Sebuah buku yang menarik karya Dr Faisal Tehrani. Bukan ceritera cinta picisan. Ada persoalan fikir yang dibentangkan secara tersirat oleh penulis. Persoalan itu sebenarnya melangkaui kisah cinta yang melingkari watak utamanya Salsabila Fahim. Saya gagahkan juga menghabiskan novel yang agak tebal ini. Awal membacanya, saya sendiri agak skeptikal. Takkanlah semua orang terlalu mudah jatuh cinta dengan Salsabila Fahim.
Saya sukakan tajuknya. Tunggu Teduh Dulu. Betapa klasik. Rupa-rupanya Teduh Dulu adalah ilhamrasa dari Ladang Betik yang diusahakan oleh Salsabila bersama rakan kongsinya Teh Sofia. Apa yang cuba penulis tonjolkan di sini ialah tentang kegigihan wanita Muslim meranjau cabaran dalam perniagaan tani. Watak-watak yang digambarkan sangat kuat personaliti, bijak, bersemangat dan bermaruah.
Penghabisan novelnya sungguh happy ending, sedikit klise. Watak utama akhirnya mendapat semua yang diidam-idamkan. Suami beriman, anak kembar, perniagaan berkembang... tetapi selepas melalui siri-siri getir yang tak terkisahkan sepanjang kembara penghidupannya. Ada pengajaran cukup bernas dari penulisan novel ini. Bahawa hidup kita; sejauh mana pun berlari, sekuat mana pun melangkah dan setinggi mana pun langit digapai; semuanya tertakluk pada qadha' dan qadar.

No comments:
Post a Comment