Dalam menjalani rutin harian anda, adakalanya berlaku beberapa isu-isu yang kompleks yang memerlukan penelitian dan khidmat guaman. Sila jumpa peguam anda jika ada perkara-perkara berbangkit seperti berikut :-
1. Hal ehwal hartanah
Anda mempunyai sebidang hartanah dan ingin menjualnya. Atau anda membeli hartanah untuk pelaburan. Peguam boleh menasihati anda tentang deposit yang perlu didahulukan, merangka perjanjian, menguruskan gadaian dengan institusi kewangan berkaitan dan memastikan pindahmilik nama dalam geran. Anda mungkin kurang arif dengan syarat dan terma perjanjian serta tidak biasa berurusan dengan pihak berkuasa pendaftaran tanah. Maka di sini, khidmat guaman dalam selok-belok hartanah amat diperlukan. INGAT, JANGAN BERGANTUNG DENGAN BROKER KERANA MEREKA TIADA KELAYAKAN DAN TIADA BADAN PROFESIONAL YANG MEMANTAU TINDAK-TANDUK MEREKA DALAM URUSAN HARTANAH.
2. Perceraian
Kebanyakan orang bertindak melulu dengan mewakili diri sendiri dalam urusan perceraian. Jangan. Anda mungkin tidak biasa dengan prosedur mahkamah melibatkan saman dan pernyataan tuntutan, pembelaan, hujahan dsb. Paling tidak, anda mungkin mengalami kekangan masa kerana perlu naik turun mahkamah untuk menyelesaikan urusan sendiri. Anda juga perlu mengambil cuti dan mungkin tertekan kerana perlu menghadapi urusan peribadi. Ambillah peguam bagi mewakili diri anda. Peguam akan menasihati anda tentang hak-hak yang boleh anda pertahankan jika berlaku perceraian, contohnya hak anda mendapatkan nafkah iddah dan mutaah, harta sepencarian dan hadhanah (hak jagaan anak).
3. Wasiat dan pusaka
Untuk orang bukan Islam mereka digalakkan menulis wasiat untuk memastikan harta ditadbir dengan baik selepas kematian. Manakala orang Islam pula boleh membuat instrumen hibah. Di situasi yang lain pula, apabila berlaku kematian, waris-waris seringkali tidak tahu arahtuju untuk menyelesaikan pusaka si mati. Sebenarnya, bagi kumpulan harta pusaka si mati melebih RM2 juta, permohonan boleh dibuat ke Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan Geran Probet (jika berwasiat) atau Surat Kuasa Mentadbir (jika tidak berwasiat). Bagi hartanah-hartanah di bawah 2 juta, ia tertakluk di bawah bidangkuasa Pusaka Kecil di bawah seliaan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian. Silalah berjumpa peguam anda untuk memastikan semua benefisiari mendapat hak yang sewajarnya selepas kematian gemulah (si mati).
4. Pertikaian tanah
Ada waris yang kehairanan kerana tidak dapat berbuat apa-apa terhadap tanah kerana ia telah dikaveatkan. Peguam anda tahu selok-belok untuk memastikan kaveat tersebut ditarik balik atau dibatalkan atas perintah mahkamah. Ada pula tanah yang terbiar bertahun-tahun tanpa diketahui status kerana Suratan Hakmilik (Geran) hilang tanpa dapat dikesan. Rujuklah peguam anda untuk memastikan segala urusan pendaftaran tidak tergendala dan bagi memohon geran gantian.
5. Sewaan
Jika menyewakan hartanah anda, rumah kedai contohnya, pastikan ada Perjanjian Sewaan. Ini penting kerana semua butir-butir sewaan akan dicatatkan dalam perjanjian yang disetemkan. Apabila berlaku sesuatu (tidak membayar sewa dsb) anda boleh rujuk perjanjian dan menguatkuasakan hak anda. Peguam akan mendapatkan perintah mahkamah bagi Writ of Distress dan memastikan wang sewaan anda diperolehi kembali tanpa rugi.
6. Tuntutan hutang
Jika menjadi pemiutang kepada mana-mana orang yang gagal membayar kembali, serahkan kepada undang-undang supaya penghutang tersebut tidak mampu berbuat apa-apa melainkan membayar hutang anda tanpa culas.
7. Pengangkatan
Jangan mengambil anak angkat tanpa melakukan prosedur pengangkatan yang sah. Rujuklah peguam anda supaya boleh mendapat perintah Mahkamah bagi mendaftarkan pengangkatan tersebut dengan sewajarnya. Telah banyak kali berlaku di mana ibubapa angkat terpaksa berputih mata kerana anak angkat akhirnya diambil kembali oleh ibu bapa asal mereka.
8. Jenayah/ suspek jenayah
Jika tiba-tiba ditahan polis atau tiba-tiba disyaki terlibat sebagai dalang dalam mana-mana kes jenayah, hubungi peguam anda secepat mungkin. Hak anda untuk mendapatkan representasi guaman sentiasa dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Jika sampai tahap anda dikemukakan ke Mahkamah untuk perintah tahanan reman, peguam anda boleh mengaturkan supaya anda diikatjamin dan tidak merengkok dalam lokap tahanan. Hak dan reputasi anda patut dijaga dalam apa jua hal situasi pun.
9. Notis tuntutan bank/ tindakan bankrupsi
Jangan hanya berdiam diri apabila menerima notis tuntutan bank atau peguam bank tentang sesuatu keberhutangan. Periksa surat saman tersebut dan tarikh sebutan kes di mahkamah. Jika perlu, lantik peguam untuk mewakili anda. Ini penting kerana anda perlu tahu apa status kes tersebut terhadap anda. Jika anda mengambil sikap jahil (ignorance), jangan melenting jika tak semena-mena anda disenaraihitamkan, dibankrapkan atau kediaman disita. Jika anda berhasrat untuk memulihkan hutang yang tertunggak, ada baiknya juga anda mengambil khidmat peguam. Lebih mudah jika peguam anda yang berurusan dengan bank daripada anda berurusan sendiri.
10. Pelbagai isu melibatkan undang-undang
Saman trafik, saman oleh rakan kongsi perniagaan, sebarang usul atau tindakan melibatkan undang-undang oleh pihak berkuasa, saman majikan atau apa saja bentuk pengemukaan yang memerlukan pembelaan. Rujuklah peguam anda supaya anda tidak terkhilaf. Pembelaan membolehkan anda didengar lantas menjamin hak anda sebagai individu. Jangan mengambil enteng tentang sesuatu perkara sehingga mendatangkan implikasi buruk terhadap diri anda. Sepatah kata dari penulis antarabangsa Harun Yahya, apa jua yang anda lakukan, JANGANLAH BERSIKAP JAHIL (NEVER PLEAD IGNORANCE).

No comments:
Post a Comment