan fungsinya, seperti cadangan Ketua Menteri Baru yang menghasratkan Masjid Al-Azim Bukit Palah menjadi masjid dengan taman rekreasi (yang dihiasi nilai Islamik). Thumbs up!

Cuma sebagai pengunjung muslimah, aku sedikit terkilan kerana kebanyakan masjid dibina 'kurang mesra wanita'. Berdasarkan pengalaman sendiri, seringkali perlu berpusing-pusing mencari akses kepada ruang solat dan wudhu' wanita kerana biasanya ia jauh dan tersorok. Benar, aurat wanita perlu dijaga tetapi kami juga ada hak untuk mudah menunaikan solat di masjid. Bayangkan jika pengunjung muslimah itu OKU, pasti terkilan kerana niat untuk menumpang solat di masjid yang indah menjadi sesuatu yang menyulitkan.


Hari bebas tekanan

Kami kembali lagi ke Hotel Equatorial. Lama juga tak ke sini sedangkan dulu kerap kami berkampung di sini sekiranya ada urusan di sekitar Lembah Kelang. Sesekali dapat melepaskan lelah di hotel cukup menyeronokkan kerana baru kelmarin kami berhempas pulas dengan tugas mencabar di Mahkamah Rayuan.

Lobi hotel

Kami tiba sekitar jam 4 petang dan berehat di kamar sehingga waktu Asar. Kemudian kami ke rumah abang ku di Putrajaya dan meraikan harijadi anaknya yang sulung. Malam itu ada Pesta Flora di Putrajaya namun kami tidak berminat untuk menunggu.

 Kami lantas ke Kompleks PKNS Bangi mencari baju renang muslimah buat Dina. Rupa-rupanya aku terlepas pandang semasa mengemas dan tertinggal swimming suit Dina.

Dina bergaya dengan swimsuit baru


Adik Zah dlm babycot

Suatu perkara yang aku impressed dengan Hotel EQ ialah buffet spread untuk sarapannya. Segala makanan enak sama ada tradisional atau international bergabung dalam ambience yang sungguh relaks dan mendamaikan.


Fruit platter

Fresh garden & fruit salad
Kami checked out dari EQ dan bertolak ke kediaman kakakku di Nilai Impian. Good bye EQ and till we meet again.


Tuesday, 18 June 2013

Tentang abah

Abah hendak operate mata. Mata kiri abah sudah berselaput rona kelabu. Katarak. Selaput yang kelam itu akan dirawat melalui laser dan mata abah akan pulih kembali. Jika tidak, abah akan sukar membaca dan memandu.

Kos rawatan laser bersekali dengan follow-up treatment sekitar RM3,500. Cara rawatan juga tidak sukar, abah boleh datang ke klinik pakar mata pada hari Sabtu dan menjalani prosedur laser sekitar 1/2 jam sahaja. Gembira sungguh abah mendengar perkhabaran dariku. Namun aku minta abah bersabar. Abah tidak se'tipikal' bapa-bapa lain, bisa bersenang-senang dan makan-minum disediakan isteri. Abah, dalam usia lewat 70 tahun, perlu menjaga makan-minum-pakai dan ubat seorang isteri yang uzur dan terlantar lumpuh. Kata seorang doktor di daerah kelahiranku yang sering merawat abah,' You have a great father'. Yes, indeed.

Abah, sempena hari bapa ini, aku tidak memberi sebarang petanda hadiah kerana tiada pemberian yang setanding utuh kasih sayangmu. Aku juga tidak meminta apa-apa kerana jalan hidup yang kau bentangkan di hadapanku cukup untuk ku buat pedoman mendepani hari mendatang. Abah, andai kata Tuhan memanggil hayatmu cukup setakatnya nanti, aku redha akan apa yang telah engkau sediakan untukku. Sesungguhnya abah telah melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa dengan cukup ulung, ku doakan syurga yang paling agung di sisi Allah buatmu Abah.

Aku perlu meneruskan kehidupan, abah. Hanya sekali-sekala dapat ku jenguk dirimu. Dalam kepayahan, kau gagahkan jua menjaga ibu yang terlantar sakit. Aku sering teringat abah yang bergenang air mata sewaktu ku katakan,' Bahawa Allah ingin menjanjikan abah syurga. Tapi abah harus melepasi galangan. Pertama, berbakti kepada isteri hingga ke akhir hayat. Kedua, amanah terhadap anak perempuan (kakak sulungku yang dikesampingkan oleh abah)'. Semoga kakakku terbuka hati untuk pulang mengambil alih tugas abah. Abah semakin uzur dan mata semakin kabur. Pembedahan mata memerlukan abah berehat, tidak boleh mengangkat benda berat, berpantang makan dan sembahyang menggunakan isyarat (tidak boleh rukuk dan sujud kerana bimbang memberi tekanan pada mata). Moga-moga terbuka hati kakakku. Kerana kita perlu berbakti sementara sempat, sementara ayah dan bonda dikandung hayat....



Saturday, 8 June 2013

Ikan bakar Melaka

Ikan bakar begitu sinonim dengan pelancongan di Melaka. Apa ertinya melancong tanpa makan? Kerana itu tempat yang menawarkan makanan sedap sering jadi pilihan semasa bercuti. Antara medan ikan bakar popular di Melaka ialah di Muara Sungai Duyong, Alai, Serkam, Umbai, Anjung Batu, Tanjong Nibong dan tempat-tempat lain seumpamanya. 

Baru-baru ini kami sekeluarga berkesempatan menjamu selera di Anjung Batu. Not bad, meskipun harga agak mahal. Sebelum singgah ke medan makan pilihan, kami sempat menjenguk Jeti Anjung Batu iaitu laluan laut ke Pulau Besar. I'm always fascinated with island. Namun sehingga kini masih belum berkesempatan ke Pulau Besar. Dengarnya tempat tersebut agak keras, mana mungkin aku ke sana dengan membawa anak-anakku yang masih kecil. Cukuplah dengan memandang Pulau Besar dari kejauhan. Ia juga kelihatan agak jelas jika aku melihatnya dari Masjid Selat yang sering ku kunjungi di Bandar Hilir. 

Akhir-akhir ini juga aku gemar mengunjungi Medan Ikan Bakar Muara Sungai Duyong. Ia merupakan medan selera makanan laut dan bakar yang paling hampir dengan Bandar Melaka. Seronok duduk makan ikan bakar yang segar sambil mata memandang laut yang saujana terbentang kebiruan.

Muara sungai menghala ke laut lepas

Suasana medan 

Selain ikan bakar, Melaka juga amat terkenal dengan asam pedas dan makanan popular lain seperti nan tandoori, kuih-muih, coconut shake dan lain-lain. Untuk entri-entri akan datang, akan ku sorot pula ulasan dan gambar dari tempat-tempat lain yang bakal ku jejak nanti.

Friday, 7 June 2013

Kembali bersiaran

Hai. Kali ini aku kembali bersiaran. Kanvas blog ini pula telah lama 'berdebu' dan tak dilawati. Aku ingin menghidupkannya kembali dengan penulisan santai.

Cuti sekolah bakal berbaki 2 hari lagi. Kami tak ke mana-mana kali ini. Teringin pula hendak keluar menghiburkan hati Dina, anakku yang sulung. Hari itu kami ke Johnny's.

Dina minum orange juice
Kami makan simple sahaja untuk kudapan tengahari. Dina order BBQ chicken wings dan mama pula order mee bayam kegemaran setiap kali berkunjung ke Johnny's. Untuk minuman pula, seperti biasa mama akan order aloevera. Kali ini tanpa ais kerana batuk yang datang menyerang semenjak seminggu sudah.

Dina menikmati BBQ chicken

Sementara Dina menghabiskan BBQ chickennya yang sampai agak lambat, aku membilas tekak dengan pemanis mulut nangka dan gula kabung. Wah, rasanya sungguh sedap sekali. Sambil makan, kami akan berbual-bual. Seperti biasa, Dina akan come up dengan girly talks tentang kawan-kawan di sekolahnya. Bila keluar berdua begini, aku dapat memberi quality time yang terbaik buatnya. Maklumlah, aku sibuk bekerja dan bila pulang pula, sibuk meladeni adik kecilnya yang 2 orang itu. Selesai makan di Johnny's kami ke Kedai Buku Popular. Aku membelikannya 'Buku Lola' - cerita tentang kanak-kanak perempuan. Sekurang-kurangnya ada bahan bacaan buat Dina semasa cuti sekolah dan tidaklah dia boring tanpa aktiviti. Aku pula sibuk mencari buku Sidney Sheldon - penulis kegemaran yang meninggal pada tahun 2011. Nampaknya buku-buku tulisan Sheldon semakin berkurangan di rak-rak kedai buku. Aku ingin membeli buku terakhir nukilan beliau - The Other Side of Me. Sehingga kini masih gagal dan belum ke temu. Akhirnya aku membeli majalah Style. Lebih kurang kandungannya macam majalah Harper's Bazaar yang ku beli saban bulan. Rupa-rupanya ia dari penerbit yang sama iaitu BLUE INC.

Selesai sudah episod 'dating' dengan Dina, I'm looking forward to go out with her again. Bila keluar berdua, terasa lebih rapat dan sayang sungguh dengan anak perempuanku ini.