Wednesday, 3 August 2011

Semoga dicucuri rahmat

Mohd Ashraf Hafiz, 1985-2011
Izinkan saya menukilkan coretan buat Arwah Mohd Ashraf Hafiz, meskipun agak terlewat. Sewaktu saya menulis ini, beliau telahpun meninggal pada Sabtu lepas akibat serangan jantung.

Saya tidak ingin mengulang apa yang telah tercatat di akhbar. Saya ingin menulis dari kaca mata saya sendiri. Pada saya, media sedikit kejam. Pada hari Ashraf muncul di Mahkamah Tinggi Terengganu, seluruh lensa kamera menghala ke arahnya dan publisiti meluas diberikan kepadanya. Mungkin dari saat ini lagi Ashraf telah tertekan.

Itu belum lagi ditambah dengan tulisan di blog-blog yang mengecam beliau. Kemudian, media massa mensensasikan kisahnya apabila hal beliau dan keluarga kerap mengisi tajuk-tajuk akhbar. Sebuah tabloid tanpa sensitif menyebut 'Pondan gagal tukar nama'. Kasihan arwah Ashraf. Lebih ramai yang mengutuk dari yang memahami.

Saya difahamkan kes Ashraf patut dirujuk kepada Autoriti yang mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam. Majlis Agama akan bersidang bagi mengeluarkan fatwa sama ada seseorang khunsa itu mirip lelaki atau perempuan. (Dalam kes Ashraf, saya kurang pasti adakah khunsa?). Fatwa ini, dengan disokong laporan perubatan, akan memberikan garis panduan tentang perjalanan hidup insan istimewa ini sama ada boleh berkahwin, cara solatnya, pengurusan jenazah dsb. Selepas kecenderungan jantina dipastikan baharulah pembedahan boleh dibuat supaya insan istimewa ini merasa lebih tenteram untuk menjalani kehidupan. Kemudian fatwa ini, dengan disokong laporan perubatan disekalikan semasa permohonan di Mahkamah untuk deklarasi bahawa ia sesungguhnya telah memakai identiti wanita. Deklarasi ini memasukkan sekali perintah terhadap Jabatan Pendaftaran Negara supaya pindaan nama boleh dibuat bagi pihak pemohon.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tidak adil untuk kita terus berteka-teki, kerana dia telahpun dijemput pergi. Simpati saya pada ibu arwah, yang redha anaknya dijemput Ilahi jika itulah takdir yang terbaik untuknya. Cuma sekadar peringatan, semoga kes sebegini dapat ditangani dengan lebih rasa empati. Isu sensitif sebegini, bukan untuk mainan sensasi media semata-mata dan bukan hak orang awam untuk bersorak dan mencemuh. Semoga kita lebih bersifat insaniah dan tunduk merenung hikmah setiap kejadian Allah di muka bumi ini.

Sunday, 24 July 2011

Mahkamah berat sebelah

Saya mewakili seorang wanita awal 30-an menuntut pengesahan cerai taklik akibat dipukul suami. Selepas menyediakan Saman dan Pernyataan Tuntutan, saya pun memfailkan kes tersebut di Mahkamah Syariah. Semasa hari panggilan kes, si suami hadir dan tidak mengakui tuntutan. Dia tidak diwakili peguam sebaliknya ingin mewakili diri sendiri.

Beberapa hari kemudian saya menerima Pernyataan Pembelaan dari suami tersebut selaku defendan. Saya membaca perenggan-perenggan Pernyataan Pembelaan yang disediakan dengan teratur dan cantik (meskipun tidak didraf dengan sebegitu teliti). Antara lain, beliau menuntut balas supaya isterinya kembali taat. Beliau juga tidak mengaku memukul isteri.

Apa yang saya ingin bincangkan di sini ialah mengenai fungsi mahkamah. Saya difahamkan bahagian pendaftaran Mahkamah Syariah menyediakan perkhidmatan membantu pihak-pihak yang tidak menggunakan khidmat peguam. Mereka akan membantu menderaf Pliding iaitu Pernyataan Tuntutan, Pembelaan, Tuntutan balas, Notis Permohonan dsb. Tidakkah ini bermakna Mahkamah 'mewakili' pihak tersebut secara tidak langsung? Jika ini berlaku, bagi saya Mahkamah telah bersikap 'takes side' dan tidak lagi neutral.

Mahkamah mestilah bersikap impartial dan tidak menyebelahi mana-mana pihak bagi membolehkan kes diputuskan secara adil sedari mula kes tersebut dibentangkan sehinggalah dibicarakan. Tugas mewakili pihak-pihak, sama ada Plaintif atau defendan, mestilah diserahkan kepada peguam. Mungkin ada yang mengatakan, caj peguam terlampau mahal dan pihak-pihak tidak mampu. Mahkamah hanya sekadar membantu mereka supaya kes dapat berjalan dengan lancar. Namun, apalah ertinya 'membantu' pihak-pihak ini jika impak dari perbuatan tersebut, Mahkamah dilihat tidak berlaku adil dan berat sebelah?

Kesimpulannya di sini, Mahkamah hendaklah menjalankan fungsi mahkamah seadil-adilnya. Mahkamah janganlah mengambil alih tugas peguam. Biar Mahkamah menjalankan fungsi sebenarnya dan peguam juga menjalankan fungsi sebenarnya. Perkara paling asas yang jadi prinsip kita ialah untuk menjunjung keadilan.

Sepatah kata rakan saya,'sudahlah peguam dimomokkan dengan caj guaman mahal, Mahkamah pula hendak ambil alih tugas peguam. Macam ni... makin susahlah peguam hendak cari makan!'

Monday, 18 July 2011

Ke Mahkamah Majlis Bandaraya

culas membayar parking boleh mengheretmu ke mahkamah

Di sekitar Bandaraya Melaka, apabila kamu memasuki kawasan parkir berpetak, jangan lupa menggores kad kupon parking yang mudah diperolehi di kedai-kedai berhampiran. Caj yang dikenakan 0.60 sen untuk sejam manakala 0.40 sen untuk setengah jam parkir kenderaan.

Jika kamu enggan menggores kad kupon tersebut seperti sepatutnya, kereta kamu akan disinggahi dengan 'surat cinta' iaitu saman Majlis Bandaraya. Baru-baru ini saya mewakili seorang klien yang disaman oleh Majlis Bandaraya untuk kesalahan parking pada tahun 2009. Kes tersebut telah sampai ke proses Waran Tangkap. Sebenarnya, klien tiada di Malaysia kerana melanjutkan pelajaran Sarjana Perubatan di Amerika. (Beliau seorang doktor). Bayangkan kerana culas membayar parking berjumlah 60 sen, kamu boleh ditangkap dan dihadapkan ke Mahkamah!

Semasa kes dipanggil, saya telah membuat rayuan bagi pihak OKS (Orang kena saman) supaya denda boleh dikurangkan. Kesalahan tersebut layak dikenakan denda RM300 tetapi dengan mengambil kira rayuan, Majistret telah mengenakan denda RM120. Selepas kes selesai, seorang Polis Bantuan telah membantu untuk menguruskan proses pembayaran dan resit Mahkamah pun dikeluarkan.

Nasihat saya, jangan culas bayar parking! Hanya 60 sen sejam tetapi jika tidak dilakukan, kamu bakal didenda berkali-kali ganda di samping perlu berhadapan dengan proses Mahkamah dan Waran Tangkap! Sungguh tidak berbaloi....

Friday, 15 July 2011

Kawan makan kawan

Sakitnya ditikam dari belakang
Baru-baru ini seorang kawan kepada suami ingin membeli hartanah di kampung. Tanah pertanian yang hendak dibeli itu cukup berbaloi harganya iaitu cuma RM80,000 untuk 1 hektar kebun getah. Dia meminta kami menguruskan urusan jual beli.

Atas dasar kawan saya membantunya menyediakan Perjanjian Jual Beli. Dia membuat pinjaman peribadi untuk melangsaikan keseluruhan harga beli RM80,000. Atas dasar kawan juga dia tidak perlu bersusah-susah menemui saya di pejabat di bandar Melaka. Kami suami isteri rela hati menemuinya di rumah Pemilik Tanah tersebut di Linggi, Negeri Sembilan.

Wang pun bertukar tangan dan Perjanjian pun ditandatangani. Sudah saya maklumkan tanah ini tanah "Kurnia" dan memerlukan "Consent" pihak berkuasa negeri sebelum boleh dipindahmilik. Proses memohon "Consent" sahaja memerlukan tempoh masa yang panjang dan apabila diperolehi, saya memerlukan 3 bulan untuk mendaftar geran.

Entah dia tidak faham atau pun mengaku faham, tiba-tiba saya dikejutkan dengan panggilan telefon yang cukup kasar. Tuduhnya, saya tidak maklumkan urusan di pejabat Tanah sedangkan duit khidmat guaman sudah dibayar. Walhal saya sudah kirimkan salinan Perjanjian Jual Beli, surat-menyurat ke Pejabat Tanah Rembau dsb. Jika "Consent" lambat diperolehi, itu di luar kudrat saya kerana ia bidangkuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Di tengah-tengah perbalahan itu, saya beri dia "assurance" bahawa saya memberi prioriti kepada failnya atas dasar "kawan-kawan". Kemudian, dia meminta maaf kerana akuinya, dia cukup TERTEKAN.

Saya tidak dapat satu sen pun dari duitnya atas dasar komisyen, saya mengeluarkan duit sendiri mengupah orang ke Pejabat Tanah Rembau, saya membawa bayi saya berumur 3 bulan mengikutnya ke rumah Pemilik Tanah di Linggi, Negeri Sembilan lewat jam 10 malam, dan saya dituduh tidak berbuat apa-apa????

Kerana wang, manusia berbalah. Kerana harta, manusia putus saudara. Kerana salah faham, manusia mengherdik. Sebab itu saya lebih rela buat kerja atas dasar professional, bukan kerana kawan atau saudara-mara.

Thursday, 14 July 2011

Ibu tomboy

Impak foto dari Google
Saya pernah berperanan untuk mengaturkan projek perumahan baru bagi mangsa kebakaran di Tampoi, Johor. Mereka adalah golongan 'miskin bandar', tinggal di sekitar Skudai Kiri dan menghuni rumah setinggan. Suatu ketika, berlaku litar pintas dan harta benda mereka musnah terbakar. Tinggallah mereka sehelai sepinggang bila rumah-rumah papan yang mereka diami hangus dijilat api.

Mereka dicadangkan supaya berpindah ke rumah pangsa kos rendah yang baru dibina. Oleh itu, kumpulan-kumpulan ini diaturkan untuk menandatangani Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Pinjaman dengan bank untuk rumah kos rendah berharga RM32,000-00. Usaha yang kami lakukan itu lebih kepada kerja amal dan bukannya bertujuan untuk memungut keuntungan. Untuk memudahkan urusan, kami berkomunikasi dengan "ketua" di kalangan mereka, seorang wanita pertengahan umur yang rugged dan tomboy.

Bayangkan seorang makcik yang hampir 90% menyerupai lelaki. Cuma nama dalam kad pengenalan dan fisiologi kewanitaan di dadanya yang mengesahkan dia bukan Adam. Cara duduknya memangku tangan ke lutut, seperti bapa-bapa duduk di kenduri. Menghisap rokok seperti gaya orang lelaki. Memakai kemeja John Master dan seluar slack hitam. Namun kerjasama yang diberikannya cukup baik dan memudahkan urusan kami.

Saya tidak bertanya status perkahwinannya. Saya difahamkan beliau mengambil anak angkat. Rumah pangsa yang bakal dibeli akan didaftarkan dengan nama anak angkatnya. Anak angkatnya seorang lelaki, telah bekerja dan berumur sekitar 25 tahun.

Sewaktu menandatangani dokumen, saya terkejut bila mendengar anak angkat memanggilnya 'ABAH'!!


Tuesday, 31 May 2011

Mengapa perlu berjumpa peguam


Dalam menjalani rutin harian anda, adakalanya berlaku beberapa isu-isu yang kompleks yang memerlukan penelitian dan khidmat guaman. Sila jumpa peguam anda jika ada perkara-perkara berbangkit seperti berikut :-

1. Hal ehwal hartanah

Anda mempunyai sebidang hartanah dan ingin menjualnya. Atau anda membeli hartanah untuk pelaburan. Peguam boleh menasihati anda tentang deposit yang perlu didahulukan, merangka perjanjian, menguruskan gadaian dengan institusi kewangan berkaitan dan memastikan pindahmilik nama dalam geran. Anda mungkin kurang arif dengan syarat dan terma perjanjian serta tidak biasa berurusan dengan pihak berkuasa pendaftaran tanah. Maka di sini, khidmat guaman dalam selok-belok hartanah amat diperlukan. INGAT, JANGAN BERGANTUNG DENGAN BROKER KERANA MEREKA TIADA KELAYAKAN DAN TIADA BADAN PROFESIONAL YANG MEMANTAU TINDAK-TANDUK MEREKA DALAM URUSAN HARTANAH.

2. Perceraian

Kebanyakan orang bertindak melulu dengan mewakili diri sendiri dalam urusan perceraian. Jangan. Anda mungkin tidak biasa dengan prosedur mahkamah melibatkan saman dan pernyataan tuntutan, pembelaan, hujahan dsb. Paling tidak, anda mungkin mengalami kekangan masa kerana perlu naik turun mahkamah untuk menyelesaikan urusan sendiri. Anda juga perlu mengambil cuti dan mungkin tertekan kerana perlu menghadapi urusan peribadi. Ambillah peguam bagi mewakili diri anda. Peguam akan menasihati anda tentang hak-hak yang boleh anda pertahankan jika berlaku perceraian, contohnya hak anda mendapatkan nafkah iddah dan mutaah, harta sepencarian dan hadhanah (hak jagaan anak). 

3. Wasiat dan pusaka

Untuk orang bukan Islam mereka digalakkan menulis wasiat untuk memastikan harta ditadbir dengan baik selepas kematian. Manakala orang Islam pula boleh membuat instrumen hibah. Di situasi yang lain pula, apabila berlaku kematian, waris-waris seringkali tidak tahu arahtuju untuk menyelesaikan pusaka si mati. Sebenarnya, bagi kumpulan harta pusaka si mati melebih RM2 juta, permohonan boleh dibuat ke Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan Geran Probet (jika berwasiat) atau Surat Kuasa Mentadbir (jika tidak berwasiat). Bagi hartanah-hartanah di bawah 2 juta, ia tertakluk di bawah bidangkuasa Pusaka Kecil di bawah seliaan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian. Silalah berjumpa peguam anda untuk memastikan semua benefisiari mendapat hak yang sewajarnya selepas kematian gemulah (si mati).

4. Pertikaian tanah

Ada waris yang kehairanan kerana tidak dapat berbuat apa-apa terhadap tanah kerana ia telah dikaveatkan. Peguam anda tahu selok-belok untuk memastikan kaveat tersebut ditarik balik atau dibatalkan atas perintah mahkamah. Ada pula tanah yang terbiar bertahun-tahun tanpa diketahui status kerana Suratan Hakmilik (Geran) hilang tanpa dapat dikesan. Rujuklah peguam anda untuk memastikan segala urusan pendaftaran tidak tergendala dan bagi memohon geran gantian.

5. Sewaan

Jika menyewakan hartanah anda, rumah kedai contohnya, pastikan ada Perjanjian Sewaan. Ini penting kerana semua butir-butir sewaan akan dicatatkan dalam perjanjian yang disetemkan. Apabila berlaku sesuatu (tidak membayar sewa dsb) anda boleh rujuk perjanjian dan menguatkuasakan hak anda. Peguam akan mendapatkan perintah mahkamah bagi Writ of Distress dan memastikan wang sewaan anda diperolehi kembali tanpa rugi.

6. Tuntutan hutang

Jika menjadi pemiutang kepada mana-mana orang yang gagal membayar kembali, serahkan kepada undang-undang supaya penghutang tersebut tidak mampu berbuat apa-apa melainkan membayar hutang anda tanpa culas.

7. Pengangkatan

Jangan mengambil anak angkat tanpa melakukan prosedur pengangkatan yang sah. Rujuklah peguam anda supaya boleh mendapat perintah Mahkamah bagi mendaftarkan pengangkatan tersebut dengan sewajarnya. Telah banyak kali berlaku di mana ibubapa angkat terpaksa berputih mata kerana anak angkat akhirnya diambil kembali oleh ibu bapa asal mereka.

8. Jenayah/ suspek jenayah

Jika tiba-tiba ditahan polis atau tiba-tiba disyaki terlibat sebagai dalang dalam mana-mana kes jenayah, hubungi peguam anda secepat mungkin. Hak anda untuk mendapatkan representasi guaman sentiasa dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Jika sampai tahap anda dikemukakan ke Mahkamah untuk perintah tahanan reman, peguam anda boleh mengaturkan supaya anda diikatjamin dan tidak merengkok dalam lokap tahanan. Hak dan reputasi anda patut dijaga dalam apa jua hal situasi pun.

9. Notis tuntutan bank/ tindakan bankrupsi

Jangan hanya berdiam diri apabila menerima notis tuntutan bank atau peguam bank tentang sesuatu keberhutangan. Periksa surat saman tersebut dan tarikh sebutan kes di mahkamah. Jika perlu, lantik peguam untuk mewakili anda. Ini penting kerana anda perlu tahu apa status kes tersebut terhadap anda. Jika anda mengambil sikap jahil (ignorance), jangan melenting jika tak semena-mena anda disenaraihitamkan, dibankrapkan atau kediaman disita. Jika anda berhasrat untuk memulihkan hutang yang tertunggak, ada baiknya juga anda mengambil khidmat peguam. Lebih mudah jika peguam anda yang berurusan dengan bank daripada anda berurusan sendiri.

10. Pelbagai isu melibatkan undang-undang

Saman trafik, saman oleh rakan kongsi perniagaan, sebarang usul atau tindakan melibatkan undang-undang oleh pihak berkuasa, saman majikan atau apa saja bentuk pengemukaan yang memerlukan pembelaan. Rujuklah peguam anda supaya anda tidak terkhilaf. Pembelaan membolehkan anda didengar lantas menjamin hak anda sebagai individu. Jangan mengambil enteng tentang sesuatu perkara sehingga mendatangkan implikasi buruk terhadap diri anda. Sepatah kata dari penulis antarabangsa Harun Yahya, apa jua yang anda lakukan, JANGANLAH BERSIKAP JAHIL (NEVER PLEAD IGNORANCE).

Monday, 30 May 2011

Hilang kasih

Seperti yang pernah tersiar di Majalah Jelita, edisi tahun 2000

Hilang kasih

Awan yang berarak mendung
seakan memayung suasana
kita kekasih nan penuh erat
kini hilang sepakat

Diamkan saja, kasih
bukan salahmu dan bukan salahku
cuma jodoh yang tak sampai
kita pun lantas gagal
menyatu kasih ke penghujung
jauh dari apa yang pernah
kita angankan;
Bila denyut nadi cinta berhenti berdetik
air mataku ikut menitik

Biarlah
aku hilang dirimu
asal aku
tidak hilang diriku




Thursday, 26 May 2011

Tunggu Teduh Dulu

Sebuah buku yang menarik karya Dr Faisal Tehrani. Bukan ceritera cinta picisan. Ada persoalan fikir yang dibentangkan secara tersirat oleh penulis. Persoalan itu sebenarnya melangkaui kisah cinta yang melingkari watak utamanya Salsabila Fahim. Saya gagahkan juga menghabiskan novel yang agak tebal ini. Awal membacanya, saya sendiri agak skeptikal. Takkanlah semua orang terlalu mudah jatuh cinta dengan Salsabila Fahim.

Saya sukakan tajuknya. Tunggu Teduh Dulu. Betapa klasik. Rupa-rupanya Teduh Dulu adalah ilhamrasa dari Ladang Betik yang diusahakan oleh Salsabila bersama rakan kongsinya Teh Sofia. Apa yang cuba penulis tonjolkan di sini ialah tentang kegigihan wanita Muslim meranjau cabaran dalam perniagaan tani. Watak-watak yang digambarkan sangat kuat personaliti, bijak, bersemangat dan bermaruah.

Penghabisan novelnya sungguh happy ending, sedikit klise. Watak utama akhirnya mendapat semua yang diidam-idamkan. Suami beriman, anak kembar, perniagaan berkembang... tetapi selepas melalui siri-siri getir yang tak terkisahkan sepanjang kembara penghidupannya. Ada pengajaran cukup bernas dari penulisan novel ini. Bahawa hidup kita; sejauh mana pun berlari, sekuat mana pun melangkah dan setinggi mana pun langit digapai; semuanya tertakluk pada qadha' dan qadar.

Tuesday, 24 May 2011

Standard menurun peguam muda


Baru-baru ini saya membaca sebuah artikel tentang kegusaran peguam kanan (senior lawyer) tentang kualiti peguam muda (young lawyer) yang dikatakan tidak memenuhi standard. Kenyataan ini menjadikan saya tertanya-tanya. Atas kayu ukur apa peguam kanan itu menjustifikasikan penilaiannya?

Katalah apa pun, memang semua profession terkena tempiasnya. Doktor muda dikatakan tidak sebagus doktor senior. Guru dahulu dikatakan lebih bagus dari penyandang jawatan guru sekarang. Tetapi yang meletakkan penilaian itu, statistik mana yang mewajarkan mereka mendabik dada mengaku hebat? Saya percaya peguam, doktor, guru waima jawatan apa sekalipun, tidak terus menjadi BAGUS pada hari pertama mula bekerja. Wisdom is gained through experience.


Apa pula justifikasi peguam senior bila kredibiliti diri mereka dipersoalkan seperti ....
~mengapa di kalangan mereka tidak mengambil tahu perkembangan IT?
~mengapa di kalangan mereka tidak fasih berbahasa Malaysia di Mahkamah?
~mengapa firma peguam senior membayar gaji tidak setimpal kepada peguam muda yang berkelayakan profesional?

Jangan marah, nanti kena jual.



Monday, 23 May 2011

Ada apa dengan nama?

Suatu transaksi jual beli hartanah yang saya tandatangani, namun nama pemiliknya menjadikan saya kaget. Nama penuhnya Kannan a/l Nur Muhammad. Nur Muhammad? Nama yang cukup nyaman dan indah. Tapi di hadapan saya ialah seorang pemuda tipikal India yang beragama Hindu.

Bagaimana pihak pendaftaran boleh terlepas pandang? Pada saya nama itu cukup mengelirukan. Misleading. Bimbang nama itu disalahertikan. Nama itu kedengarannya cukup murni. Alangkah bagus jika nama itu digunapakai orang beriman.

Tuesday, 17 May 2011

Sebuah kisah poligami

Biasa anda mendengar tentang seorang suami yang memiliki isteri berpenyakit. Benar, situasi ini akan mengharuskan sang suami berpoligami. Alasannya mudah, isteri sakit akan sukar memenuhi permintaan suami dalam banyak hal rumahtangga.

Tapi pernahkah anda dengar, isteri sihat, tetapi suami mengambil isteri baru yang berpenyakit? Saya pernah menemui pihak-pihak ini.

Suami : kenalkan, ini isteri saya.
Isteri  : (menghulur tangan dan bersalam)
Suami : Ini pula bakal isteri saya
Bakal isteri : (menghulur tangan dan bersalam)
Suami : Saya ingin membuat permohonan poligami kerana bakal isteri saya disahkan berpenyakit dan jangka hayatnya tidak berapa lama lagi.
Bakal isteri : Benar, Puan. Saya tidak berniat untuk merampas suami orang. Saya hanya ingin menumpang kasih. Saya ingin mati sebagai seorang isteri. Saya harap doa suami saya mengiringi saya waktu saya sudah tiada nanti.

Begitu harga sebuah pengorbanan. Dan kadangkala, pengorbanan itu aneh. Cukup aneh.

Sunday, 15 May 2011

Jom baca 2

Minat membaca dan menonton siri-siri guaman? Apa kata tinjau hasil tulisan John Grisham, kerana beliau mempunyai first hand experience sebagai peguam litigasi. Penceritaannya disampaikan dengan jelas dan terang hasil dari pengalaman beliau sendiri.

Michael Brock sedang berada dalam landasan praktis guaman yang berjaya di firma Drake & Sweeney. Beliau mengalami turning point dalam hidupnya apabila mengenali orang-orang gelandangan (homeless) di Washington DC. Lontae Burton, seorang ibu tunggal muda dengan 4 anak, menyewa sebuah apartment haram. Prosedur pengusiran (eviction procedure) telah dilakukan oleh firma Drake & Sweeney tanpa memberi notis yang wajar. Akibatnya ibu muda dengan 4 anaknya mati kesejukan sebagai gelandangan. Michael bangkit membela nasib orang-orang tertindas sampai sanggup mengenepikan kepentingan hidupnya sendiri. Di akhir cerita, Michael berubah jadi insan yang lebih murni. Dia tidak lagi hidup mengejar kekayaan semata-mata dan mendapat kepuasan bekerja membantu orang-orang kurang bernasib baik di 14th Street Legal Clinic (klinik khidmat guaman yang beroperasi tanpa berlandaskan keuntungan).

Harap dapat melihat orang-orang seperti Michael Brock ini di Malaysia.

Mengapa ada favouritisme

Tidak lama dahulu saya pernah mengikuti suatu seminar syariah di peringkat kebangsaan. Usai menghadiri pembentangan kertas-kertas kerja, kami pun berehat di hotel penginapan. Rakan yang sebilik dengan saya bertanya santai, "bagaimana hubungan dengan mertua?" Jawab saya, "baik-baik sahaja".
 
Ujar rakan saya yang berasal dari Pantai Timur itu, dia adalah menantu mangsa favouritisme. Mertuanya ada menantu emas pilihannya sendiri. Suatu ketika ibu mertuanya keluar daerah. Kemudian pulang membawa buah tangan. Rakan saya dihadiahkan kain batik. Namun menantu emas mendapat kain ela yang cantik dan mahal harganya. Hadiah mahal ini diunjukkan pula di depan mata rakan saya. Seolah-olah biar rakan saya tahu seterang-terangnya, memang ada elemen pilih kasih di situ.

Dalam situasi yang lain pula, sekali lagi rakan saya jadi menantu yang dikesampingkan. Sewaktu cuti, mereka sekeluarga pulang ke rumah mertua. Riuh-rendah rumah mertua kerana semua anak, menantu dan cucu balik berkumpul. Makan tengahari seperti berkenduri. Sampaikan tak cukup pinggan untuk dihidang. Di tangan mertuanya ada 2 lebihan pinggan. Pinggan elok dihulurkan kepada menantu pilihan. Rakan saya dapat pinggan buruk, yang tak ubah seperti pinggan buat beri makanan kucing!

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. If I were in her shoes, I too, would be extremely sad.



Thursday, 12 May 2011

Jom baca 1

Sebuah makalah kembara terbaik yang pernah saya baca. Keistimewaan Tapai oleh sdr Hishamudin Rais, ia bukan sekadar food review, tetapi sebuah travelogue yang memaparkan perjalanan hidup paling warna-warni.

Jangan pernah persoalkan pegangan hidup Isham (biarpun beliau menggelar dirinya the aging hippie). Pinjam daya inteleknya dalam menggarap isu tentang budaya, cara dan gaya hidup serta sosiologi. Bukan sedikit pengalaman hidupnya, kembara beliau merentasi benua dan merantau ke empat penjuru dunia. Ironinya, beliau menggemari masakan authentic Melayu - tapai, umbut, ikan patin dan ulam. Beliau tidak hipokrit orangnya.

Dari sebuah hidangan, beliau berjaya mengupas tentang sejarah dan susur-galur, masyarakat serta bahasa dengan pemerhatian yang sangat tajam. Sesuatu yang bersifat informatif tetapi beliau sampaikan dengan bersahaja dan kadang-kala disuntik humor. Tapai - (makanan), pencuci mulut ciptaan orang lama yang menjadi warisan hidangan kita. Tapai - (buku), arkibkan ia sebagai satu warisan berharga dalam khutub khanah anda.

Tuesday, 10 May 2011

Rumah semakin hilang fungsinya


Saya suka membaca tulisan Elviza di kolum Sinar Harian. Beliau menulis dalam lenggok yang cukup indah dengan bahasa bermutu. Hari ini Elviza mengungkap tentang harga rumah yang naik menggila di ibu kota. Senang kata, kalau tidak cukup RM jangan mimpi hendak membeli rumah agaknya.

Fikiran saya yang dangkal ini berkata, ya, rumah semakin hilang fungsi asalnya. Apa sebenarnya fungsi asal rumah? Untuk berteduh dan didiami. Untuk berlindung dari hujan dan panas.  Sebagai satu keperluan dalam asas kehidupan kita untuk menongkah hidup di muka bumi ini.

Namun kini? Rumah telah jadi suatu aset yang dibanding-bandingkan. Rumah berharga segunung emas dengan lokasi terbaik di kota metropolis adalah simbol paling kaya dan paling berjaya. Dahulu rumah menjadi sanctuary terbaik buat anak-beranak dan kaum keluarga berhimpun. So humble and without pretentious. Kini? Rumah dihias bagaikan showroom dan jadi perbandingan sesama. Masing-masing tidak mahu kalah dan enggan tercicir dalam perlumbaan 'menunjuk-nunjuk' ini.

Untuk renungan, dari Imam Ali bin Abi Thalib meriwayatkan Rasulullah bersabda "Apabila Allah Taala tidak memberkati harta seseorang manusia itu, ia dapat dilihat bagaimana harta itu dihabiskan seumpama menakung air di tanah. Ia tidak meninggalkan apa-apa kesan sekalipun"

Pesan Rasulullah "Perbelanjaan yang paling buruk adalah membina bangunan (dengan niat menunjuk-nunjuk)"

Moga jadi iktibar.

Nasi lemak buah bidara

Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih ku lurutkan
Buang emak buang saudara
Kerna kekasih ku turutkan

Ki Wan Sook @ Nurchahaya Abdullah dari Seoul, Korea Selatan. Di penghujung 90'an dulu mengenali seorang pemuda Melayu dari Terengganu. Daerah Seoul menjadi saksi cinta mereka berdua. Waktu itu, si pemuda melanjutkan pengajian ilmu kejuruteraannya di sebuah universiti di sana.

Demi cinta, Nurchahaya tinggalkan keluarganya dan mengikut suami pulang ke Malaysia. Namun, pengorbanannya tidak berbaloi kerana ibu mertua enggan merestui perkahwinan mereka. Lerailah sebuah kasih sayang, biarpun dia telah korbankan segala-galanya.

Nasi lemak buah bidara
Pauh seguni, suasa ku labuhkan
Buang emak buang saudara
Sampai di sini, aku disia-siakan

Sunday, 8 May 2011

Jom baca

Menyelusuri sejarah silam dan renungkan peradaban-peradaban lama yang cukup masyhur, namun dibinasakan Allah akibat sikap sombong kaum itu sendiri. Hayati kisah bahtera Nabi Noh, penempatan lama Sodom dan Gomorrah serta masyarakat Pompeii yang lalai. Tulisan-tulisan dalam buku ini digarap dengan baik lengkap dengan evidence yang menunjukkan ketertinggian tamadun dan bukti-bukti kebinasaan. Suatu rasa keinsafan yang halus meresap ke dalam jiwa selepas membacanya.

Friday, 6 May 2011

Trophy wife

Trophy wife - wanita yang dijulang sebagai isteri setelah lelaki mencapai kejayaan. Gambar hanya hiasan.

Pertemuan dengan Makcik H benar-benar mengesankan. Makcik H sebaya ibu saya sahaja, sekitar 60 tahun. Dia ditemani anak lelakinya yang seusia dengan saya. Hadir ke mahkamah bagi kes tuntutan nafkah.

Makcik H adalah bekas isteri yang telah mengorbankan masa mudanya menjadi dian menerangi orang lain.Makcik H, dengan tulang empat keratnya, telah menyekolahkan anak-anak dan 'menyekolahkan' sekali si suami sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah Farmasi dari USM.

Dengan kelulusannya si suami pun bergelar ahli profesional. Gaya hidupnya berubah. Golf. Four wheel drive. Rugged. Makcik H seperti itulah, gaya makcik-makcik. Bertungkus lumus semasa muda dulu hingga tak sempat melaram diri, barangkali. Makcik H dan suami akhirnya memilih jalan hidup berlainan. Berpisah.

Menyorot pandang pada suaminya, ya dia segak. Isteri mudanya jelita. Trophy wife. Isteri yang menjadi simbol kejayaan. Agaknya isteri tua sedikit dan tiada gaya ini bukan gandingan lelaki berjaya. Erk?!




Thursday, 5 May 2011

Mistik

Aku sendiri sukar memahami sahihnya. Tapi aku pernah melihatnya. Sungguh. Waktu itu aku masih kecil lagi. Berusia sekitar 7 tahun. Di usia yang begitu jujur dan tidak pandai menipu.

Sewaktu ibu dan ayah berpergian ke rumah saudara yang terbabit dalam kemalangan. Aku dan kakak ditinggalkan. Waktu malam. Kejiranan kami riuh dan penuh orang lalu lalang meraikan majlis pengantin baru. Rumah jiran yang menganjurkan majlis kahwin itu hanya selang sepintu dari rumah kami.

Kami nampak ini.

Mula-mula ia setinggi bantal putih. Kemudian ia membesar dan menggalah tinggi seperti manusia 6 kaki.

Ia di situ. Lama. Kira-kira sejam. Kami cabut dari tempat kejadian dan pergi ke rumah jiran. Lama-kelamaan ia lebur sendiri seperti asap putih berkepul yang akhirnya hilang begitu sahaja.

Syaitan. Ia hadir dalam pelbagai bentuk dan rupa. Tujuannya cuma satu. Melalaikan Anak Adam.

3 bidadari kecil di syurga

Hutan Lipur Ulu Bendul yang mendamaikan rupanya jadi taruhan nyawa

Gambar di atas dikatakan gambar 3 kanak-kanak malang tragedi lemas di Ulu Bendul yang sempat dirakamkan sejurus sebelum kejadian. AlFatihah buat 3 bidadari kecil syurga

Aurat Pembantu Rumah

Frenchmaid. Gambar hanya hiasan

Seorang pemanggil siaran Sinar FM padi tadi menelefon sambil tergelak. Nyata dia mengambil enteng masalah rumahtangganya. Sedangkan silap haribulan, rumahtangga sendiri bakal jadi galang gantinya.

Ceritanya, dia mengambil gadis Seberang yang muda sebagai pembantu rumah. Lantas isterinya cemburu. Masakan tidak cemburu kerana pembantu yang tinggal bersama sebumbung rumah itu bukan setakat muda, malah berupa paras juga.

Soalnya, bagaimana sang suami menjaga had auratnya dengan pembantu rumah? Bersangka baiklah, mungkin batas-batas itu cukup terjaga. Tapi dia sendiri mengakui yang pembantu rumahnya cantik dan muda. Bagaimana kalau pada suatu ketika yang tak tergambarkan, bila mana dia terpandangkan pembantunya dengan disaingi nafsu? Minta dijauhkan.

Api yang menggoda itu banyak datangnya dari luar rumahtangga. Tapi jangan lupa, api yang di dalam rumah itu lebih besar bahananya.


Wednesday, 4 May 2011

Kata Faisal Tehrani

Indah sungguh pengupasan isu 'Masalah Lelaki' yang diungkapkan oleh Dr. Faisal Tehrani (Majalah Intrend, Mei 2011). Dr. Faisal seringkali tampil dengan isu-isu berat dan kritis yang mengundang fikir dan menjentik minda. Sekali-sekala beliau menulis tentang psikologi hubungan cinta, wah, boleh tahan romantik juga.

Dr. Faisal membentangkan hakikat yang lelaki mudah berselingkuh (baca:curang) kerana nafsunya cuma satu. Yang satu itulah yang sukar dikawal. Walhal perempuan lebih setia dan komited dalam perhubungan.

Benarkah begitu? Saya sendiri, dalam mengadili kes-kes guaman syarie melibatkan konflik matrimoni, seringkali jadi keliru. Adakala suaminya santun, isterinya pula terlalu lepas laku. Pernah sekali, saya berhadapan dengan seorang isteri yang meminta diajarkan jalan bagaimana mahu berpisah dengan suaminya. Untuk itu, jangan pernah meletakkan warna:- yang jahat, lelaki (hitam). Yang baik, perempuan (putih). Kadangkala hati mereka sama-sama kelabu.

Saranan Dr. Faisal- untuk lelaki, bila tiba-tiba mood curang datang menyerang, bayangkan siksanya isteri bersalin. Seorang perempuan menggambarkan sakit beranak laksana direntap dengan kuda di kiri dan kanan, lalu badan terkoyak dua. Kendati, insafkah lelaki dengan gambaran begitu?

Soroti tulisan Dr Faisal selanjutnya dalam Intrend edisi Mei, 2011 yang sampul kulitnya dihiasi enam gadis-gadis cantik di atas

Tuesday, 3 May 2011

Apa justifikasi bunuh Osama

Osama bin Laden, 1957-2011

Buat masa ini, keputusan ujian DNA masih dinantikan dari jenazah yang dikatakan kononnya Osama. Namun, apa justifikasi US dalam meng'halal'kan pembunuhan Osama? Atas nama jenayah perang maka Osama harus menerima hukuman bunuh?

US amat mengagungkan keadilan sejagat dan hak asasi. Jika benar Osama dituduh mendalangi tragedi serangan WTC lewat 11 tahun dulu, kemukakanlah bukti-bukti dan bicarakannya dengan wajar di pengadilan. Laksanakanlah segala bentuk hukuman hanya apabila benar-benar terbukti beliau bersalah.

Keadilan sejagat dan hak asasi yang diagung-agungkan US akhirnya dicabuli oleh mereka sendiri. Al-Fatihah buat Osama, atas dasar sesama Islam.